CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sabtu, 8 Disember 2012

KBK3073 - DISLEKSIA




1.0       PENGENALAN


Pendidikan merupakan agenda utama dalam membangunkan sesebuah negara dan sistem pendidikan yang baik mampu memberikan pendidikan kepada semua. Oleh itu, pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai disediakan. Pendidikan Khas adalah pendidikan yang direka cipta dan dirancang serta dilaksanakan diperingkat rendah dan menengah bagi kanak-kanak istimewa. Selaras dengan usaha dan hasrat murni Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan program yang telah dirancang iaitu Integrasi Pendidikan Khas di sekolah-sekolah kerjaan dilengkapi dengan kemudahan yang mencukpi dan tenagar kerja guru yang terlatih.

Falsafah Pendidikan Khas ialah satu usaha berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang individu sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas, 2005). Sehubungan dengan itu juga kerajaan dibawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) telah menaiktaraf 405 projek Pendidikan Khas, 176 projek Integrasi Pendidikan Khas diperluaskan dan antara lain menaiktaraf 59 buah projek Integrasi Pendidikan Khas (Disleksia).

Bermasalah pembelajaran merupakan murid-murid yang mempunyai masalah yang nyata dalam penggunaan deria mendengar, bertutur, membaca, menulis, mengira dan menaakul. Masalah ini adalah berpuncadari sistem saraf pusat. Pertumbuhan dan perkembangan yang tidak senormal kanak-kanak biasa kerana kecacatan yang dialami. Ketidakupayaan berbahasa merupakan antara faktor penyebab yang mana ini memberi kesan kepada konsep kendiri, daya ingatan dan keupayaan memahami sesuatu. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek, murid-murid pendidikan khas ini turut tidak dipinggirkan yakni mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu bermasalah pembelajaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran. Kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran pula terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami sindrom down, autism, attention deficit hyperaktif disorder, terencat akal minimum, dan bermasalah pembelajaran spesifik (Disleksia).


2.0       DEFINISI DISLEKSIA

     Menurut Vijayalatechumy A/P Subramaniam (2003) dalam kajiannya mengenai disleksia, melalui penulisan (Newton, Thomson, 1974) menyebut perkataan ‘dyslexia’ berasal daripada perkataan Greek yang membawa maksud kesukaran menggunakan leksikon atau perkataan. Seterusnya (Newton, et al, 1979) memperluaskan lagi sebagai kecelaruan berbahasa di kalangan murid yang mengalami pembelajaran dalam kelas biasa tetapi gagal untuk memperolehi kemahiran membaca, menulis, atau mengeja separa dengan kebolehan intelektual yang ada pada mereka.

Seorang pakar perubatan dan ‘ophalomotologist’ iaitu Profesor Berlin pada tahun 1887, telah memperkenalkan perkataan ‘Disleksia’ (Hammond and Hugges, 1996 :3). Di Malaysia (New Straits Times, 2000 bertarikh 28 Disember:30) perkataan ‘disleksia’ merujuk kepada masalah yang berkaitan dengan kemahiran membaca, menulis dan mengeja. Contoh yang diberi ialah ketidakupayaaan dalam membezakan huruf ‘B’ dengan angka ‘8’, atau menulis huruf dengan cara terbalik. Siapa yang mempunyai cirri demikain dikatakan menghidap disleksia (Vijayalatechumy A/P Subramaniam, 2003).

Begitu juga  menurut  Persatuan  Disleksia Malaysia, disleksia ialah kesukaran mengenal, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukan dikategorikan tidak pandai apatah lagi digolongkan dalam golongan orang kurang upaya (OKU), namun mereka hanya mengalami masalah pembelajaran. Mereka juga mengalami kecelaruan berbeza dari satu individu dengan individu yang lain, namun pada kebiasaannya mereka sukar mengeja, memproses fonologi (bunyi) dan tindak balas visual-verbal.


3.0             ETIOLOGI

Menurut Dr. Kasmini Kassim, etiologi bagi kanak-kanak disleksia yakni kanak-kanak ini menghadapi rencatan perkembangan bahasa dan percakapan yang khusus sebenarnya mengalami kelewatan perkembangan neurologi dan punca khusus lain tidak dapat dipertikaikan. Kelewatan perkembangan neurologi sukar hendak diberi penjelasan. Antara kanak-kanak ini ada yang menunjukkan sejarah trauma kepada otak (trauma serebrum) sama ada semasa atau sebelum dilahirkan. Kanak-kanak lelaki yang mempunyai kromosom 47 XXY juga lebih kerap menghadapi masalah bahasa dan percakapan. Sekiranya seseorang itu mengalami gangguan pendengaran yang teruk pada kedua-dua belah telinga semasa perkembangan bahasa bermula, ia akan menjejaskan persepsi percakapan dan seterusnya perkembangan bahasa dan percakapan.

Radin Mas (IPG Melaka) melalui kajian yang telah dijalankan oleh Singleton (1999) iaitu kajian yang berbentuk ‘digit span tasks’ ke atas kanak-kanak yang mengalami disleksia dengan kumpulan kanak-kanak normal yang merangkumi aktiviti mengulangi siri nombor yang diberi secara hafalan ke hadapan atau ke belakang. Selain itu juga kajian David (2003) ke atas 184 orang kanak-kanak disleksia juga menunjukkan ciri-ciri persamaan dengan kenyataan Singleton (1999) dan Riddick Wolfie, serta Lumsdon (2002) iaitu pelupa, gagal mengikuti satu siri arahan yang diberi, kesukaran untuk mengingati nama rakan, rima lagu, sifir dan apa-apa informasi.

Sofia (2002) menyatakan bahawa disleksia dapat disembuhkan dengan bantuan rawatan BOLD (2000). Hasil daripada kajian pakar perubatan mendapati kanak-kanak disleksia dari segi fizikal adalah aktif (Zabidi, 2000). Manakala kajian Musa Abd Wahab (2002) telah merumuskan bahawa hasil kajian yang dijalankan terhadap 153 orang murid pemulihan di Zon Pudu Wilayah Persekutuan mendapati 36.3% daripadanya mempunyai masalah disleksia pada tahap yang serius. Sementara individu murid yang mengalami masalah disleksia pada tahap yang sederhana dan ringan pula adalah 30.2% dan 33.5%. Kajian ini hanya memberi tumpuan khusus terhadap masalah 3M dalam kalangan murid pemulihan. Hynd dan Cohen (1983) pula memetik hasil kajian yang dilakukan oleh Critchley pada tahun 1978 yang mendapati bahawa masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak lelaki adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan. Kajian beliau terhadap 1633 kes yang dikenal pasti mengalami masalah pembelajaran disleksia mendapati 1367 daripadanya adalah kanak- kanak lelaki dan 266 sahaja adalah perempuan. Ini menunjukkan peratusan murid lelaki melebihi 80% berbanding dengan murid perempuan.


4.0       JENIS-JENIS DISLEKSIA

Melalui analisa yang dilakukan Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu :

4.1     Disleksia visual (penglihatan)
·         Kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mengigat dan mengenal abjad serta konfugirasi perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara terbalik.

4.2     Disleksia auditori (pendengaran)
·         Kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi menyembunyikan perkataan. Bunyi percakapan yang tuturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah untuk membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga dihadapi oleh disleksia auditori.

4.3     Disleksia visual-auditori
·         Kesukaran mambaca yang amat teruk dan ini disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio.


5.0       PUNCA-PUNCA KECACATAN

Menurut Mercer 1997; Hammond dan Hughes, 1996 dan Spaafford dan Grosser, 1996 menggariskan beberapa punca disleksia. Untuk memastikan stuktur dan fungsi otak, para penyelidik telah menggunakan teknologi imejan terkini seperti CAT skan (computerised resonance tomopgrafic) dan MRI (magnetic resonance imaging). Kedua-dua peralatan imejan ini digunakan untuk memperolehi imej atau gambar otak dengan lebih terperinci. Tujaun menggunakan peralatan ini ialh menentukan fungsi otak dikalangan mereka yang mempunyai masalah pembelajaran taupun tidak. Bagaimanapun keputusan kajian ini tidak konsisten dan seorang pendidik harus berhati-hati membuat kesimpulan tentang struktur dan fungsi otak dengan masalah pembelajaran.
 
Rajah-rajah di bawah menunjukkan beberapa gambaran tentang otak manusia.
     

Pandangan Sisi Kawasan Pemprosesan Bahasa Dalam Hemisfera Kiri Otak

Pandangan Atas Kawasan Pemprosesan Bahasa Dalam Kedua-Dua Hemisfera Otak
Yang Normal.



Perbandingan Isyarat Saraf Diantara Manusia Normal Dan Mereka Yang Mempunyai Disleksia.

5.1       Cara kerja otak yang berbeza

Kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai pelbagai deficit atau kekurangan yang disebabkan oleh kurang fungsian (dysfunction) otak. Bukan sahaja bermakna kanak-kanak itu mengalami kecederaan atau kerosakan dibahagian otak tetapi otak kanak-kanak disleksia beroperasi berbeza daripada kanak-kanak yang bukan mengalami disleksia (Rourke, 1991). Punca disleksia dipercayai akibat cara kerja yakni otak yang berbeza daripada keadaan yang normal (Rajah 1). Melalui imbasan yang dijalankan ke atas mereka yang mengalami disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat contohnya ketika membaca adalah bebeza daripada kebiasaannya. Faktor ini mungkin disebabkan oleh
kecacatan yang berlaku semasa beada dalam kandungan mahupun kemalangan.

Rajah 1
Disleksia perkembangan merupakan salah satu gangguan perkembangan fungsi otak. Disleksia dianggap suatu masalah yang disebabkan oleh gangguan dalam daya ingat (memori) dan pemprosesan central yang disebut kesulitan membaca. Gangguan perkembangan hanya terjadi pada bahagian otak yang berhubungan dengan bahasa khususnya jalur membaca (jalur yang menghubungkan antara pusat penglihatan dengan pusat bahasa). Namun, walau perkembangan di pusat bahasa terganggu, otak individu disleksia mampu membuat kompensasi dengan perkembangan pada pusat lainnya.


5.2      Faktor Keturunan ( Genetic / Hereditary Influence)

Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga juga turut menghidap sindrom yang sama dalam erti kata lain faktor keturunan ataupun genetik.  Kajian yang dijalankan membuktikan, disleksia disebabkan oleh kromoson 15, 1 dan 16 boleh diperturunkan secara turun temurun yakni daripada genetik ibu bapa. Menurut kajian Decker dan Defries (1980, 1981), kajian yang dilakukan terhadap 125 keluarga murid yang mempunyai masalah pembelajaran dan 125 murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran mendapati kadar yang baik terhadap kanak – kanak masalah membaca terdiri daripada keluarga kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah pembelajaran. Seperti yang sudah diutarakan di atas, disleksia  disebabkan oleh kelainan genetik. Berbagai genetik sudah ditemui merupakan penyebab disleksia. Daripada kajian-kajian mendapati bahawa seorang kembar monozigot atau kembar seiras menghadapi masalah membaca, kembarnya juga menghadapi masalah yang sama.


5.3      Pemakanan

Pemakanan adalah penting untuk pertumbuhan yang normal. Pemakanan yang cukup dan seimbang mestilah dapat membekalkan kalori yang mencukupi, di samping bahan-bahan makanan yang tertentu seperti protein, vitamin, zat galian(mineral) dan sebagainya. Bekalan kalori yang cukup bergantung pada fasa pertumbuhan kanak kanak. Sekiranya pemakanan tidak mencukupi semasa peringkat kanak-kanak sedang membesar dengan pesat, pertumbuhan akan terencat (Bernet,2005). Contohnya,kanak kanak pada tahun pertama dan remaja yang sedang mengalami pertumbuhan pada kadar yang pesat mesti mendapat bekalan kalori yang mencukupi ada fasa pertumbuhan yang lain. Tanpa bekalan kalori yang mencukupi pada fasa pertumbuhan cepat ini, proses pertumbuhan akan terganggu.  Daripada jumlah 105 kanak-kanak yang diukur antropometri, hanya terdapat separuh daripada golongan tersebut mempunyai masalah pemakanan di awalnya.

Namun demikian, orang ramai harus berhati-hati dengan pengambilan pelbagai jenis vitamin yang dikatakan boleh mengurangkan masalah pembelajaran. Melalui Akademi Pediatrik Amerika (The America Academy of Pediatricks) telah mengumumkan terapi vitamin tidak wajar dijadikan rawatan bagi masalah pembelajaran. Hingga kini tidak ada bukti kukuh dan konsisten bahawa sesuatu ubat-ubatan atau makanan atau minuman dapat mengurangkan masalah pembelajaran (Abdulla Yusof, Safani Bani, 2006).

Selain itu juga faktor penting dalam pemakanan lebih merujuk kepada pemakanan ibu semasa mengandung. Hal ini dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan oleh Gold dan Sherry (1984) mendapati ibu yang mengambil alkohol semasa mengandung berisiko menyebabkan berlakunya masalah pembelajaran learning difficulties kepada anak yang dilahirkan. Ia juga dikuatkan dengan kajian oleh Shaywitz et al. (1980) menyatakan pendedaha kepada cocaine akan menyebabkan kepada perkembangan neuro receptors dan transmitters serta menyebabkan ketidakfungsian terhadap central nervous systems.





5.4          Biologi

Selain itu juga sejarah kanak-kanak  disleksia adalah dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan. Ini memungkinkan faktor biologi ini menjadi punca ketidaksempurnaan  perkembangan seorang kanak-kanak kerana kekurangan bekalan oksigen semasa dilahirkan. Sebahagian daripada kerosakan otak yang berlaku akan menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar yakni disleksia. Terdapat andaian bahawa Biochemical Abnormalities juga disebabkan oleh sel-sel. Kekurangan dalam pengeluaran neurotransmitters seperti serotin, neropinephrine, acetylcholine dan bahan kimia yang lain diandaikan juga antara penyebab kesukaran di dalam neural impulse transmission dan kesan pembelajaran serta masalah tingkah laku.


5.5          Kematangan

Bahagian tertentu dalam sistem saraf kanak-kanak boleh mempengaruhi kematangan mereka. Menurut kajian yang dijalankan kanak-kanak perempuan mempunyai tahap kematangan yang lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki. Faktor ini boleh menyebabkan berlakunya disleksia pada kanak-kanak tersebut.



6.0       CIRI-CIRI PERKEMBANGAN FIZIKAL, KOGNITIF, SOSIAL

Drake (1989) menyatakan bahawa masalah disleksia dirujuk kepada beberapa ciri, antaranya: kesukaran belajar berbahasa, ketidakseimbangan dan kebolehan intelektual, tidak lancar membaca sesuatu bahan bercetak, tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat (kesukaran meniru tulisan dari papan hitam atau buku), mata menjadi penat setelah beberapa minit menumpu pada tulisan, dan tumpuan yang terhad (pendengaran dan pengamatan visual). Murid yang lemah dalam  pembelajaran seperti mengalami disleksia perkembangan ialah kanak-kanak yang  membaca kurang baik berbanding dengan kanak-kanak yang lebih muda darinya kerapkali ditempatkan ke dalam kelas pemulihan khas. Kelas pemulihan khas diwujudkan bagi mengatasi kegagalan menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Perkembangan kognitif menurut Rosana (1998), kanak-kanak disleksia dapat dikesan melalui 8 ciri utama iaitu melalui tulisan kosa kata yang tidak seimbang dengan kosa kata lisan, lambat dalam tindakan berlisan, lemah dalam menyusun isi barangan, tahu pada sesuatu ketika dan lupa pada hari berikutnya, kurang kemahiran mengeja pada tahap yang sepatutnya, faham bahan pengajaran di dalam kelas tetapi merosot dalam ujian, tidak tepat dalam bacaan dan tidak terancang. Dari segi perkembangan fizikal pula, murid-murid yang mengalami masalah disleksia tidak mempunyai sebarang kecacatan anggota dan tahap kecerdasan mereka juga adalah normal. Mereka boleh berbual dan bergaul seperti murid lain. Ini menyebabkan tiada sebarang tindakan diambil bagi membantu kanak-kanak  tersebut dalam pelajaran. Akibatnya, murid-murid ini berkemungkinan besar disalah labelkan sebagai sama ada murid pemulihan atau bermasalah pembelajaran yang umum sahaja (Sofiah Ali, 2000; Zabidi Husin, 2000). Perkembangan fizikal mereka juga dilihat, tidak berminat dalam pelajaran dan selalu dilabelkan sebagai pemalas dan bodoh. Pakaian yang dipakai sentiasa bersih tetapi tidak kemas dan butang baju sentiasa salah butang. Mereka juga mempunyai daya pengamatan.pendengaran dan penglihatan yang lemah. Kekeliruan juga timbul di mana mereka sukar untuk membezakan  kiri dan kanan.

Ciri-ciri perkembangan kanak-kanak disleksia ini juga boleh dilihat dari peringkat pra-sekolah, peringkat sekolah rendah, peringkat sekolah menengah. Pada Kanak-kanak pada peringkat pra-sekolah, didapati kanak-kanak ini mempunyai kemahiran bertutur yang lambat dan sukar memahami arahan, suka mengganti perkataan dan hiperaktif, mempunyai kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah, sering terlupa nama benda-benda atau pelajaran yang dipelajari, tidak melalui proses merangkak semasa bayi dan suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri. Pada peringkat sekolah rendah  pula, iaitu seawal dari umur 6 hingga 9 tahun, masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia ini adalah kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah dan suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor, menggunakan jari untuk mengira dan membaca, sering kali keliru dengan kiri dan kanan dan mempunyai gaya tulisan cermin atau terbalik.

Apabila umur meningkat kepada 9 hingga 12 tahun pula, masalah lainya akan timbul, yakni kanak-kanak ini akan melakukan  kesilapan ketika membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman, masa yang lama diambail untuk menyiapkan tugasan atau latihan yang diberikan dan kesukaran menyalin maklumat dipapan putih atau buku teks. Selain itu juga mereka sangat sukar mengikuti arahan lisan yang panjang dan kelihatan tidak terurus semasa berada dirumah atau sekolah. Mereka juga mempunyai keyakinan yang kurang  dan menghadapi masalah tekanan jiwa. Apabila meneruskan pelajaran ke sekolah menengah pula, mungkin masalah ini akan timbul seperti kesukaran menulis karangan, keliru dengan nombor-nombor dan arahan oral,  dan kesukaran mempelajari bahasa lain. Kanak-kank ini juga tidak mempunyai ramai kawan dan mempunyai perwatakan senyap dan kurang kemahiran dalam bersosial.

Menurut Rubiah Kulop (1997) dalam satu kajian tentang Guru Khas Pemulihan, masalah disleksia yang wujud dalam kalangan kanak-kanak pemulihan dapat dilihat melalui tiga aspek. Pertama, kanak-kanak ini lemah dari segi perkembangan mental dan kadang-kadang mengalami kecacatan lain seperti gangguan kesihatan, pengalaman yang terhad serta gangguan emosi. Kedua, kanak-kanak tersebut selalu ponteng sekolah dan mempunyai latar belakang masalah kemiskinan, dan yang ketiga, kanak-kanak ini mengalami kesukaran dalam kemahiran bacaan dan penulisan sehingga mengakibatkan pencapaian yang rendah dalam pelajaran (Rajesvari Ramasamy, 2008).


(Vijayaletchumy A/P Subramaniam, 2003)

7.0       KESAN-KESAN UTAMA KANAK-KANAK DISLEKSIA TERHADAP PEMBELAJARAN

Kanak-kanak yang menghidapi disleksia memberi kesan kepada proses pembelajaran mereka terutamanya di sekolah. Kesan-kesan utama ini bukan sahaja menggangu keberkesanan pengajaran yang disampaikan oleh guru, namun yang paling menyedihkan ialah mereka tidak dapat melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan seperti kanak-kanak normal yang lain. Kesan-kesan utama yang dapat dilihat ialah :

7.1       Membaca

Kebolehan membaca adalah sangat penting bagi membolehkan murid mempelajari apa yang tersenarai di dalam kurikulum sekolah dan dapat menerima ilmu pengetahuan yang disampaikan bukan sahaja di sekolah, malah pembelajaran yang berlaku di sekeliling mereka. Kesukaran membaca menyebabkan murid tidak dapat belajar sendiri. Murid rasa rendah diri dan tidak berkeyakinan tentang kebolehan sendiri. Rasa rendah diri ini menjadikan mereka tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan yang lain.

7.2         Mengeja

Pada jangka panjang, kebolehan mengeja akan memberi kesan yang lebih negatif daripada kelemahan membaca. Kelemahan mengeja merupakan faktor kepada kegagalan murid untuk membaca. Kelemahan mengeja akan menghadkan kebolehan murid untuk menyampaikan pengetahuan yang telah dipelajari di dalam kelas. Kelemahan ini juga akan menyebabkan murid sentiasa mendapat markah yang rendah dalam ujian dan peperiksaan.

7.3       Menulis

Masalah utama adalah perbezaan antara kebolehan murid untuk menyampaikan pengetahuannya secara lisan dan bertulis. Kesukaran-kesukaran oleh murid disleksia akan memberi kesan negatif terhadap penguasaan  kemahiran menulis mereka. Antara kesan yang dapat dilihat tulisan kanak-kanak ini terbalik iaitu b menjadi d, q menjadi p, 6 menjadi 9 dan sebagainya.

7.4          Tulisan

Tiga aspek tulisan perlu diambil kira iaitu boleh membaca, kepantasan menulis, dan kematangan menulis. Kelemahan dalam mana-mana aspek ini akan menyebabkan kanak-kanak menghadapi masalah dalam pembelajarannya.

7.5       Nombor

Kesukaran yang dihadapi dalam numerasi adalah sama dengan kesukaran yang dihadapi dalam literasi. Murid menghadapi masalah untuk membaca teks, menulis bentuk digit dan menulis digit bagi sesuatu nilai nombor.

7.6         Bahasa
Kebiasaannya murid mengalami kesukaran untuk menyampaikan pengetahuan, menggunakan perkataan, menamakan benda, mengingat suku kata bagi perkataan yang panjang. Ia juga dikenali sebagai kecacatan tersembunyi dan kesan negatifnya juga merentas kurikulum.

7.7       Emosi/Tingkah Laku

Pencapaian prestasi yang rendah menyebabkan murid rendah diri dan kecewa. Ini boleh menyebabkan masalah tingkah laku yang lebih teruk, diikuti dengan pencapaian akademik yang rendah dan seterusnya. Selain itu, masalah tingkah laku menyebabkan murid menghadapi masalah sosial seperti tidak boleh berinteraksi dengan rakan sebaya.


8.0       LANGKAH PENCEGAHAN

Perlaksanaan Dasar Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 melalui perintah Pendidikan (Pendidikan Wajib) 2002 yang memberi peluang kepada semua warga Malaysia yang berumur 6 tahun untuk mendapat pendidikan di institusi yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia. Peluang diberikan kepada semua rakyat dalam lingkungan umur agar mendapat pendidikan secara percuma. Dasar Persekolahan Wajib merupakan antara rentetan dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah dimurnikan melalui Dasar Pendidikan Untuk Semua, serta Dasar Pendemokrasian Pendidikan yang telah dilancarkan sebelum ini. Akta Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) seksyen 41. Mengikut akta tersebut semua pelajar bekeperluan khas yang boleh dididik dan mampu mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain-boleh diterima bersekolah.  Selain itu,terdapat pelbagai tahap pendidikan yang disediakan oleh kerajaan kepada murid murid bekeperluan khas di Malaysia antaranya
              I.        prasekolah,
            II.        sekolah harian biasa rendah dan menengah
           III.        sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif.
          IV.        pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.

Pendidikan Khas semakin diberi perhatian sejak penggubalan semula Akta Pendidikan 1991 kepada Akta Pendidikan 1996. Melalui Akta Pendidikan 1996, Seksyen 40: Menteri hendaklah mengadakan Pendidikan Khas. Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di Sekolah Khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34 (1)(b) atau di mana-mana sekolah rendah dan menengah yang difikirkan oleh Menteri suaimanfaat. Akta Pendidikan 1996, Bab 8, Seksyen 41, Subseksyen (1)(b) dan Peraturan 4, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 iaitu : Dalam melaksanakan kurikulum pendidikan khas, guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran dan pembeljaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.

Oleh yang demikian, langkah-langkah yang wajar perlu diambil untuk menangani masalah ini. Jika terdapat masalah disleksia yang dikenal pasti dalam diri seseorang murid, maka kita boleh salurkan mereka ke program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Di sini, sekolah ataupun kelas khas diwujudkan bagi mengumpul dan menempatkan murid-murid keperluan khas iaitu murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Jika tidak, murid-murid ini akan meneruskan pelajaran mereka sama seperti murid lain. Setiap tahun mereka akan meningkat dari darjah satu hingga ke sekolah menengah tanpa dapat menguasai kemahiran 3M. Murid ini akan mengikuti arus perkembangan pendidikan tanpa dapat menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya mereka kuasai dalam tempoh tersebut. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengisi masa lapang. Akhirnya mereka akan merasa hampa, terbiar, menjadi tempat cemuhan guru, dibuli oleh rakan dan sebagainya. Faktor-faktor ini akan menimbulkan rasa rendah diri yang sukar untuk diatasi oleh murid tersebut.

Antara pendekatan-pendekatan lain yang digunapakai bagi membantu kanak-kanak disleksia ialah dengan membawa mereka berjumpa dengan psikologi pembelajaran atau psikologi klinikal bagi mengesan tahap atau peringkat awal kanak-kanak disleksia ini dan mencari jalan penyelesaian bersesuai dengan tahap disleksia mereka. Kanak-kanak ini juga akan dibantu dari segi emosi dan kaunseling agar mereka sedar bahawa mereka berbeza tetapi tetap diterima dan disayangi oleh orang lain. Keprihatinan dari para guru diperlukan bagi mengesan kemahiran istimewa atau kebolehan semulajadi yang dimiliki oleh mereka agar kemahiran tersebut dapat digilap dan digalakkan. Guru juga perlu mengambil langkah agar tidak selalu memarahi mereka tetapi memberi pendekatan yang bersifat kasih sayang, contohnya dengan memberi mereka hadiah, galakkan dan konsep ganjaran dilakukan bagi menarik minat mereka untuk terus belajar.

Bagi ibu bapa pula, apa yang penting ialah sentiasa bersabar dengan karenah mereka walaupun mereka sering gagal dalam melakukan sesuatu perkara. Disamping itu juga ibu bapa boleh mengambil insiatif dengan memberi pendidikan awal kepada anak-anak mereka yang mengalami disleksia sebelum memasuki alam persekolahan yang pertama iaitu tadika mahupun prasekolah. Suasana yang harmoni diperlukan oleh kanak-kanak ini bagi membantu mereka menjalani hidup yang lebih bermakna. Apa yang penting ialah ibu bapa digalakkan mengikuti persatuan sokongan ibu bapa atau penjaga bagi kanak-kanak yang mengalami disleksia.

Selain itu juga, langkah pencegahan disleksia bukan hanya melibatkan kanak-kanak yang telah disahkan menghidapi disleksia tetapi pencegahan pada peringkat awal yang melibatkan ibu. Pada peringkat atau proses ini ibu bapa diberikan beberapa panduan dan maklumat pencegahan bagi mengelakkan anak yang dikandungkan menghidapi masalah pembelajaran seperti disleksia. Berikut merupakan antara saranan dan pendekatan yang diberikan kepada ibubapa terutamanya ibu :

1.    Pencegahan pelalian rubella kepada ibu sebelum proses kehamilan
2.    Ibu yang dijangkiti siflis dapat melahirkan anak melalui pembedahan caeseran
3.    Ibu-ibu dinasihatkan mengurangkan pengambilan alcohol terutamanya di peringkat 12-18 minggu mengandung iaitu semasa sel otak sedang terbentuk
4.    Sering berjumpa doctor sewaktu proses kehamilan. Ujian-ujian penyaringan seperti penyaringan metabolic, air kencing, dan ujian darah dapat dilakukan untuk mengesan kewujudan penyakit.
5.    Umur ibu sewaktu mengandung/melahirkan anak biarlah dibawah usia 45 tahun keatas kerana risiko mendapatkan anak cacat adalah 1:16 kelahiran.
6.    Menjarakkan kelahiran untuk menentukan ibu bapa mampu menyara hidup anak-anak dengan diri mereka.
7.    Selepas kelahiran kanak-kanak mereka perlu diberi perhatian untuk proses perkembangan dan pertumbuhan mereka.
8.    Keselamatan perlu dijaga untuk mengelakkan diri daripada mendapat kemalangan tertentu dibahagian kepala.
9.    Permainan yang bahaya seperti permainan kasut roda yang tidak digalakkan
10.  Penggunaan yang tidak memakai tali pinggang kaledar yang direka khas kepada bayi apabila membawa mereka bersiar-siar.



9.0       PENUTUP

Penubuhan program disklesia telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak pengambilan kumpulan pertama guru-guru untuk menjalani kursus disleksia selama empat belas minggu. Program ini telah dapat direalisasikan pada 13 Mac 2004 dan memilih Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) sebagai sekolah pertama yang memulakan program ini. Program ini dilancarkan secara rasmi di peringkat kebangsaan pada 16 Jun 2004 oleh Yang Berbahagia Puan Hajah Siti Zaharah binti Mat Akib iaitu Timbalan Ketua Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Murid-murid yang menghidap disleksia seringkali merasa ketinggalan dalam kelas kerana masyarakat sering mengaitkan kelancaran membaca dan menulis dengan kepintaran seseorang murid. Murid-murid disleksia yang mempunyai masalah membaca dan menulis dianggap murid-murid yang lemah tanpa mengambil kira faktor bahawa murid-murid tersebut mempunyai kecerdasan otak yang tinggi. Oleh sebab murid-murid disleksia berfikir dalam bentuk imej, bukan huruf atau angka, maka mereka menghadapi masalah untuk menyesuaikan cara pembelajaran mereka dengan sistem pembelajaran yang sedia ada.

Menjadi peranan dan tanggungjawab guru dan ibu bapa bagi membantu kanak-kanak yang yang dikategorikan menghidap disleksia. Kegagalan kita sebagai masyarakat yang paling hampir dengan kanak-kanak ini boleh menghancurkan masa depan mereka utntuk menjadi seorang yang berguna. Mungkin kanak-kanak disleksia ini mampu menjadi personaliti yang terkenal. Sebagai contoh personaliti yang terkenal seperti Albert Einstein, Henry Ford, Alexander Graham Bell, Walt Disney, Cher, Whoopi Goldberg, General George Patton, Robin Williams' dan Leonardo da Vinci pada asalnya merupakan individu disleksia. Contoh beberapa personaliti yang dikemukakan ini menunjukkan bahawa individu disleksia mempunyai kelebihan dalam 1 atau 2 bidang yang tertentu seperti yang disyorkan oleh International Dyslexia Association (2003).





Kesungguhan golongan professional berusaha membantu kanak-kanak disleksia. Usaha ini dapat dilihat melalui tiga orang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan perisian baharu berbentuk cakera padat iaitu Phonics Tutor Software untuk kanak-kanak disleksia visual. Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia berkata penemuan teknologi itu membantu kanak-kanak disleksia visual menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Beliau berkata perisian itu menggunakan enam kaedah mengeja berteraskan Orton-Gillingham Phonogram serta membantu mereka mencungkil kebolehan dalam aspek berbeza. Produk yang dianggarkan berharga RM250 di pasaran kelak menekankan aspek bacaan bahasa Melayu berteraskan Teori Levinson yang sesuai untuk murid disleksia berumur empat hingga sembilan tahun.

Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM), Sariah Amin menyatakan bahawa kurangnya pendedahan dan kesedaran dalam kalangan guru serta ibu bapa terhadap disleksia menyebabkan kekeliruan terhadap masalah yang dihadapi golongan disleksia. Secara kasar ia mungkin dilihat sebagai individu buta huruf yang perlu dimasukkan ke dalam kelas pemulihan khas tetapi, sebenarnya mereka memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza. (Kosmo Online, 2011)





























RUJUKAN

Abdullah Yusof, Safani Bani. 2006. HBSE1103 – Pengenalan Pendidikan Khas. Open University Malaysia (OUM)

Amir Awang, 1991. Modifikasi Tingkah Laku dan Terapi. Universiti Sains Malaysia: Pulau             Pinang

Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon, 2006. Psikologi Sosial   Alam Remaja, PTS Profesional: Selangor

Bulletin Pendidikan Khas. April 2010. Jilid 1,Bil. 1. ISSN 2180-110X.
http://epkhas.ses.usm.my dimuat turun pada 29/04/2010

Bulletin Pendidikan Khas. 2010. Jilid 2,Bil. 2. ISSN 2180-110X.
http://epkhas.ses.usm.my dimuat turun pada 29/04/2010


Jamila K.A. Mohamed. 2005. Pendidikan Khas Untuk Kanak-Kanak Istimewa. Kuala Lumpur : PTS Professional

K.A Razhiyah. 2005. Menjadi Guru Pendidikan Khas. Kuala Lumpur : PTS Professional

Rajesvari Ramasamy. 2008. Masalah Disleksia dalam Kalangan Murid-murid Pemulihan Di Sekolah Rendah, Pulau Pinang. Universiti Sains Malaysia

Rohaty Mohd Majzub, Shafie Mohd Nor. 2005. Simptom Disleksia Kanak-Kanak Prasekolah. Jurnal Pendidikan 30 (2005) 3 – 19

Shahabuddin Hashim, Mahani Razali, Ramlah Jantan. Psikologi Pendidikan. Selangor : PTS Professional

Shareender Kaur Mukhtar Singh. Mac 2004. Keupayaan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Dalam Menerapkan Proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Kalangan Pelajar Kurang Upaya Di Negeri Johor. Universiti Teknologi Malaysia

Shuhada Mansor. Beri semangat anak disleksia. dimuat turun pada 29/03/2012 http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berisemangatanakdisleksia/Article/index_html 

Vijayaletchumy A/P Subramaniam. 2003. Tesis Doktor Falsafah : Disleksia Dalam Aspek Bacaan Bahasa Melayu. University Putra Malaysia

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya mohon dihalalkan ilmu disleksia yang saya ambil untuk tugasan saya. sesungguhnya perkongsian cerita tuan banyak membantu saya menyelesaikan tugasan saya. semoga Allah mengurniakan kebahagiaan buat tuan sekeluarga, amin..

Kasturi Nusi berkata...

silakan... :)

nur hidayah mohiddin berkata...

Assalam..saya mohon ilmu tuan untuk dikongsikan secara ilmiah...saya mohon dihalalkan ilmu disleksia yang saya ambil untuk tugasan saya. sesungguhnya perkongsian cerita tuan banyak membantu saya menyelesaikan tugasan saya. semoga Allah mengurniakan kebahagiaan buat tuan sekeluarga, amin..

Kasturi Nusi berkata...

silakan semoga Allah memberikan kebahagian buat saya dan anda juga. Terima kasih doanya

Ruzanna Mohammad berkata...

Assalamualaikum...

Prof. Madya Dr Vijayaleychumy (FBMK, UPM) adalah supervisor saya...dan saya juga kini sedang menyiapkan penyelidikan tentang disleksia...

Tanpa Nama berkata...

salam. maklumat yang sangat berguna. saya share maklumat ini ya, terima kasih :)

Kasturi Nusi berkata...

Silakan...semoga dapat membantu

Kasturi Nusi berkata...

Teruskan usaha...

AdminInterlid Interlid berkata...

Assalamualaikum, saya baru menghasilkan app Android (utk tablet dan smartphone) khas utk parents dan guru2 belajar teknik mengajar kanak-kanak disleksia tanpa menggunakan kertas dan pensel. Teknik ini disebut multisensori (pelbagai deria).
SIlalah kunjungi fb page https://www.facebook.com/Interlid untuk maklumat lanjut. atau http://myvitalvits.blogspot.com/2014/01/bantuan-kemahiran-membaca-untuk-kanak.html

Saya ingin jemput ibubapa utk mencuba app ini.

Tanpa Nama berkata...

assalammualaikum. satu perkongsian yang baik sekali. :) izinkan saya berkongsi untuk kajian saya. wassalam/