CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Jumaat, 28 Jun 2013

Apam Polkadot

Hari yang berlalu...
Melewati kegembiraan...
Melewati kedukaan...

Hari yang berlalu...
Mengukir sebuah senyuman...
Memahat sebuah tangisan...

Hari yang berlalu...
Mengharap adanya bintang...
Mengharap adanya mentari...
Mengharap adanya pelangi...

Kita hanya hamba...
Kita hanya manusia biasa...
Kita hanya bisa berharap...

Maha Suci Allah yang menjadikan sekalian penghuni alamnya...
Bersyukur pada Mu Ya Allah...
Masih berpeluang bernafas dibumi Mu yang indah...

Bermadah-madah la pulak...
Apa pun gembira bila dapat menghasilkan sesuatu untuk anak-anak...
Dipersembahkan Apam polkadot walaupun kurang menyerlah kejelitaannya...
Hasil carian di cik Google...tq chef2...

Khamis, 27 Jun 2013

Kuih cara manis

Assalamualaikum...selamat petang...hari ni menu utama tuk anak sebelum pulang dari sekolah tentunya kuih kegemaran... Kuih cara kurangkan manis...hihii

Resepi yang simple mudah dan tak payah nak guna ukuran...

Selamat menjamu selera....

Rabu, 19 Jun 2013

PENGAJARAN MENGGUNAKAN BAHAN KONKRIT



AKTIVITI 1 – BAHAN KONKRIT



1.    TEMA      :
Dalam perlaksanaan aktiviti 1, tema atau bidang yang ingin disampaikan adalah tajuk Sukatan dan Geometri untuk Tahun 2 bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Tajuk ini merupakan antara tajuk yang akan diajar di Tahun 2 bagi memperkenalkan dan menjelaskan Asas Bentuk dan Ruang kepada murid-murid diperingkat sekolah rendah.


2.    TAJUK    :
Dalam tema dan bidang Sukatan dan Geometri ini, antara tajuk yang akan diperkenalkan kepada murid-murid ialah tajuk Ruang. Tajuk Ruang ini juga meliputi pengajaran bentuk-bentuk bagi dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D). Namun untuk aktiviti 1 ini, murid akan dibimbing untuk mengenal pasti bentuk tiga dimensi (3D).


3.    HASIL PEMBELAJARAN         :

3.1.  Di akhir proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat :

a)    Menguasai isi kandungan pelajaran
-     Menyatakan bentuk-bentuk tiga dimensi (3D)
-     Menyatakan ciri-ciri bentuk-bentuk tiga dimensi (3D)

b)    Membina kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir
-          Menyatakan benda  yang  mempunyai persamaan dengan bentuk tiga dimensi.
-          Menghubungkait fungsi bentuk 3D dalam kehidupan sehari-hari

c)    Mengamalkan sikap saintifik dan nilai murni.
-          Bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan
-          Melibatkan diri dalam aktiviti bersoal jawab
-          Seronok melakukan aktiviti


4.    LANGKAH-LANGKAH : ( +  40 minit )

Aktiviti bagi tajuk ruang dengan kemahiran mengenal bentuk-bentuk 3D ini diadakan di dalam kelas murid Tahun 2  Amanah. Murid yang terlibat adalah seramai 24 orang yang terdiri daripada 11  orang lelaki dan 13 orang perempuan.

a)    Fasa Persediaan, (pemerhatian dan analisis)

   


Guru telah menyediakan pelbagai bentuk 3D dan disusun kemas di atas meja dihadapan kelas.

*      Murid  diagihkan kepada beberapa kumpulan matematik yang terdiri daripada 4 orang murid dan mempunyai peranan masing-masing iaitu guru kecil, pencatat, pelari dan pengulas.
*      Guru akan memanggil secara rawak seorang ahli dari setiap kumpulan untuk menamakan bentuk 3D yang telah disediakan oleh guru.
*      Murid menjawab soalan yang dikemukan oleh guru.
*      Guru menjelaskan kepada murid tajuk yang dipelajari pada hari tersebut.

b)    Fasa Imaginasi, (Penjanaan Idea)

*      Guru mengaitakan bentuk yang dipelajari dengan bentuk yang terdapat dengan persekitaran murid.


*      Guru menyediakan 6 bongkah  berbentuk  3D.  Wakil setiap kumpulan iaitu pelari diminta untuk tampil ke hadapan untuk mengambil setiap  bentuk 3D yang disediakan.

*      Guru meminta murid untuk berbincang sifat-sifat bentuk 3D yang ada pada kumpulan mereka. Guru juga mengedarkan papan kumpulan untuk menulis jawapan yang mereka perolehi. Guru meminta pencatat dari setiap kumpulan untuk mencatatkan dapatan yang mereka perolehi
*      Setelah perbincangan selesai bagi setiap kumpulan, guru meminta pengulas setiap kumpulan untuk menyatakan permukaan yang terdapat pada setiap bentuk 3D yang diberikan. Guru juga menyoal mengenai permukaan rata dan permukaan melengkung.
*      Guru bersoal jawab dengan murid hasil dapatan melalui perbincangan mereka mengenai sifat-sifat bentuk 3D yang disediakan.


c)    Fasa Perkembangan, (Penambahbaikan, dan menilai)

*      Guru menyusun bongkah berbentuk 3D dihadapan kawasan yang berlainan di dalam kelas. Setiap kumpulan diminta untuk menyenaraikan setiap ciri yang diwakili bagi setiap bentuk 3D yang ada.
*      Murid juga diminta untuk melukis bentangan bentuk 3D tersebut atas kertas  yang disediakan.
*      Setelah setiap bentuk telah dilukis bentangannya. Guru akan meminta setiap guru kecil untuk menceritakan secara ringkas tentang salah satu bentuk yang mereka perolehi.

*      Guru akan memberi respon hasil jawapan murid. Disamping itu juga murid-murid dari kumpulan lain akan menyemak jawapan yang mereka perolehi.


d)    Fasa Tindakan, (Perlaksanaan, Amalan Berterusan)

*      Guru mengedarkan lembaran kerja kepada setiap orang murid.
*      Guru meminta guru kecil untuk membantu rakan-rakan murid yang menghadapi masalah dan memerlukan pertolongan.
*      Guru berbincang dengan murid jawapan lembaran kerja.
*      Guru menutup sesi pengajaran dengan menyoal murid. Guru menunjukkan beberapa keeping gambar dan meminta murid meneka bentuk bongkah tersebut.

REFLEKSI PENGAJARAN SAINS 2


REFLEKSI PENGAJARAN 2 ( RPH 2 )





1.0       PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Sebelum melangkah masuk ke dalam bilik darjah,  suasana di dalam agak tenang tidak seperti kebiasaannya.  Tentunya murid-murid  mengetahui bahawa hari  ini pengajaran dan pembelajaran akan dirakam  untuk tujuan penilaian. Bagi menjayakan proses rakaman ini, saya dapatkan bantuan seorang rakan yang mahir dalam mengendalikan ’handycamera’. Keseronokan mereka untuk menjadi pemain utama dalam skrin layar telah dirasai beberapa hari yang lalu apabila guru lain juga menggunakan mereka  sebagai murid untuk penilaian mata pelajaran Sains. Ketenangan yang saya rasai hari ini diharap dapat membantu saya memulakan pengajaran dengan baik mengikut perancangan dan masa yang telah saya peruntukkan. Ini kerana tidak semua yang kita rancang akan berjalan dengan baik. Kita  hanya merancang Tuhan yang Maha Menentukan.  Melangkah masuk ke dalam kelas yang tenang sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada saya untuk memulakan pengajaran.

Saya melangkah masuk ke dalam kelas 4 Amanah dengan langkahan kaki kanan semoga apa yang ingin saya curahkan dan laksanakan berjalan dengan baik dan murid-murid mendapat manfaat dari apa yang saya sampaikan. Kedengaran ketua kelas mengucapkan ’Good Morning Teacher’. Seperti hari-hari sebelumnya, saya mulakan pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan set induksi. Hari ini saya telah mengajar mata pelajaran Sains di bawah sukatan Sains Unit 5 yang bertajuk bahan bagi   Tahun 4.

 Objektif set induksi pada hari ini ialah, murid dapat menyatakan tajuk pelajaran yang akan saya ajar berdasarkan bahan-bahan yang saya bawa.  Seramai 24 orang murid yang hadir daripada 28 jumlah keseluruhan. Sebab musabab 4 orang lagi tidak menghadirkan diri ke sekolah tidak dapat saya kenalpasti kerana mereka tidak memaklumkan kepada saya yang juga bertugas sebagai guru kelas mereka, hanya seorang daripada mereka telah bercuti lebih awal setelah peperiksaan semester 2 berakhir memandangkan keluarga yang ditimpa musibah.

Kemahiran pengajaran adalah penting dalam  sesi pengajaran dan pembelajaran. Set Induksi atau ’permulaan’ ialah kemahiran menyediakan atau meletakkan idea-idea kepada murid-murid. Pengajar yakni saya sendiri perlu membentangkan ciri-ciri topik yang akan diajar, menyematkan di dalam fikiran murid-murid untuk menggerak pemikiran dan merangsang serta mencantumkan kandungan pengajaran dengan pengetahuan sedia ada pada murid-murid. Saya perlu memandu murid ke arah mana tujuan dan membuat perkaitan yang jelas dengan pengalaman lalu atau pengetahuan sedia ada murid-murid.

Dalam memulakan pengajaran bagi tajuk pengaratan, saya telah menyediakan beberapa slaid powerpoint yang saya harap dapat menarik perhatian dan secara tidak langsung membuat perkaitan dengan tajuk yang saya ajar. Berusaha sepenuhnya bertindak sebagai pemudah cara dengan mengajukan beberapa soalan-soalan agar murid dapat memberikan idea-idea yang bernas dan jawapan tentang persoalan yang saya ajukan. Mendengar kepada jawapan murid, ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki. Masa yang saya gunakan  untuk pengajaran memenuhi kriteria masa yang telah ditetapkan dalam kemahiran pengajaran.

           
2.0       KEKUATAN

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan teratur. Empat komponen utama yang perlu ada dalam kemahiran set induksi dapat saya aplikasikan dalam mikropengajaran saya iaitu menarik perhatian, membangkitkan pemikiran, menstuktur kandungan dan membuat cantuman pengajaran. Dalam kemahiran pengajaran juga adalah untuk mengukuhkan pendekatan guru mengenai pelajaran yang ingin diajar, mengenal pasti kemahiran yang diperlu perbaiki, meningkatkan kefahaman guru bagai pelbagai gaya pengajaran yang berkesan disamping menerima maklum balas yang berkesan hasil pengajaran.

                     2.1                Menarik Perhatian Murid
                     Dalam menarik perhatian murid, saya telah menggunakan bahan bantu mengajar disamping menggunakan gerak geri badan dan kepelbagaian nada suara. Alat bantu mengajar yang saya gunakan dapat saya urus tadbir dengan baik. Disamping itu juga komunikasi dua hala antara guru dan murid dapat dirasai. Kepelbagaian nada suara adalah penting untuk menegaskan sesuatu perkara dan memberi ingatan kepada murid isi penting pelajaran.

                     2.2                Penggunaan Bahan Pengajaran
                     Dalam mencungkil ide-idea daripada murid-murid mengenai bahan yang disediakan saya juga menggunakan kemesraan dan menunjukkan semangat serta kesungguhan mendengar idea-idea yang disuarakan oleh murid. Sebagai contoh apabila seorang murid saya menyatakan pendapat dengan suara yang agak pelahan dan samar-samar, saya dekati murid tersebut dan menyebut semula idea yang disampaikan olehnya.  Menggunakan bahan-bahan media dan teknologi yakni sebagai alat bantu mengajar yang saya, dapat membantu saya dalam membuat perkaitan. Peralatan ini saya gunakan dalam membandingkan fungsi bahan-bahan yang boleh menyebabkan pengaratan. Mendengar kepada setiap idea-idea yang diberikan oleh murid, saya merasa amat gembira.


3.0               KELEMAHAN

                    Setiap pengajaran yang berlaku itu pasti ada kelemahannya, tidak kira ia kecil atau besar, memberi kesan ataupun tidak, sama ada kita sedari ataupun tanpa kita sedari. Selesai sahaja membuat rakaman mikropengajaran, saya bertanya kepada rakan yang turut sama berada semasa rakaman ini dilakukan tentang kelemahan, kekuatan dan aspek-aspek yang memerlukan penambahbaikan. Melihat kepada rakaman dan mendengar komen daripada rakan sejawat beberapa kelemahan telah dikenalpasti dan perlu diperbaiki supaya pengajaran saya memenuhi ciri-ciri set induksi yang berkesan dan kreteria pengajaran mata pelajaran Sains memandangkan saya kurang mahir dalam subjek ini, namun semua guru perlu fleksibel dengan tugas-tugas yang tidak pernah mereka duga.

                    3.1           Penggunaan perkataan dan laras bahasa yang kurang tepat
                    Berdasarkan rakaman, ada beberapa penggunaan perkataan  yang kurang tepat. Selain itu juga saya dalam mengajukan soalan juga, saya telah  memberi pembayang kepada jawapan. Ini tidak member peluang kepada murid untuk berfikir dan menyatakan idea mereka.

                    3.2           Cara penyampaian yang agak laju
                    Saya juga dapat merasakan pengajaran saya untuk tajuk ini  agak kelam kabut. Menurut rakan sejawat juga saya bercakap agak laju  dan terburu-buru. Hal ini mungkin saja kerana sebelum pengajaran ini berlangsung, sekolah agak sibuk dengan aktiviti akhir tahun yang memerlukan saya sebagai guru kelas dan guru mata pelajaran terlibat, disamping dengan aktiviti akhir tahun seperti penyerahan buku rekod, penyampaian hadiah, pembayaran yuran, penyediaan laporan dan sebagainya. Tentu saja saya berasa gementar dan takut, memandangkan waktu pulang sekolah juga semakin hampir. Di samping rasa gementar kerana melakukan rakaman untuk tujuan penilaian.

                    3.3           Arahan untuk menarik perhatian murid
                    Selain itu juga saya tidak mengarahkan kepada murid untuk fokus kepada peralatan yang saya tunjukkan. Ini dapat dilihat apabila terdapat beberapa orang murid yang melihat ke arah lain. Pengajaran saya mungkin kurang berkesan kerana saya  tidak dapat menghasilkan set induksi yang bermakna kepada semua murid dari segi umur, kebolehan dan minat, walaupun set induksi yang saya rancang itu berkait dengan isi pelajaran dan objektif pelajaran.



4.0       LANGKAH MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN

Setiap permasalahan pasti ada penyeleaiannya, oleh itu setiap kekurangan dan kelemahan semasa proses pengajaran perlu di atasi dengan usaha berterusan memperbaiki dan terus memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan dari semasa ke semasa. Bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang mengganggu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam pengajaran ini, beberapa cadangan dan tindakan perlu diambil dan dilaksanakan serta merta agar saya dan murid mendapat manfaatnya.

            Perkara pertama yang perlu saya lakukan adalah bersikap tenang dan profesional dalam mengendalikan sesuatu emosi agar ia tidak memberi  impak kepada pengajaran saya. Tidak perlu tergopoh-gapah dalam menyampaikan pengajaran saya. Sifat terlalu takut melakukan kesilapan juga antara punca yang telah saya kenal pasti. Saya akan lebih memotivasikan diri untuk meningkatkan semangat dengan mendapat pandangan dan motivasi dari siapa sahaja yang layak hatta pakar motivasi sekalipun.

Perkara kedua ialah saya juga perlu berjalan ke setiap sudut tempat murid bagi memantau dan memastikan setiap murid-murid saya sedang mengikuti pengajaran yang saya lakukan. Saya perlu bergerak ke bahagian belakang bagi memastikan murid yang berada di bahagian belakang kelas menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang ingin saya sampaikan dan melihat dengan jelas bahan yang saya sediakan. Jika saya berpeluang membuat pengajaran ini semula, saya akan menyediakan set pengajaran yang boleh melibatkan diri mereka sepenuhnya agar murid-murid boleh menggunakan deria lihat dan deria sentuh mereka sendiri bagi tujuan kefahaman yang lebih mendalam.

            Penggunaan bahasa dan ayat yang betul juga mempengaruhi keberkesanan pengajaran. Oleh yang demikian, saya perlu lebih teliti dengan penggunaan perkataan dan laras bahasa semasa sesi pengajaran supaya murid dapat memberi jawapan yang bersesuaian dengan kehendak sebenar objektif pengajaran. Kesilapan dalam penggunaan perkataan dan laras bahasa yang salah juga boleh memberi masalah kepada murid untuk menerima isi pelajaran secara tepat dan secara tidak langsung mengakibatkan  objektif pelajaran tidak dapat dicapai.

            Semoga refleksi ini dapat saya jadikan asas dan panduan untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan serta memantapkan penyampaian saya dalam proses pengajaran kepada murid-murid. Perubahan dan penambahbaikan ini bukan hanya untuk kepentingan diri saya sendiri malahan untuk kepentingan semua murid . Proses pengajaran yang berkualiti dan berkesan mampu membentuk modal insan yang berkualiti dan bertaraf dunia untuk kepentingan pembanguan agama, bangsa dan negara.