CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sabtu, 26 April 2014

MINTALAH FATWA DARI HATIMU

Nurkilan : Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin



Nabi Tahu Soalannya

 “Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang lelaki bernama Wabishah bin Ma’bad r.h. datang berjumpa Nabi SAW. Belum sempat dia membuka mulut, Rasulullah SAW meneka,
“Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas mengiyakannya.
“Benar!”
Baginda lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan  adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada kecil atau besar.

Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa

Salah satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah. Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu mententeramkan hati dan jiwa.  Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terrembes. Ia menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran,
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema,
“Ini baik ke buruk?”
Tanyalah hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita.  Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan. 

Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah

Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin. Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa. Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan  tujuan yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.

Jika Ragu, Tinggalkanlah

Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada.  Imam an-Nawawi memberikan contoh kes.
Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A.  Mufti berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan (syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat menyembelih binatang korban dan tahallul pada umrah Hudaibiah. Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa hati.

Isyarat Hati 

Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut ialah:
1)      Tanda dalam- hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud  menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2)      Tanda luar- tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal.
Hadis ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
                Syumulnya Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya menjadi pengawas eksternal.  
Jom sihatkan hati! Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.

(Sila rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)

YA SYABAB! BERSAMA ALLAH KAU TAK KAN LEMAH


Menjalin Ukhuwwah, Menghulur Dakwah

                Saya selalu mendengar tohmahan terhadap A.
“ Jika benar tohmahan itu, A perlu didik. Inilah dakwah,” fikir saya.
Saya yakin, Islam itu mendekati. Bukan hanya tahu mencaci. Islam itu ramah. Bukan asyik marah-marah.
Saya mahu memandang semua orang sebagai galian dakwah yang istimewa. Siapapun dia, saya tidak mahu fokus kepada maksiat dalam hidupnya tapi fokus kepada potensi dirinya untuk masuk syurga. Sayapun terlalu bercita-cita untuk masuk syurga bersama seramai mungkin manusia.
Pucuk dicita ulam mendatang. A tiba-tiba menghantar mesej di facebook untuk berkenalan dengan saya. Kami lalu berjumpa dua kali. Saya menghadiahkan buku-buku agama kepada A. Dia ternyata sangat menghargainya dan mengabadikan kenangan itu di facebook. Jiwa A sangat lunak.


Tatkala Diri Difitnah

“Dia berjumpa dengan A. Ini mesti geng-geng A juga,” tusuk syaitan ke hati seorang lelaki. Berprasangka terhadap saya sekepala dengan A. Kebetulan lelaki itu sangat anti dengan A.
                Percaya kepada persepsi sendiri, bangunlah lelaki itu mengadu domba di sana-sini. Lantaran masyarakat cepat percaya kepada khabar angin, saya cepat menerima tempiasnya. Fitnah berpeleseran di mana-mana. Saya lalu diumpat keji. Dibuang dan dihindari. Stesen radio serta-merta menggelapkan nama saya daripada senarai tetamunya. Bahkan nama saya disiasat hingga ke JAKIM.
                Sumber-sumber yang dipercayai memberitahu saya tentang ‘kerja’ lelaki itu. Saya pun ada mendengar banyak berita tentang keaibannya. Manusia mana tiada aib? Jika lelaki itu telah membuka 10 aib saya, saya ‘mampu’ membuka 100 aibnya. Tapi saya tidak memilih untuk membongkar aibnya. Jika tidak, apa bezanya saya dengan dia di sisi Allah?


Pujukan al-Kahfi

                Pagi Jumaat yang indah. Saya bersimpuh di atas sejadah. Membaca sebuah warkah, tinggalan Nabi yang barakah.
                Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat dari awal surah al-Kahfi, ia terpelihara daripada (fitnah) dajjal.” (Riwayat Muslim, dinilai sahih).
Ada kisah-kisah indah dalam Surah al-Kahfi. Hati terubat bila merenungi. Ada kisah Ashabul Kahfi. Berkorban segalanya demi akidah. Berlindung di gua tatkala diburu musuh Allah. Tertidur selama 309 tahun. Menjadi bukti kebesaran Allah hingga ke hari ini. Dialah pembela kebenaran. Yang batil dilenyapkan. Yang benar tak hilang dimamah zaman.
Ada kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir. Perlu tawadhuk dalam menuntut ilmu. Rendahkan diri kepada yang lebih tahu.
Ada kisah Zulkarnain. Raja yang bertakwa dan adil. Allah SWT memberikannya kuasa memerintah dengan makmur. Timur dan Barat dikuasai. Beliau diminta membina dinding penghalang dengan makluk jahat ya’juj dan ma’juj.
Ada perumpamaan yang pelbagai. Kisah si kaya yang berbangga dengan hartanya.  Kisah si miskin yang perkasa dengan akidahnya dalam kisah dua pemilik kebun. Ada pesanan tentang kehidupan dunia yang sementara dan akan binasa. Ada kisah tentang keengganan iblis untuk seujud kepada Adam a.s. Mengingatkan kita tentang bahaya penyakit takabbur dan terpedaya.
Ya Allah, aku tidak sanggup lagi membiarkan Jumaatku berlalu tanpa al-Kahfi. Bantu diriku untuk terus kuat.
                Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang membaca al-Kahfi  pada hari Jumaat, pasti nur akan meneranginya antara dua Jumaat.” (Riwayat dikemukakan oleh al-Sayuti, dinilai Sahih).
Indahnya!


Pentas Konvensyen Fiqh Wanita

                Khabarnya, ada pihak-pihak tertentu cuba menghalang saya daripada ke pentas konvensyen Fiqh Wanita. Mereka mendakwa saya bakal membawa agenda A di sana. Saya tidak mahu mudah terhalang. Saya menyiapkan kertas kerja saya. Berpegang atas manhaj ilmu. Di situ, saya memuatkan kata-kata alim ulama sedunia. Tiada sepatahpun kata-kata A yang saya lampirkan. Prinsip saya, jika kita benar-benar ikhlas berjuang, kita tidak akan mundur di keji dan tidak semakin mara di puji.
                Saya tidak mampu mengubah apa yang telah terjadi. Tapi saya mampu menguasai respon saya dalam menghadapinya. Saya senyum sahaja. Saya sangat yakin terhadap kebenaran yang dibawa. Saya sangat percaya Allah akan cepat membela. Saya bertuah doa saya kini dalam kategori insan teraniaya. Hikmahnya, saya makin akrab bergantung harap dengan Allah!
                Kebenaran cepat terserlah apabila saya memilih bersabar dan bersikap positif. Saya tidak perlu penatkan diri mempertikaikan orang lain. Sebaliknya, saya fokus membina diri dengan ilmu dan hujah. Ternyata Allah itu Maha Menjaga. Maha Membela. Apabila saya berpeluang menjelaskan segalanya di pentas Konvensyen Fiqh, ramai insan teruja dengan sebuah fikrah. Mereka celik menilai mana benar, mana salah. Semuanya atas bantuan Allah SWT.
                “Saya tidak pernah mendengar hujah yang sebegini adil dalam isu ini. Saya ingin sebarkan ke seluruh dunia. Boleh bagi saya ‘slide’ konvensyen? ” Ini salah satu daripada ratusan respon positif yang saya terima. Alhamdulillah.


Akrabkan Diri dengan Allah!

                Dunia ini penuh prasangka. Banyak caci nista. Bangkitlah syabab agama. Kuatkan hubungan dengan Yang Esa. Hanya Dia mampu membela.
                Y a syabab,
Jika kau turun ke medan dakwah, tanpa hati membawa Allah, kau akan mudah lemah. Kau akan tersungkur dengan tohmah. Kau akan rebah dengan fitnah. Hari ini juga, binalah hubungan dengan-Nya. Dekati surat cinta-Nya. Damailah dalam pelukan sujud di hadapan-Nya. Yakinlah, Dia Maha Pembela!


        Syabab al-Kahfi

        Fitnah dan tohmah,
       Rencah berdakwah,
       Sakit dan susah,
        Tetap istiqamah!


       Tatkala senyumanmu sukar,
        Beleklah pujukan al-Kahfi,
    Di sana ada penawar,
    Tenaga dari Ilahi.

       Huruf demi huruf Al-Kahfi,

  Sesejuk air di kali,
  Amalan Nabi,
 Di Penghulu Hari.

         Awas para pengfitnah,
      Allahku tak pernah lengah,
       Pada kuasa-Nya kuberserah,
       Mengadili sejulur lidah.

Nukilan rasa,


#terimakasihustazahuntukayatayatbahagia#