CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Ahad, 6 Mei 2012

Integrasi dan Perpaduan Kaum Melalui dasar Pendidikan


HNS2013
KENEGARAAN
PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza dari segi kepercayaan, budaya dan bahasa. Perbezaan ini menyukarkan para pemimpin untuk memacu pembangunan negara. Oleh itu, perlu ada suatu formula yang jitu dan ampuh untuk mencapai perpaduan dan integrasi semua etnik menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu.
Justeru itu, aspek pendidikan telah dijadikan salah satu wadah utama kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan Negara. Oleh yang demikian, perancangan yang rapi dan terperinci telah dibuat untuk mencapai hasrat dan matlamat tersebut.
Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai – nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar.


DEFINISI PERPADUAN DAN INTEGRASI
Perpaduan bermaksud penggabungan, manakala integrasi pula membawa maksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan atau penyatuan (Kamus Dewan, 2002).
           Jika digabungkan dua perkataan ini, iaitu integrasi perpaduan ia membawa maksud mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini meliputi integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik (Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010: 62)
           Manakala konsep integrasi nasional, merupakan penyatuan kelompok masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai serta kepentingan bersama, yang mempunyai unsur penting iaitu anggota kelompok masyarakat yang bersatu padu sekalipun berlainan latar belakang, masing-masing berasa dipunyai dan mempunyai satu kelompok yang sama (a sense of belonging). Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses kerohanian atau spiritual, hasil daripada satu penghayatan dalam mana akhirnya berlaku perkongsisn pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional lebih merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).

SEJARAH PENDIDIKAN
Negara Malaysia mempunyai sejarah pendidikan yang unik dan tersendiri. Rentetan sejarah yang ada dan perubahan yang berlaku dalam arena politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan pada masa lampau, telah membawa kepada perubahan dalam perlaksanaan dasar dan corak pendidikan negara Malaysia serta menjadi landasan untuk perubahan pada masa akan datang. Berdasarkan kepada perkembangan sejarah yang berlaku, pendidikan di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu sebelum kedatangan British, semasa kedatangan British dan selepas kemerdekaan.

Sejarah Pendidikan Sebelum Kemerdekaan
Sistem pendidikan  sebelum kemerdekaan lebih bersifat keagamaan iaitu berasaskan sistem pondok atau madrasah. Ianya berkembang pesat sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65). Sekolah jenis ini bertujuan bagi melahirkan pelajar yang bermoral tinggi, namun terdapat kelemahan pada perlaksanaannya iaitu tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana tiada penekanan kepada mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris.
Sekolah Vernakular merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar disetiap sekolah dan berasaskan kepada identiti kaum masing-masing. Sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina atau Mandrin (Kuo Yu) dan bahasa Tamil untuk Sekolah Tamil. Manakala Sekolah Inggeris hanya ditubuhkan di kawasan bandar yang mana sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65).

Sejarah Pendidikan Semasa Penjajahan
Pada zaman penjajahan, setiap sekolah ditubuhkan mengikut kaum dan mempunyai kurikulum yang berbeza-beza serta lokasi sekolah juga terpisah mengikut kaum masing-masing. Sekolah-sekolah berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu pada masa itu, contohnya Sekolah Cina mendapat bantuan dari golongan peniaga Cina. Disamping itu juga sekolah Cina ini diberi pilihan sama ada mendapat bantuan Negara Cina ataupun bantuan dari kerjaaan tempatan.
Sistem pendidikan pada zaman ini meninggalkan kesan yang mendalam dari segi meningkatkan persaingan dikalangan semua kaum. Walaubagaimana pun, kependudukan Jepun telah banyak mengubah dan memberi kesan serta menjejaskan perkembangan pendidikan di Tanah Melayu. Sekolah dan kolej terpaksa dibaiki dan diperkemaskan kerana mengalami kerosakan dan siap selepas tahun 1946.


Sejarah Pendidikan Selepas Kemerdekaan
Selepas kemerdekaan, sistem pendidikan negara adalah berasaskan kepada laporan yang dikeluarkan iaitu Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Yu (1951) dan diikuti oleh Ordinan Pelajaran pada tahun 1952. Laporan Barnes disediakan bagi mengkaji dan menyiasat kedudukan pendidikan orang-orang Melayu pada masa itu. Antara syor yang diutarakan adalah penubuhan sekolah dwibahasan yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu juga Sekolah Vernakular akan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan. Laporan Fenn-Yu pula bertujuan mengkaji semula Laporan Barnes kerana dikatakan Laporan Barnes ingin menghapuskan bahasa dan kebudayaan masyarakat Cina.
Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan kemelut tersebut, kerajaan British telah menubuhkan satu jawatankuasa dan laporan jawatankuasa ini dikenali sebagai Ordinan Pelajaran (1952). Hasrat Ordinan Pelajaran (1952) bagi membentuk satu corak sistem persekolahan yang menghapuskan Sekolah Vernakular Cina dan Tamil tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan pada ketika itu. Apa yang jelas ialah sistem pendidikan pada zaman tersebut lebih dipengaruhi oleh corak sosio-ekonomi yang dicetuskan oleh kaum masing-masing. Aspirasi dan fikiran yang berlainan dikalangan masyarakat menyukarkan pencapaian sesuatu matlamat (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 68).

DASAR PENDIDIKAN
Pada zaman penjajahan, sistem pendidikan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Ianya berkembang mengikut identiti, taat setia dan keturunan mereka kepada negara asal. Ini memberi satu tekanan kepada pembangunan rakyat tempatan pada ketika itu. Bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah, beberapa langkah telah diambil dan menggubal satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
Dasar Pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa tahap perkembangan. Pembentukan Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama merupakan tahap awal kepada terbentuknya Dasar Pendidikan di negara ini. Parti Perikatan yang mencapai kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1995 di bawah pimpinan Yang Berhormat Dato’ Tun Abdul Razak Hussien telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pelajaran dan mensyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan. Laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan penyata ini termaktub dalam Ordinan Pelajaran (1957). Penyata Razak ini mempunyai tujuan utama iaitu untuk menyatupadukan kaum di Malaysia yang mana pada waktu itu terpisah oleh bahasa dan budaya yang berbeza-beza. Antara matlamat utama Penyata Razak ini ialah :
  •  Semua sekolah di Tanah Melayu mempunyai satu sukatan yang sama. 
  • Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 
  •   Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah dan menengah
  •  Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu
  • Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan kaun dapat dikurangkan. 
  •   Mewujudkan masyarakat yang toleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan progresif.

Terdapat pelbagai reaksi yang diperolehi dikalangan kaum termasuk parti politik kesan daripada Penyata Razak. Orang Melayu tidak berpuas hati dan syahk wasangka terhadap kedudukan Bahasa Inggeris di sekolah. Selain itu juga Kesatuan Guru Sekolah Cina dan akhbar Cina menentang Perkara 12 iaitu objektif akhir adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Manakala Kesatuan Guru Sekolah Tamil menentang kerana berpendapat bahawa kemajuan Sekolah Tamil akan terencat. Akibat terlalu banyak penentangan terhadap Penyata Razak maka satu jawatankuasa pula ditubuhkan untuk mengkaji semula Laporan Razak. Hasil semakan dan kajian semula yang dijalankan terhadap Laporan Razak, maka terhasillah Laporan Rahman Talib pada tahun 1960.
Secara umumnya Laporan Rahman Talib bersetuju dan menyokong hampir kesemua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak, dan terhadap beberapa usul tambahan. Dalam mencapai matlamat menyatupadukan kaum, Laporan Rahman Talib mengsyorkan supaya pendidikan di peringkat sekolah rendah diberikan secara percuma, dan membolehkan kanak-kanak menikmati alam persekolahan dalam sistem pendidikan. Semua sekolah yang menerima bantuann kerajaan ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Dengan ini perlbagai kaum dapat memelihara bahasa dan budaya masing-masing.
Manakala untuk mewujudkan dan mengeratkan perpaduan kaum, peperiksaan juga telah diadakan dalam satu bahasa iaitu sama ada Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris. Melalui laporan Razak dan Laporan Rahman Talib ini terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran ini dibentuk bertujuan untuk mencapai perpaduan kaum di Malaysia melalaui sistem Pendidikan. Akta Pelajaran 1961 telah menggariskan tiga asas utama iaitu keseragaman sistem persekolahan, penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, dan kurikulum serta peperiksaan sekolah yang sama dari segi kandungan dan bercorak kebangsaan.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa rusuhan kaum memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia. Pada tahun 1970, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum dan memupuk perpaduan dikalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi teras penting untuk menjayakan objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru iaitu mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Pemurnian Dasar Pendidikan untuk mencapai integrasi kaum berterusan apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam laporan itu menyatakan tujuan jawatankuasa ini :
            “Mengkaji semula matlamat dan kesannya sisitem pendidikan termasuk kurikulumnya, dalam rangka Dasar Pendidikan Kebangsaan yang wujud, dengan tujuan memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu berdisiplin dan terlatih” (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 100).
Laporan jawatankuasa ini adalah sama seperti laporan-laporan yang terdahulu iaitu untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pelajaran 1961. Menjadikan pendidikan sebagai alat utama untuk mencapai perpaduan di negara ini. Oleh tiu aspek bahasa telah menjadi penekanan utama untuk mencapai hasrat kerajaan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan Bahasa Malaysia ( Bahasa Melayu ) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al.,2002: 4-5). Melalui laporan Jawatankuasa Kabinet juga, Pusat Perkembangan Kurikulum telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1983. Kerajaan juga memperkenalkan Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988 untuk membentuk individu murid yang menyeluruh dan seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani, emosi dan jasmani (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101).
Menjelang tahun 1995, kerajaan telah meluluskan Akta Pendidikan 1996. Akta ini menggantikan Akta Pendiidkan 1961, tetapi masih menyokong matlamat menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia menerusi pendidikan. Akta ini menampilkan beberapa perubahan besar terhadap dasar pendidikan negara dan dianggap sebagai dasar yang sangat liberal. Ia dianggap membayangkan perubahan sikap masyarakat Melayu dan memenuhi beberapa impian masyarakat Cina(Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101). Akta ini juga memberi penekanan kepada peningkatan pendidikan prasekolah, pendidikan swasta, pendidikan keguruan, pendidikan teknikal dan pendidikan khas. Dalam seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaaan adalah abahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (Gurnam Kaur Sidhu et al., 2005: 75).
Terdapat 3 fokus utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu yang pertama ialah perkembangan individu secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Kedua adalah perpaduan rakyat dan yang ketiga pendidikan sepanjang hayat ke arah membina masyarakat yang aman dan makmur. Melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerajaan mewajibkan murid tahap 2 di sekolah-sekolah rendah terlibat dan menyertai aktiviti unit beruniform, persatuan dan sukan. Penglibatan murid dalam aktiviti sebegini boleh memupuk semangat perpaduan dikalangan murid yang terlibat jika dipupuk dari peringkat kecil lagi.
Perkembangan kurikulum pendidikan juga mengikut arus dan kesesuaian semasa. Pada tahun 2010 Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dilaksanakan di prasekolah menggantikan kurikulum lama. Manakala di peringkat sekolah rendah pula, diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang mana mula dilaksanakan pada tahun 2011 untuk Tahun 1.
Pada tahun 2011 juga, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin telah melancarkan dasar 1 Murid 1 Sukan. Dari segi rasionalnya, dasar ini menyumbang kepada pertandingan yang sihat, semangat muhibbah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai-nilai moral dan fizikal yang memberi satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cintakan negara (Buku Panduan Perlaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan, 2011: 2).
Kesimpulannya pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan bermula daripada saat negara bebas daripada penjajahan British sehinggalah ke hari ini. Antara fokus utama dasar-dasar ini di samping untuk memberi pendidikan kepada rakyat ianya jelas menjadi alat terpenting untuk menyatupadukan dan mengintegrasikan etnik yang pelbagai di negara ini. Dasar-dasar ini berkembang dan berubah dari masa ke masa untuk memenuhi kehendak dan keadaan semasa. Walaupun dasar ini seringkali berubah, namun ia tidak lari daripada misinya yang asal iaitu membangunkan sesebuah negara di mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu negara ke arah kegemilangan dan mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang semakin mencabar.

CABARAN INTEGRASI DAN PERPADUAN MELALUI DASAR PENDIDIKAN
Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masing-masing.
Cabaran kedua ialah pola kedudukan kaum yang berbeza-beza juga menjadi salah satu cabaran untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum. Pola kedudukan kaum adalah berasaskan sumber ekonomi ini berpunca pada zaman penjajahan iaitu dasar British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah (divide and rule). Di mana kedudukan ini dapat dilihat orang Melayu menjadi petani dan menetap di kampung-kampung. Orang Cina pula di tempatkan di kawasan lombong biji timah yang mana akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan berkembang menjadi bandar. Manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh ladang getah dan menetap di estet-estet.
Untuk mencapai misi pendidikan iaitu perpaduan dan integriti kaum, jarak kedudukan kaum ini menjadi satu cabaran yang sukar. Kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Penempatan murid daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau kawasan mungkin dapat dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan dapat mengubah keadaan ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang menghapuskan pengenalan kerja mengikut kaum.
Cabaran ketiga ialah menyediakan guru yang merupakan agen kerajaan untuk menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan masyarakat. Oleh itu aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya. Guru perlu memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana.
Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk mengambil tahu isu semasa, ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah menyebabkan salah satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara kaum tidak dapat dicapai. Oleh itu pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
Media massa juga menjadi agen penyampai matlamat tentang dasar-dasar kerajaan termasuklah dasar pendidikan. Media massa bukan hanya membekalkan fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa. Media massa ini pula perlu peka apabila menyampaikan sesuatu dasar itu, lebih-lebih lagi jika isu tersebut menyentuh isu-isu sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan masyarakat. Melalui matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami kehendak dan matlamat kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.

KEBERHASILAN INTEGRASI DAN PERPADUAN KAUM
Bidang Pendidikan
Keberhasilan integrasi dan perpaduan dalam bidang pendidikan di Malaysia boleh dinilai dalam beberapa aspek utama iaitu :
1.      Matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
2.      Matlamat mewujudkan sekolah pelbagai kaum
3.      Matlamat menyatukan pelbagai kaum melalui aktiviti ko-kurikulum
Dalam kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, ianya masih lagi belum mencapai matlamat yang diinginkan. Kaum Cina merupakan kaum yang paling kuat menentang matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ini kerana mereka bimbang bahasa ibunda mereka akan hilang penggunaanya pada masa akan datang. Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 memberi kelonggaran kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dan menjadikan mengurangkan penggunaan Bahasa Melayu. Oleh itu, sehingga sekarang kerajaan melalui perubahan-perubahan dasar pendidikan masih belum mencapai matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama disemua sekolah di negara ini. Kegagalan kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah merumitkan lagi usaha untuk mencapai integrasi dan perpaduan kaum di Malaysia. Ini adalah kerana, semua kaum berusaha mempertahankan bahasa ibunda masing-masing dan sehingga wujudnya jurang integrasi antara etnik-etnik di negara ini. (Riduan Tee, 2010: 69)
Manakala hasrat dan matlamat kerajaan untuk mewujudkan sekolah integrasi iaitu pelbagai kaum di dalam sebuah sekolah atau beberapa buah sekolah pelbagai kaum dalam satu kawasan juga masih lagi belum dapat dilaksanakan. Sebagai contoh, kerajaan telah mewujudkan Sekolah Wawasan namun mendapat tentangan hebat dari masyarakat Cina kerana menganggap Sekolah Wawasan akan menghilangkan identiti dan bahasa ibunda mereka (Modul Kenegaraan, 2010: 184). Pada masa ini bukan sahaja sekolah rendah dan sekolah menengah berasaskan bangsa dan kaum, tetapi juga pusat-pusat pengajian tinggi tempatan ditubuhkan berasaskan kepada kaum. Dalam konteks pengajian tinggi di Malaysia, terdapat 20 buat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 32 buah Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah disenaraikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Penubuhan IPTS ini ada yang berasaskan kaum dan parti politik seperti penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Universiti ini dimiliki oleh Malaysian Chinese Association (MCA) dan hampir seratus peratus (100%) daripada pelajarnya adalah kaum Cina.
Satu kajian yang dijalankan oleh  sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia terhadap pelajar-pelajar mereka yang berbangsa Melayu, Cina dan India mendapati kebanyakkan pelajar-pelajar tersebut mempunyai sentimen perkauman yang tinggi. Para pelajjar masih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam semua hal berbanding bergaul dengan kaum-kaum lain. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus. Polarisasi ini amat membimbangkan dan menjadi penghalang kepada integrasi dan perpaduan antara kaum di Malaysia (Riduan Tee, 2010: 74). Daripada hasil kajian ini dapat dikatakan bahawa pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di sekolah yang berasaskan kaum tertentu lebih suka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di pusat-pusat pengajian yang mempunyai kaum yang sama dengan kaumnya. Hal ini boleh membantutkan usaha kerajaan mencapai perpaduan di negara ini.
Walau bagaimanapun, usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan, keseniaan dan sukan menampakkan semangat perpaduan diantara pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial.
Secara keseluruhannya hasrat dan matlamat kerajaan untuk mengintegrasi dan menyatupadukan kaum melalui dasar pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi belum lagi mencapai matlamat sepenuhnya walaupun terdapat hasil yang boleh dibanggakan. Ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang tidak melihat dasar pendidikan tersebut dari sudut politik. Mereka sering berprasangka buruk sebelum menilai dan melihat dasar tersebut secara terperinci. Mereka juga sering mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan nasional. Namun demikian usaha kerajaan untuk menyatupadukan pelbagai kaum melalui dasar pendidikan dapat dilihat hasil positifnya dalam bidang ko-kurikulum. Pelajar pelbagai kaum yang terlibat secara aktif akan menjadi lebih matang dan bertoleransi dengan kaum lain hasil daripada kerjasama yang mereka lalui.

Bidang Politik
Dalam bidang politik pula, Dasar Pendidikan Kebangsaan berhasrat melahirkan generasi yang akan memimpin negara menjadi sebuah negara maju dan mempunyai semangat patriotik. Ianya adalah satu penubuhan parti politik yang tidak bersifat perkauman dan ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Sifat perjuangannya pula adalah meletakkan kepentingan umum lebih daripada kepentingan kaumnya sendiri. Namun pada hari ini di Malaysia, kepelbagaian kaum yang ada menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing. Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-orang Melayu melalui pasrti United Malaysian National Organisation (UMNO), orang Cina melalui parti Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti Malaysian Indian Congress (MIC). Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Keadaan ini sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik dan pertikaian daripada penyelesaian tentang sesuati isu yang dibangkitkan.
Keadaan politik di negara Malaysia hari ini adalah kerana kegagalan dasar pendidikan yang dilaksanakan untuk melahirkan pelapis pemimpin negara untuk menghormati dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca daripada kelemahan yang terdapat dalam dasar pendidikan tersebut tetapi ianya juga berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain. Generasi yang ingin dihasilkan melalui dasar pendidikan yang dirancang akan mampu memahami dan menghormati kaum lain dan seterusnya memerintah negara Malaysia dengan adil tanpa menindas dan menafikan hak-hak kaum lain.
Dalam senario politik semasa juga dapat dilihat bahawa krisis nilai, akhlak atau etika di kalangan pemimpin menyumbang  ke arah perpecahan. Dasar pendidikan pada peringkat awal gagal untuk memberikan penekanan kepada peri pentingnya penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia untuk membentuk generasi yang seimbang dari segi luaran dan dalaman. Oleh itu lahirlah generasi pemimpin yang tidak mampu untuk menghadapi tekanan dengan profesional. Maka terbentuklah aliran politik yang negatif iaitu saling mencari keburuk pihak lawan dan bukannya menampilkan kewibawaan diri sendiri. Corak politik yang sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di Malaysia. Oleh yang demikian langkah dan tindakan mewujudkan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan generasi yang seimbang amat tepat. Namun negara masih lagi belum dapat melihat hasilnya pada hari ini.
Politik yang berasaskan kaum ini seringkali menimbulkan ancaman yang besar terhadap kesejahteraan negara. Ianya berlaku apabila ahli politik yang cetek ilmu pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu dan status kedudukan orang-orang Melayu. Isu-isu ini bagaikan mencurahkan minyak ke dalam bara api. Ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara ini. Oleh itu, mata pelajaran sejarah perlu diajar diperingkat sekolah rendah lagi dan perlu dijadikan mata pelajaran teras supaya isu-isu berkaitan Raja-raja Melayu dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dapat difahami oleh semua kaum di negara ini.
Dalam bidang politik ini, kelemahan dasar pendidikan untuk melahirkan pelapis pemimpin negara yang bersifat patriotik menyebabkan wujudnya parti-parti politik yang bersifat perkauman. Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.

Bidang Ekonomi
Dasar Pendidikan Negara juga dirancang dan dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang akhirnya mampu untuk bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang termasuklah bidang ekonomi. Dalam sudut ekonomi ini, jurang ekonomi yang jauh berbeza antara kaum di negara ini menyulitkan kerajaan mencapai agenda perpaduan. Di samping itu juga, melalui pendidikan pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan juga dapat dihilangkan. Untuk menilai sama ada berjaya atau tidak  matlamat dan hasrat kerajaan, ianya boleh dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang ekonomi di antara kaum dan kejayaan menghapuskan pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.
            Jurang ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan integrasi kaum. Di negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini menimbulkan rasa iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini kerajaan melalui dasar pendidikan telah berjaya melahirkan ramai golongan terpelajar dalam bidang ekonomi. Justeru itu, pada masa kini telah muncul individu-individu daripada pelbagai kaum yang berjaya menyaingi kaum cina dalam bidang ekonomi khususnya bidang perniagaan. Persaingan yang sihat ini akan mengurangkan rasa cemburu dan iri hati kaum lain terhadap kaum Cina.
            Pada masa kini juga, jenis pekerjaan tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu kaum di Malaysia. Semua kaum bebas memilih pekerjaan yang mereka inginkan, sama ada dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri. Keadaan ini adalah hasil daripada dasar kerajaan yang telah berjaya memberi pendidikan kepada semua kaum. Dalam sektor awam, jawatan guru contohnya, terdiri daripada pelbagai kaum, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya. Melalui percampuran pelbagai kaum dalam bidang yang sama akan memudahkan lagi matlamat kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum di negara ini. Golongan ini lebih mudah memahami dan menghormati budaya dan adat resam kaum lain.
            Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan telah berjaya melahirkan golongan yang terpelajar dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini telah merubah corak kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli ekonomi oleh suatu kaum sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk diterokai oleh semua kaum. Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi di antara kaum dapat dikurangkan.

Bidang Sukan dan Kesenian
Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat membentuk individu murid yang menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh yang demikian dasar pendidikan juga menekankan aspek ko-kurikulum dalam menyatupadukan murid pelbagai kaum. Melalui ko-kurikulum bakat murid dapat diasah dan diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui dasar pendidikan inilah, minat murid dalam bidang sukan dan kesenian ditanam dan diperkembangkan.
Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Contohnya sukan skuasy,  badminton, bola sepak dan sebagainya. Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik dengan bersatu memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga peserta-peserta yang terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan turut sama dirasai. Ini menunjukkan kejayaan dasar pendidikan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan menanam minat terhadap sukan.  Namun begitu, masih ada kelemahan dalam bidang sukan ini. Iaitu masih ada sukan yang dimonopoli oleh kaum tertentu sahaja. Contoh yang jelas adalah sukan bola keranjang dimonopoli oleh kaum berbangsa Cina. Perlawanan bola keranjang peringkat kebangsaan yang disiarkan melalui Astro menunjukkan bahawa hanya kaum Cina yang terlibat, pemain, penonton dan pengadil semuanya berbangsa Cina. Begitu juga  dengan sukan sepak takraw, semua pemain adalah berbangsa Melayu. Oleh itu kerajaan perlu berusaha supaya sukan-sukan sebegini diminati oleh semua golongan dan kaum.
Manakala dalam bidang kesenian pula, murid-murid dididik supaya meminati seni dari peringkat sekolah rendah lagi. Melaui kesenian, murid-murid diajar tentang kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia. Pendidikan kesenian ini akan membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh menerima dan akan menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari peringkat awal lagi akan melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang seperti seni lakonan, seni tarian, nyanyian, seni lukis  dan sebagainya. Insan-insan seni yang memahami kebudayaan dan sensitiviti bangsa lain akan melahirkan karya-karya yang bercorak perpaduan. Melalui karya-karya sebegini akan membantu membuka minda individu lain ke arah kecemerlangan perpaduan. Sebagai contohnya seorang pengarah filem menghasilkan filemyang bercorak patriotik akan member kesan yang positif dan prasangka baik di kalangan penonton.
Hasrat kerajaan melalui dasar pendidikan untuk menyatupadukan kaum dalam bidang sukan dan kesenian telah mencapai matlamatnya. Kejayaan ini menjadikan kerajaan lebih ghairah memperkenalkan dasar baru agar semua murid terlibat dalam aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan sekolah seni merupakan antara titik tolak usaha kerajaan memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan juga telah dilaksanakan bermula tahun 2011 utnuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.



Bidang Sosial
Dalam bidang sosial, melalui dasar pendidikan kerajaan berhasrat untuk meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum. Perpaduan dari sudut sosial ini ialah penyatuan kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dengan latar belakang kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza hidup bersama dan slain bertolak ansur utnuk kepentingan dan faedah bersama. Melalui pendidikan, kerajaan menekankan peri pentingnya mempelajari sejarah, kebudayaan dan kepercayaan kaum lain serta menghormatinya. Pengetahuan amat bernilai supaya tidak berlaku kejutan budaya apabila berlakunya pertembungan di antara kaum dan etnik yang berlainan.
            Perpaduan dan integrasi sosial pada hari ini dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat negara ini yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan luar Bandar. Kawasan taman perumahan contohnya, pelbagai kaum tinggal berjiran, mereka saling bekerjasama untuk menjaga keharmonian kawasan mereka. Manakala pelbagai aktiviti-aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersama. Persatuan Rukun Tetangga yang ditubuhkan diharap oleh ahli-ahli pelbagai kaum untuk menjaga keamanan dan keselamatan kawasan tempat tinggal mereka.
Di samping itu, perpaduan kaum juga dapat dilihat melalui perkahwinan. Pada masa kini perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi menjadi perkara baru bahkan kebanyakkannya direstui oelh keluarga kedua-dua pihak. Senario ini banyak berlaku di negeri Sabah yang mana bilangan etniknya berjumlah 42 etnik. Jika pada suatu masa dahulu perkahwinan sebegini boleh menimbulkan persengketaan antara kedua-dua etnik, tetapi pada masa kini ianya sudah menjadi kebiasaan hasil daripada sifat tolak ansur dan menghormati antara satu sama lain. Melalui pendidikan juga, pelbagai kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia mula difahami dan diterima oleh kaum lain selagi ianya tidak menyebabkan kehilangan identiti asal kaum. Sebagai contoh, budaya bertukar-tukar makanan di kalangan jiran, sambutan perayaan bersama-sama, pemberian duit raya dan sebagainya
Walaupun begitu dari bidang sosial ini, masih lagi berlaku pertelingkahan dan pergaduhan yang menumpahkan darah akibat berlaku pertembungan antara dua atau lebih kaum yang berbeza adat dan budaya. Namun seringkali berita-berita sebegini tidak disiarkan di media massa untuk mengelakkan perbalahan antara kaum menjadi lebih buruk. Faktor utama yang mencetuskan perkara ini ialah faktor sikap dan mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan bersama. Oleh itu dasar kerajaan melalui Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) amat tepat iaitu menerap nilai-nilai murni seawal usia lagi.

Penutup
Untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Proses untuk mencapai perpaduan dan integrasi mengambil masa yang lama serta memerlukan perancangan yang teliti, tepat dan bijaksana. Bidang pendidikan merupakan bidang yang paling penting dan sesuai untuk mencapai hasrat kerajaan menyatupadukan dan mengintegrasikan pelbagai kaum. Oleh yang demikain, pelbagai dasar pendidikan telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana dan keadaan semasa untuk mencapai matlamat tersebut.  Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah  menghadapi tentangan dan cabaran yang berbeza daripada pelbagai kaum di negara ini. Seringkali faktor sikap mementingkan kaum sendiri melebihi kepentingan negara menjadi penghalang kejayaan sesuatu dasar. Justeru itu, untuk mencapai perpaduan kaum secara mutlak semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan kaumnya. Sekiranya sikap ini tidak dapat dipraktikkan oleh semua kaum, hasrat untuk mencapai perpaduan dan integrasi di negara ini hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin dapat dicapai.



RUJUKAN
Buku Panduan Perlaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M 1S).(2011). Putrajaya. Perpustakaan Negara Malaysia. Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia ISBN 978-983-3444-32-8

 Gurnam Kaur Sidhu, Gurcharan Singh Sandhu, Kamaruzaman Moidunny dan Ranjit Kaur Sidhu.(2005). Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) : Kompetensi Umum (Teras dan Profesional). Selangor : Penerbit Fajar Bakti sdn. Bhd.

Jamil Ahmad dan Norlia Goolamally. Pentadbiran dan Pengurusan Sistem Pendidikan Malaysia Ke Arah Pendidikan Berkualiti.

Kamus Dewan Edisi Ke – 3.(2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Modul HNS2013 Kenegaraan Pendidikan Jarak Jauh.(2011). Unit 10 Isu-isu Dan Cabaran    
Negara. Tanjung Malim Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.

Mohamad Rodzi Abd Razak, . (2009). Pembinaan negara bangsa Malaysia : Peranan pendidikan sejarah dan dasar pendidikan kebangsaan. pp. 90-106. ISSN 2180-0251

Mohd Yazid Yusoof , MOhd Noor Mohd Zain dan Idris Omar. (2002). Kertas Kerja : Persamaan  dan Perbezaan Akta Pelajaran Dengan Akta Pendidikan 1996  melalui         http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2002&dt=0125&pub=DuniaPendidikan &sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm              

 Mohd Ridhuan Tee Abdullah.(2010). Cabaran integrasi antara kaum di Malaysia :  perspektif sejarah, keluarga dan pendidikan. Jurnal Hadhari, 2 (1). pp. 61-84. ISSN 1985-6830

Muslim, Nazri and Alias, Jamsari. (2004). Patriotisme: Konsep dan pelaksanaannya di Malaysia. In: Seminar Antarabangsa Nilai dalam Komuniti Pasca Modenisme (SIVIC 2004), 4-6 September 2004, Hotel City Bayview Langkawi. (Unpublished)

Omar, Rusdi dan  Mukhtaruddin, Mas Juliana (2010). Dasar luar Malaysia era Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak: Keutamaan dalam aspek hubungan dua hala. In: Proceedings Seminar on Nasional Resilience (SNAR 2010) "Political Managements and Policies in Malaysia", 13-15 July 2010, Bayview Hotel Langkawi. Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia , Sintok , pp. 173-194. ISBN 978-983-44865-3-2

Dasar Pendidikan Kebangsaan  melalui http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

izinkan copy sedikit maklumat - afiqa

Kasturi Nusi berkata...

Silakn afiqa

Tanpa Nama berkata...

salam . maaf ingin bertanya . apakah impak akibat pengabaian integrasi terhadap pendidikan ?

Tanpa Nama berkata...

minta ijin copy sebahagian maklumat dari sini ya, artikel anda sangat sangat membantu ulangkaji saya

Kasturi Nusi berkata...

Silakan.. semoga bermanfaat