CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sabtu, 8 Disember 2012

KBK3073 - MASALAH PENGLIHATAN DAN PENDENGARAN



1.0       PENGENALAN

Pendidikan telah diakui oleh semua peringkat umur sebagai satu unsure terpenting dalam pembangunan tamadun manusia. Perkembangan dalam pelbagai bidang kehidupan yang berlaku di merata tempat dalam dunia dari dahulu hingga sekarang sebenarnya dicetuskan oleh pendidikan. Dalam erti kata lain, pendidikan digunakan sebagai alat untuk menimbulkan kesedaran politi, sosial dan ekonomi. Apabila dilihat pula faedah-faedah yang dinikmati oleh seseorang hasil daripada perkembangan ini, maka pendidikan terus menjadi sesuatu yang amat diperluakan (Gunasegaran a/l Karuppannan, 2003)

Di Malaysia, pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas dikendalikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dasar Pendidikan Khas di Malaysia telah mengklasifikasikan murid-murid atau kanak-kanak ini sebagai mereka yang mengalami kecacatan yakni masalah penglihatan, masalah pendengaran dan mereka yang mempunyai masalah pembelajaran. Masalah kanak-kanak ini mungkin disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran yang tidak sempurna seperti perkembangan pranatal oleh pengambilan dadah, alkohol kekurangan zat dan pelbagai jenis penyakit. Masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ini memerlukan perhatian yang khusus, kasih sayang, kesabaran, komitmen masyarakat sekeliling terutamanya ibu bapa dan guru dalam membimbing mereka menjalani hari-hari akan datang.


2.0       MASALAH PENDENGARAN

2.1       DEFINISI PENDENGARAN

Masalah pendengaran merupakan sesuatu kecacatan saraf yang paling kerap berlaku di dalam suatu populasi manusia. Melalui World Health Organisation (1999), pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 250 juta penduduk dunia mengalami masalah pendengaran (Che Ismail bin Che Lah, 2008). Menurut Salena Yahya (1989),  Pendidikan Khas masalah pendengaran di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun 1954. Sekolah pertama yang diwujudkan untuk pendidikan murid-murid bermasalah pendengaran ialah Sekolah Persekutuan Kanak-kanak Pekak Pulau Pinang. Sekolah ini adalah sepenuhnya dibiayai oleh pertubuhan sukarela dengan bantuan kewangan yang diperoleh melalui derma orang ramai. Pada waktu itu Malaysia masih lagi di bawah jajahan takluk British. Oleh kerana itu bahasa penghantar yang digunakan di semua sekolah ialah bahasa Inggeris dan kaedah komunikasi yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran murid-murid bermasalah pendengaran ialah kaedah lisan (oral method). Kaedah ini digunakan sehinggalah ke akhir tahun 1960an, selepas tahun 1963 kaedah komunikasi seluruh telah digunakan dalam sistem pendidikan murid-murid bermasalah pendengaran di Malaysia (Safani Bari et al).

Pendengaran merupakan salah satu deria yang amat penting bagi setiap manusia bagi menerima maklumat dan ilmu. Walaupun manusia masih boleh menerima maklumat serta belajar melalui deria-deria yang lain daripada deria pendengaran seperti deria lihat bau, sentuhan, dan rasa, namun deria pendengaran adalah merupakan salah satu deria yang amat penting bagi memudahkan dan menyempurnakan sesuatu proses menerima maklumat ataupun pelajaran. Masalah pendengaran merujuk kepada individu yang mengalami masalah pendengaran yang diperoleh sama ada semenjak lahir atau selepas dilahirkan. Individu yang mengalami masalah  biasanya akan mengalami kesukaran atau tidak dapat mendengar bunyi perbualan ataupun bunyi persekitaran. Disebabkan masalah pendengaran yang dialami dan kelemahan penguasaan asas kemahiran bahasa, kanak-kanak bermasalah pendengaran ini sering tercicir dalam pelajaran walaupun sebenarnya mereka tidak mengalami kecacatan dari segi intelek (Dr. Aznan Che Ahmad, Bil.2/2010). Selain itu juga deria pendengaran merupakan  salah satu agen penyampai maklumat dalam berkomunikasi, tanpa deria pendengaran ini, matlamat menyampaikan fakta atau maklumat menjadi tidak bermakna.

Menurut Chua Tee Tee (1992), kanak-kanak pekak boleh dikatakan lebih tepat sebagai seorang yang rosak pendengaran dalam kebanyakan keadaan, contoh ia mempunyai pendengaran yang separa, adalah luar biasa kerana memang ia tidak dapat bertindak ke aras bunyi-bunyi sekeliling. Asmah Haji Omar (1984), mentakrifkan pekak sebagai seorang yang dilahirkan dengan kecacatan pada deria pendengaran yang tidak dapat mengenal bunyi bahasa, tidak dapat mendengar perbualan orang lain dan tidak dapat mengalami serta menghayati pemikiran dan budaya melalui bahasa. Manakala  menurut Bee H. (1995), kanak-kanak bermasalah pendengaran adalah mereka yang menghadapi kesukaran mendengar atau kekurangan pendengaran yang jelas. Masalah pendengaran berpunca daripada faktor sebelum lahir,semasa lahir dan selepas lahir.

Menurut Paul dan  Quigley (1990); dan Wiliam L.Heward (1996), kanak-kanak dalam kategori ini ialah kanak-kanak yang tidak boleh menggunakan pendengaran untuk memahami pertuturan walaupun boleh mendengar bunyi atau menggunakan alat bantu dengar.  Pengesanan awal bagi golongan yang bermasalah pendengaran ini adalah sangat penting supaya intervensi awal dapat dilaksanakan untuk membantu mereka mengatasi masalah yang dialami. Intervensi awal adalh penting bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk dihadapi dan berlanjutan menjadi lebih teruk. Oleh ini intervensi awal dapat mengelakkan perkara yang lebih teruk berlaku. Dalam perlaksanaan intervensi awal ini, penglibatan dari pelbagai pihak dalam merancang dan menyediakan intervensi awal adalah amat penting. Oleh itu penubuhan kumpulan pelbagai disiplin dapat membantu berkongsi, bertukar maklumat dan merancang menyadiakan intervensi awal yang memenuhi keperluan disamping meningkatkan pencapaian kanak-kanak bermasalah pendengaran.

            2.2       JENIS KEPERLUAN KHAS (KECACATAN) UTAMA KES
Menurut Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (1997) mendapati tahap kecacatan atau tahap kehilangan pendengaran bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran boleh dibahagikan kepada 2 tahap iaitu kurang pendengaran terdiri daripada sedikit (mild), sederhana (moderate), sederhana teruk (moderate-serve), dan tahap pekak iaitu teruk (serve) d    an sangat teruk (profound). Berikut merupakan antara ciri yang mewakili setiap jenis kecacatan yang dialami oleh setiap tahap kehilangan pendengaran :

1.    Kurang pendengaran
a.    Ringan (mild) - Tahap kehilangan pendengaran antara 27 – 40 dB. Mereka yang mengalami tahap ini mengalami kesulitan mendengar bunyi-bunyi perlahan dan jauh namun masih mampu memahami perbualan.
b.    Sederhana (moderate) – Bagi tahap ini pula, mereka mengalami kehilangan pendengaran antara 41 – 70 dB. Masih mampu mendengar bunyi antara 1 hingga 1.5 meter sahaja disamping menghadapi masalah dalam melibatkan diri di dalam perbincangan di dalam kelas
c.    Sederhana teruk (moderate – severe) – Tahap kehilangan pendengaran bagi mereka yang mengalami masalah pendengaran adalah antara 56 – 70 dB. Orang yang ingin berhubung dengan mereka perlu bercakap dengan kuat
2.    Pekak
a.    Teruk (severe) – Pada tahap ini kehilangan pendengaran adalah antara 71 sehingga 90 dB dan hanya mampu mendengar bunyi apada jarak 0 – 30.5 meter sahaja. Mereka juga menghadapi masalah pertuturan
b.    Sangat teruk (profound) – Tahap kehilangan pendengaran pada kategori ini ialah lebih daripada 90 dB. Mereka juga amat sukar mendengar walaupun bunyi yang kuat.
(Kajian Safani B , Manisah M. A, Noraini M.S, Aliza A, UKM)



            Masalah utama yang diperhatikan dalam kes masalah pendengaran ialah dari segi bahasa dan komunikasi. Kehilangan pendengaran ini menghalang kanak-kanak bermasalah pendengaran berkomunikasi secara mendengar dan bertutur. Aspek ini merupakan aspek utama dalam penyampaian ilmu pengetahuan di alam pembelajaran dan pengajaran. Kegagalan berkomunikasi dan bertutur menghalang mereka memahami apa yang disampaikan oleh para pendidik dan seterusnya menyekat perkembangan mereka dalam pendidikan. Kanak-kanak bermasalah pendengaran ini memerlukan bantuan pakar pertuturan bagi membantu mereka berkembang seperti kanak-kanak normal yang lain.
           
            Dari aspek perkembangan sosial dan emosi, kanak-kanak bermasalah pendengaran ini memerlukan pengalaman dalam menyampaikan emosi dan berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling dan melalui perkembangan mereka ia dapat membantu mereka meluahkan perasaan, kehendak, keperluan mereka disamping memahami kehendak dan perasaan orang lain. Kegagalan berkomunikasi disebabkan oleh faktor kehilangan pendengaran akhirnya memberi kesan ke atas konsep kendiri dan kebolehan bermain serta berkongsi dengan rakan sebaya.

            Kelambatan perkembangan dari aspek bahasa dan komunikasi juga turut melambatkan perkembangan kognitif kanak-kanak bermasalah pendengaran ini. Perkembangan kognitif ini merujuk kepada bagaimana memahami dan mengurus dunia mereka. Ini termasuk kemahiran menaakul, menyimpan dan mengingati maklumat, klasifikasi, mendefinisikan dan sebagainya.

            Kehilangan pendengaran ini dipengaruhi beberapa faktor-faktor sama ada sebelum lahir, semasa kelahiran dan selepas kelahiran, dan faktor-faktor ini dipengaruhi beberapa aspek seperti genetik dan persekitaran. Sebelum kelahiran ini, masalah pendengaran dipengaruhi oleh baka yang disebabkan oleh genetik. Menurut Barbara et al. (2001), sebanyak 70 peratus kes kepekakan kongenital yang dikaitkan dengan faktor genetik diklasifikasikan sebagai tidak bersindromik, sementara dalam 30 peratus lagi dikelaskan sebagai kepekakan bersindromik yang boleh didiagnosa secara klinikal dalam satu atau lebih 400 bentuk sindrom berkaitan (Che Ismail C. Lah, 2008). Manakala bukan baka pula disebabkan faktor jangkitan sebelum lahir. Pengambilan dadah atau bahan kimia seperti kuanin boleh mempengaruhi janin yang dikandungkan sehingga mempengaruhi keselamatan janin yang dikandungkan  disamping masalah toksemia.


            Pelbagai masalah boleh timbul semasa kelahiran seseorang bayi sehingga menyebabkan kecederaan semasa dilahirkan terutamanya pada bahagian telinga. Bayi yang dilahirkan dalam keadaan tidak cukup matang atau berat badang kurang daripada 2500g mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kecederaan dan kecacatan. Usia kandungan adalah penting bagi kelahiran seseorang kanak-kanak kerana ia akan menentukan kematangan organ dalaman mereka yang sedang berkembang. Kelahiran pada usia kandungan 21 sehingga 34 minggu, peluang bayi untuk hidup adalah tinggi. Ibu yang mengalami kesukaran melahirkan anak sehingga mengambil masa kelahiran yang terlalu lama atau susah juga menyebabkan tekanan pada telinga .
     
            Bayi yang dilahirkan tanpa masalah pendengaran juga berisiko mengalami masalah pendengaran disebabkan penyakit, keadaan persekitaran dan kemalangan. Penyakit ini biasanya terjadi disebabkan oleh bakteria dan virus. Kehilangan pendengaran ini juga disebabkan oleh bunyi yang terlalu kuat dalam jangka masa yang lama selain faktor kemalangan sehingga mencederakan bahagian telinga.
     
            2.3       MASALAH SAMPINGAN

Antara lain juga kanak-kanak bermasalah pendengaran ini mengalami masalah pengamatan iaitu kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses mental. Antara masalah pengamatan pendengaran adalah berpunca daripada kecacatan organisma telinga seperti diskriminasi, iaitu ketidakupayaan mengenal dan membezakan bunyi sebutan, rentak irama dan intonasi yang berlainan. Ketidakupayaan mengenal arah bunyi (jauh atau dekat), ketidakupayaan mengingat bunyi-bunyi yang didengar, dan ketidakupayaan mengulang corak bunyi dan turutannya. Disamping masalah-masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak berkeperluan khas, mereka juga menghadapi masalah-masalah sampingan seperti :

                            i.        kurang memberi perhatian di dalam bilik darjah,
                           ii.        pencapaian yang lemah dalam perlajaran,
                          iii.        kurang bercakap dan menggunakan lebih banyak menggunakan jari,
                         iv.        kelihatan nakal dan tidak mempedulikan orang lain
                          v.        tidak bertindak balas terhadap bunyi
                         vi.        silap memahami arahan
                        vii.        menonjolkan sikap yang ganjil ketika berinteraksi
                       viii.        telinga sering berair atau bernanah
                         ix.        lebih banyak menunggu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang lain terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tugas
                          x.        akan membaca bibir, melihat isyarat visual, ekspresi muka dan gerak tangan daripada mendengar
                         xi.        kurang melibatkan aktiviti dalam pertuturan
                        xii.        selalu berkhayal






            2.4       PAKAR TERLIBAT

Menurut kajian Safani Bani et al., purata kehilangan pendengaran murid-murid bermasalah pendengaran yang berdasarkan kepada rekod perubatan sampel yang disahkan oleh pakar perubatan yang disimpan oleh sekolah (jadual 1.5). seramai 66.0% (93) daripada murid-murid mengalami kehilangan pendengaran yang sangat teruk dan 10.6 % (15) mengalami kehilangan pendengaran teruk. Seramai 18.4% (26) orang murid tiada rekod kehilangan pendengaran mereka. Terdapat 7 (5.0%) orang murid didapati mengalami kehilangan pendengaran ringan dan sederhana yang sepatutnya tidak dikategorikan dalam bermasalah pendengaran tetapi di tempatkan dalam program persekolahan bermasalah pendengaran.

(Kajian Safani B, Manisah M.A, Noraini M.S, Alizah A, UKM)


Ibubapa merupakan orang yang paling rapat untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pendengaran ini. Penglibatan ibu bapa adalah mustahak dalam menjayakan pendidikan khas. Peranan ibu bapa yang dahulunya pasif telah berubah kepada penglibatan aktif dalam perkembangan anak mereka. Menurut Gargiulo dan Gaves (1991), untuk menggalakkan penglibatan keluarga dalam pendidikan anak mereka, pihak sekolah dan guru pendidikan khas perlu menerangkan istlah penting dalam pendidikan khas.

Ahli audiologi adalah orang yang bertanggungjawab dalam mengenal pasti keadaan dan tahap kehilangan pendengaran kanak-kanak manakala ahli patologi pertuturan bahasa pula bertanggungjawab dalam memberi latihan pendengraan dan pertuturan kepada kanak-kanak itu. Ahli audiologi akan menilai kemampuan pelbagai alat bantu dengar, membuat acuan telinga, memilih dan memasang alat bantu dengar yang memberi impliksi terbaik kepada kanak-kanak pekak termasuklah memberi kaunseling kepada ibu bapa tentang cara memakai, penjagaan dan latihan yang perlu (Lokman, 2004). Dengan bantuan ahli patologi, kanak-kanak yang mendapat implikasi terbaik akan dilatih menggunakan pendengaran untuk bertutur dan membentuk bahasa (Lokman, 2004).

Sokongan daripada patologi pertuturan penting bagi membantu kanak-kanak ini dalam aspek komunikasi. Ini kerana mereka menggunakan komunikasi secara menyeluruh dengan menggabungkan isyarat dan pertuturan. Semasa bercakap dengan kanak-kanak kategori ini, adalah penting bagi memastikan mereka memberi perhatian dan memandang muda dan tangan mereka yang bercakap dengannya.

           
2.5       PELAN TINDAKAN
           
Sebagai pendidik kita perlu mengambil insiatif bagi membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran ini. Namun sebelum menjalankan kaedah-kaedah yang dapat membantu mereka, pelan tindakan perlu dirancang dengan lebih awal bagi mencapai matlamat dan objektif yang berkesan dalam membantu mereka. Pengesanan awal perlu dilakukan bagi mengesan tahap masalah pendengaran yang dialami. Pengesanan  awal oleh ahli audiologi untuk mengenal pasti sama ada individu itu mempunyai masalah pendengaran ataupun tidak. Kanak-kanak yang berumur 12 bulan keatas boleh menjalani pengesanan awal masalah pendengaran.

Pentingnya pengesanan awal ini adalah untuk mendapatkan rawatan awal dan segera. Terdapat 2 ujian yang dijalankan iaitu ujian pertuturan dan ujian tarikan. Ujian pertuturan bertujuan memerhati sama ada kanak-kanak tersebut memahami apa yang dipertuturkan kepadanya dan menunjukkan gerak balas pada arahan yang diberikan. Manakala ujian pertuturan pula ialah ujian yang dijalankan bagi kanak-kanak dengan mendedahkan bunyi-bunyi tanpa pengetahuannya. Tindak balas tingkah laku akan diperhatikan sama ada bunyi yang diperdengarkan memberi kesan kepadanya dengan menggerakkan mata, tangan, kaki atau muka kearah bunyi (Dr. Aznan Che Ahmad, Bil.2/2010).

Seterusnya tindakan yang perlu diambil ialah dengan menjalankan intervensi awal bagi kanak-kanak tersebut. Intervensi Awal adalah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajaran. Perkhidmatan yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan, iaitu fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi serta adaptasi melalui pelbagai terapi atau perkhidmatan seperti terapi cara kerja, terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan keluarga. (Dr. Aznan Che Ahmad, Bil.2/2010).

 Program intervensi awal di Malaysia disediakan kepada kanak-kanak bermasalah pendengaran yang berumur dari 0 hinga 6 tahun. Intervensi awal seharusnya diberikan kepada kanak-kanak bermasalah pendengaran seawal yang mungkin iaitu semenjak mereka dilahirkan atau dikenalpasti mengalami masalah pendengaran sehingga mereka berusia tiga tahun. Pengesanan awal sangat penting untuk kanak-kanak ini dan seterusnya intervensi awal atau kaedah-kaedah dijalankan sesuai dengan masalah pendengaran yang dihadapi bagi mengelakkan kelewatan perkembangan kanak-kanak dan sekali gus mempertingkatkan pencapaian mereka dalam aspek akademik. Beberapa kaedah telah dirancangkan bagi membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran ini dalam mendidik mereka agar turut sama mendapat ilmu pengetahuan seperti kanak-kanak yang lain.

Program jangka pendek  yang dilaksanakan ialah penempatan dalam pendidikan. Melalui program ini mereka diajar menggunakan alat bantuan pendengaran dan bahasa isyarat. Mereka akan di tempatkan di Program Pendidikan Inklusif iaitu murid diberi peluang berinteraksi dengan kanak-kanak lain tanpa mengira perbezaan individu. Pendidikan Percantuman diberi kepada mereka dengan adanya bilik-bilik khas bagi membimbing mereka.

Program Jangka Panjang pula juga digunakan bagi membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran ini, antaranya ialah :

2.5.1    Pendekatan Auditory Verbal
Pendekatan ini merupakan satu kaedah di mana kanak-kanak bermasalah pendengaran diajar menggunakan pendengaran mereka untuk mempelajari bahasa pertuturan melalui alat pendengaran atau implan koklea. Ia bertujuan membolehkan kanak-kanak bermasalah pendengaran menikmati persekitaran dan kehidupan yang biasa. Menurut Goldberg dan Flexer (1993), pendekatan ini membolehkan kanak-kanak memperolehi pertuturan dan bahasa secara semulajadi yakni melalui deria dengar.



2.5.2    Pendekatan Oral- Auditory
Pendekatan ini menekankan proses mendengar serta bertutur, dengan penggunaan saki baki pendengaran secara lebih berkesan dan diperkukuhkan dengan penggunaan alat bantu dengar dan deria lihat serta deria sentuh. Kaedah ini tidak menggunakan bahasa isyarat atau ejaan jari tetapi menekankan kaedah membaca gerak bibir (lip reading). Kaedah ini menggunakan implikasi bunyi bagi memperkembangkan kemahiran mendengar dan bertutur, melibatkan latihan mendengar untuk membolehkan mereka mendiskriminasikan bunyi-bunyi yang berbeza.

2.5.3    Kaedah bacaan bibir
Kaedah ini juga menekankan penggunaan penglihatan sepenuhnya. Kaedah ini memerlukan kanak-kanak sentiasa melihat gerak bibir penutur dengan tepat dan dalam situasi ini penutur berada di tempat yang terang dan jelas dilihat.

2.5.4    Kaedah bahasa isyarat
Pada amnya bahasa isyarat digunakan dengan mudah dengan menggabungkan perkataan dengan makna asas. Terdapat pelbagai bahasa isyarat termasuk American Sign Language, Pidgin Sing Language (PSE), dan banyak lagi. Di Malaysia, bahasa isyarat yang digunakan ialah Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM).

2.5.5    Kaedah komunikasi seluruh
Kaedah  ini adalah satu kaedah yang menggabungkan ejaan jari, isyarat, bacaan bibir, pertuturan dan implikasi auditori. Elemen penting dalam kaedah ini ialah penggunaan isyarat dan pertuturan secara serentak.

2.5.6    Pertuturan isyarat (cued speech)
Kaedah ini diperkembangkan dari kaedah bacaan bibir, menggunakan bentuk-bentuk tangan bagi memandu bunyi-bunyian. Bentuk-bentuk tangan yang dilambangkan (kiu), ditentukan pada kawasan-kawasan di mana bentuk tangan menentukan bunyi perkataan. Terdapat lapan bentuk tangan bagi konsonan dan empat bentuk tangan bagi menentukan bunyi huruf vokal.


Kebanyakan murid-murid bermasalah pendengaran tidak pekak sepenuhnya tetapi masih mempunyai sisa pendengaran. Penggunaan alat bantuan pendengaran yang berfungsi dengan baik adalah penting bagi membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran mendengar bunyi-bunyi pertuturan dan seterusnya boleh membantu mempelajari pertuturan (Clark 1989; Romanik 1990). Kajian yang dijalankan oleh Safani Bari et al, dengan sampel kajian melibatkan 141 murid bermasalah pendengaran dan 38 orang guru di empat buah sekolah rendah pendidikan khas di negeri Selangor menunjukkan, tanpa penggunaan alat bantuan pendengaran dunia kanak-kanak ini sepi kerana hanya alat pendengarfan yang boleh menghubungkan mereka denagn bunyi-bunyi persekitara. Pelan utama yang digunakan perlulah melihat kepada tahap keperluan kanak-kanak tersebut. Namun usaha sama juga perlu dilakukan bagi membantu guru-guru yang terlibat dalam pendidikan muri-murid bermasalah pendengaran bagi memberi mereka pendedahan dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut disamping meningkatkan kualiti pendidikan.



3.0       MASALAH PENGLIHATAN

3.1       DEFINISI PENGLIHATAN

Mata merupakan antara deria yang penting dalam menjalani hidup sehari-hari, tak kira tua dan muda. Mata merupakan deria penglihatan yang digunakan untuk mendapat dan menerima maklumat. Mata juga digunakan untuk aktiviti pengurusan diri, mengenali sesuatu, untuk belajar, mengendalikan kemahiran motor  dan untuk tujuan aktiviti sosial. Manakala masalah penglihatan ialah ketidakupayaan melihat. Menurut Heward (1996), mereka yang mempunyai masalah penglihatan ialah seseorang yang mempunyai ketajaman penglihatan 20/200 atau kurang daripada mata yang sihat dengan pembetulan (kaca mata) atau mempunyai medan penglihatan yang sempit kurang daripada 20 darjah.

Dari segi pendidikan, masalah penglihatan ialah sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana masalah penglihatan. Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka. Definisi yang dikemukakan oleh The World Council For Welfare of the Blind dalam Hajah Hasnah (1988) tentang masalah penglihatan adalah tidak dapat melihat langsung, kebolehan melihat tidak lebih daripada 6/60 atau 20/200 iaitu melalui Ujian Snellen, dan penglihatan yang terhad kurang daripada 20 peratus.

3.2       JENIS KEPERLUAN KHAS (KECACATAN) UTAMA KES

Terdapat beberapa tahap masalah penglihatan yang membezakan antara buta dengan penglihatan terhad ataupun low vision  berdasarkan ujian visual acuity  dan juga adaptasi pendidikan khas. Masalah pada tahap sederhana masih membolehkan kanak-kanak melihat cahaya dan menjalankan aktiviti melibatkan deria penglihatan dengan menggunakan alat bantu khas seperti kanta. Masalah tahap teruk menyebabkan kanak-kanak mungkin memerlukan lebih banyak masa dan tenaga dalam menjalankan aktiviti malam mengalami kesukaran melakukan aktiviti berkaitan penglihatan termasuk mobiliti, walaupun dengan bantuan khas. Masalah pada tahap sangat teruk mengakibatkan kesukaran melakukan aktiviti visual serti membaca dan mobiliti serta perlu bergantung kepada deria-deria lain.

Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan mempunyai ketidaknormalan mata iaitu saraf optik atau pusat visual untuk otak mengakibatkan kurang ketajaman penglihatan. Kanak-kanak ini hanya mempunyai 20/70 visual ketajaman, Sara Begun (2003) memberi lapan kategori untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan. Antara lain masalah penglihatan iaitu :

3.2.1     
KATARAK

Sejenis kerosakan mata di mana kanta semula jadi menjadi berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan caha tidak dapat menembusinya. Seseorang akan mengalami buta jika keadaan ini tidak dirawat. Mereka yang berisiko tinggi menghidapi masalah penglihatan ini ialah pesakit kencing manis, kandungan gula yang tinggi, golongan usia 60-an, kanak-kanak yang lahir dalam komplikasi dan penyakit jangkitan daripada ibu mengandung.
             

3.2.2    STRABISMUS (JULING)
                    

                                    Suatu keadaan di mana kedua-dua mata tidak searah dan memandang pada titik yang berbeza. Lencongan mata pada salah satu atau kedua – dua mata sama ada juling ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah. Dengan itu paksi penglihatannya tidak lagi selari. Masalah ini adalah ketidakbolehan untuk memfokuskan objek yang sama pada kedua-dua belah mata kerana penyimpangan ke dalam atau ke luar pada sebelah atau kedua-dua belah mata. Kehilangan penglihatan kekal boleh berlaku sekiranya tidak dirawat. Sebab-sebab mata juling :
·         Dalam kebanyakan kes, tiada sebab yang diketahui 
·         Ia boleh disebabkan oleh otot-otot mata yang tidak berfungsi dengan baik pada mata yang juling itu atau kelumpuhan otot-otot mata itu sendiri. 
·         Rabun jauh juga boleh menyebabkan mata bergerak ke dalam.
·         Mata juling adalah lebih lazim di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah otak seperti Cerebral Palsy, Down Syndrome, hydrocephalus dan barah otak.


3.2.4      GLUKOMA
 

Glaukoma adalah sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Kesemua jenis Glaukoma adalah disebabkan gangguan atau dihalang oleh bendalir yang mengedarkan ke dalam mata. Pusat atau sempadan penglihatan akan rosak atau hilang keseluruhannya apabila tekanan meningkat dan merosakkan saraf optik. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta. Glukoma merupakankerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan Intraokular Tinggi (IOP) iaitu tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Mendapan cecair yang terdapat di dalam bebola mata akan terkumpul dan meningkatkan sel saraf optik akan termampat dan akhirnya akan rosak.

            3.2.5    AMBIPLIA (MATA MALAS)
                                   
Dikenali sebagai lazy eye / mata malas  Suatu keadaan di mana salah satu mata tidak berfungsi dan perlu bergantung pada sebelah mata yang sihat. Mata malas merupakan gangguan yang terjadi pada masa perkembangan penglihatan. Oleh sebab ketajaman penglihatan berkurang, mata menjadi malas melakukan fungsinya, saraf mata yang seharusnya berkembang menjadi terhenti.

3.2.6      DIPLOPIA
Diplopia atau penglihatan ganda adalah suatu gangguan penglihatan yang mana objek terlihat double atau ganda. Diplopia berasal dari bahasa Yunani, diplo iaitu ganda dan opia sebagai penglihatan.

3.2.7      ALBINISME
Masalah penglihatan bagi kategori ini berlaku disebabkan kurangnya ataupun tidak adanya pigmen melanin pada mata dan pewarisan alel gen resesif sehingga mengakibatkan keterbatasan fizikal yakni sensitif terhadap sumber cahaya yang kuat, seperti lampu yang terang, sinar matahari. Selain itu juga mereka memiliki keterbatasan pada jarak penglihatan.

3.2.8      MYOPIA (RABUN JAUH)
Keadaan dimana ketidakupayaan untuk melihat objek jauh dengan jelas dan hanya boleh melihat pada jarak dekat sahaja. Ini adalah penyakit rabun mata yang paling lazim di kalangan kanak-kanak dan remaja dan boleh disebabkan oleh keturunan.  Kanak-kanak yang rabun dekat memiliki bentuk kornea yang terlalu melengkung atau bola mata yang terlalu panjang. Ini akan menyebabkan cahaya difokuskan ke bahagian hadapan retina dan bukannya ke atas retina seperti yang sepatutnya.

3.2.9      HYPEROPIA (RABUN DEKAT)
Pada peringkat kanak-kanak, satu keadaan di mana bola mata lebih pendek daripada biasa. Pada peringkat tang lebih tua yakni 40 tahun ke atas, kanta mata akan hilang kekenyalannya.

3.2.10   RABUN WARNA

                   
Rabun warna atau colour blindness sebenarnya mengalami persepsi warna sahaja yang berbeza dengan orang yang mempunyai penglihatan normal dan bukanlah penglihatan televisyen hitam putih. Jika kita melihat warna merah menyala, seseorang yang mempunyai defeksi warna merah akan melihat warna tersebut seperti warna merah gelap. Jenis rabun warna adalah pelbagai dan tahap keterukan rabun warna itu sendiri berbeza. Segelintir individu yang mempunyai Defek warna yang sangat teruk di mana ia boleh menyebabkan mereka ‘buta’ terhadap semua warna.


3.2.11   AGE RELATED MASCULAR DEGENERATION (AMD)

       
AMD Basah                                AMD Kering

                                    Makular merupakan sebahagian dari retina yang berfungsi untuk ketajaman, dan sebagai pusat penglihatan untuk membaca atau memandu semakin merosot. AMD adalah penyebab utama kehilangan penglihatan dan kerabunan (Mason 2001). Ia terbahagi kepada dua iaitu Degenerasi Makular Kering dan Degenerasi Makular Basah. AMD kering disebabkan penuaan dan penjarangan tisu-tisu mokular, endapan pigmen di dalam mokular. AMD basah pula ialah saluran darah di bawah retina pecah dan membocorkan darah dan cecair sehingga menyebabkan kerosakan kekal kepada sel-sel retina yang sensiti pada cahaya dan mewujudkan titik buta pada pusat penglihatan.


3.2.12   NYSTAGMUS
Pergerakan yang abadi dan tidak sengaja bola-bola mata yang disebabkan oleh gangguan aculomotor. Bola mata akan bergoyang sehingga fokus melihat terganggu



3.3          MASALAH-MASALAH SAMPINGAN

Kegagalan fungsi mata berjalan dengan baik bukan sahaja mengakibatkan masalah penglihatan dikalangan kanak-kanak, namun juga mengakibatkan masalah-masalah lain sehingga menganggu proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak tersebut. Mereka yang mengalami masalah penglihatan ini juga sering mengadu sakit kepala dan pening, ingin muntah apabila membaca atau membuat kerja yang memerlukan penglihatan yang dekat, imej yang berbayang dan penglihatan yang kabur.

Disamping itu juga kanak-kanak bermasalah penglihatan ini mengalami masalah tingkah laku yang berbeza dengan kanak-kanak normal. Mereka selalu memusingkan kepada ke sebelah sahaja untuk melihat papan tulis ataupun objek. Ketika membaca kanak-kanak ini akan meletakkan kepada pada suatu sudut pada keudukan yang luar biasa. Mereka juga selalu mengecilkan mata, mengerutkan mata, menutup sebelah mata, kerap bercakap, keliru dengan huruf, sering melanggar objek ketika berjalan atau bergerak. Kanak-kanak bermasalah pendengaran tidak dapat memahami proses pengamatan.

Pengamatan merupakan kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses dalam mental. Janet W. Learner (1971) dalam bukunya “Children With Learning Disabilities” telah mentafsirkan bahawa pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek. Antara ciri-ciri kesukaran dalam komponen penglihatan yang melibatkan pengamatan ialah ketidakupayaan memahami benda-benda abstrak, pengamatan dan daya anggaran berat, tidak memahami konsep bentuk, ketidakupayaan mengagak sesuatu saiz, jarak, perhubungan antara objek, menyalin huruf, nombor perkataan dan ayat. Namun kanak-kanak ini lebih mengetahui konsep sejuk dan panas melalui sentuhan.





3.4    PAKAR-PAKAR TERLIBAT

Sistem penglihatan adalah antara yang paling cepat berkembang dalam tumbesaran bayi. Bayi selalunya mula melihat objek- objek yang terang ketika berumur satu bulan, mula mengamati objek yang bergerak ketika berumur dua bulan dan mula mencapai sesuatu objek besar ketika berumur empat bulan. Perkembangan penglihatan ini berkembang berterusan dan akan mencapai tahap ketajaman penglihatan 6/6 pada umur empat tahun.  Bagi membantu mengesan kecacatan penglihatan pada peringkat awal peranan ibubapa diperlukan. Beberapa ujian penglihatan boleh dilakukan di rumah oleh ibu bapa bagi menilai tahap penglihatan anak-anak dan untuk mengesan sebarang masalah penglihatan. Ujian penglihatan cahaya - Ini boleh dilakukan dengan menggunakan lampu suluh kecil yang digerakkan beberapa kali dari mata bayi ketika berumur dua atau tiga bulan. Selalunya bayi akan mengikut dengan gerakan kepala ke mana arah lampu digerakkan. Selain itu juga beberapa peralatan mainan boleh digunakan. Antaranya ialah :

                      I.        Menggunakan mainan yang sederhana besar - Ujian ini boleh dilakukan ketika bayi berumur tiga hingga empat bulan. Letakkan alat mainan yang mengeluarkan bunyi  tersebut di hadapan bayi. Bayi akan cuba mencapai alat mainan tersebut. 
                    II.        Mengunakan gula-gula manik - Ujian ini boleh dilakukan semasa bayi berumur enam hingga tujuh bulan. Letakkan gula-gula manik yang berwarna-warni pada tapak tangan anda di hadapan bayi. Sekiranya penglihatan bayi normal, ia akan cuba mengutipnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Cuba dengan beberapa saiz gula-gula yang berbeza. 
                   III.        Memadankan gambar-gambar yang serupa – Ujian ini boleh dilakukan dengan menggunakan dua set gambar yang serupa. Selalunya boleh diuji pada kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun pada jarak yang agak jauh di hadapannya. Jika anak sudah mula bercakap, suruh dia sebutkan objek yang ditunjukkan atau padankan gambar yang tunjukkan.



Sekiranya bayi tidak menunjukkan tindak balas yang diharapkan terhadap ujian di atas, bawalah ia berjumpa pakar mata (optometris atau oftalmologis) untuk pemeriksaan lanjut. Menurut Zuhayati Yazid (2006) menjelaskan optometris di Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih positif untuk membantu menangani masalah gangguan penglihatan di kalangan kanak-kanak. Jangan takut untuk membuat pemeriksaan mata terhadap anak-anak anda kerana pengesanan masalah pada peringkat awal adalah penting untuk mengelak kes-kes yang lebih teruk seperti amblyopia dan juling. Amblyopia dan juling juga kini boleh dirawat melalui kaedah ortoptik yang boleh didapati di pusat rawatan pakar mata dan juga pusat perkhidmatan optometris.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (2009) terdapat banyak kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan dan badan-badan  NGO bagi membantu individu yang mengalami masalah penglihatan. Ini kerana mereka ini memerlukan lebih dari satu alat bantuan bagi membantu mereka dalam pembelajaran dan pergerakan.



3.5       PELAN TINDAKAN

Bagi membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran, pelbagai ujian dan pendekatan yang digunakan bagi menilai tahap kehilangan penglihatan mereka. Pelbagai ujian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa kanak-kanak cacat penglihatan yang mengalami kecelaruan di dalam konsep ruang, di antaranya ialah ‘meta analysis’ dimana kanak-kanak buta dan rabun diletakkan di suatu kawasan dan diuji bagaimana mereka mengamati ruang di dalam kawasan tersebut. Hasil ujian menunjukkan bahawa kanak-kanak buta amat sukar untuk mengadaptasi sumber atau petunjuk (clue) yang ada. Mereka memerlukan latihan sebelum didedahkan kepada sesuatu situasi baru (Linn & Petersen, 1985).

Kanak-kanak yang mengalami kebutaan memerlukan pelbagai pendedahan dan latihan intensif. Diantaranya ialah peningkatan deria bau diperingkat bayi. Bayi perlu diberikan pendedahan tentang individu-individu penting seperti ibu, bapa dan adik-beradik. Tindakan ini akan memberikan kesan psikologi iaitu rasa selamat pada seseorang bayi. Seseorang kanak-kanak cacat penglihatan sering menunjukkan tingkahlaku atau emosi takut. Perasaan takut ini akan lebih menonjol pada keadaan atau situasi yang baru dilaluinya disebabkan mereka tidak menguasai konsep ruang. Latihan yang diperlukan ialah mengenal gema, orientasi dan mobiliti (Jacobson, 1993). Latihan mengenal gema adalah dengan melatih kanak-kanak mengenal balikan gelombang pantulan pada objek seperti dinding agar mereka mengetahui kedudukan mereka adalah berhampiran dengan sesuatu objek. Kementerian kesihatan Malaysia menghasilkan buku ‘Manual On The Management of Children With Visual Impairement’ yang antara lain memberi cadangan kaedah yang dapat digunakan semasa menjalankan aktiviti rangsangan terhadap kanak-kanak bermasalah penglihatan berkaitan penggunaan deria bau, sentuh dan pendengaran.

Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, maklumat tentang jarak sering menjadi kekeliruan. Latihan perlu diberikan untuk mereka mengenal sesuatu jarak seperti apakah yang dikatakan dengan satu depa dan sepuluh meter. Kanak-kanak ini perlu diberikan pengalaman untuk membuat ukuran sendiri menggunakan tali pengukur untuk mendapatkan perbandingan jarak. Pengenalan kepada saiz memerlukan pelbagai elemen yang dapat menyokong sesuatu keadaan. Aktiviti untuk mengenal saiz boleh dilakukan dengan membuat persamaan dengan kehidupan harian. Sebagai contoh, adik memakai seluar saiz S dan abang memakai seluar saiz X. Perbezaan ini boleh diterangkan kepada kanak-kanak cacat penglihatan untuk membolehkan mereka membuat perbandingan saiz.

Kanak-kanak dengan masalah penglihatan memerlukan bantuan dalam pelbagai aspek pendidikan seperti orientasi dan mobiliti di kawasan yang belum biasa baginya. Pendidikan bagi kanak bermasalah penglihatan perlu dilengkapi dengan peralatan yang sesuai mengikut tahap masalah yang dihadapinya. Antaranya adalah tongkat putih, mesin braille, buku Braille, alat sentuh seperti peta, gambar rajah timbul, model tiga dimensi, bilik sumber yang dilengkapi dengan kemudahan mesin braille, alat rakaman audio, duplicator braille, bilik penyelenggaraan braille, bilik low vision, hand held magnifier, stand magnifier,
spectacle magnifier, dan teleskop.

            Sistem tutorial multimedia atas talian Kod Braille Bahasa Malaysia telah diperkenalkan untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran Kod Braille Bahasa Malaysia. E-KodBrailleBM ini merupakan salah satu projek yang dijalankan bertujuan menyokong guru-guru pendidikan khas di Malaysia. Di samping guru-guru pendidikan khas, sistem tutorial ini juga berguna untuk ibu bapa serta individu lain yang berminat dalam mempelajari Braille secara visual. Versi percubaan sudah pun sedia untuk digunakan dan proses penilaian sedang dijalankan. Sistem ini akan dibuka kepada khalayak ramai sebaik sahaja proses penilaian siap dijalankan. Sesiapa yang berminat untuk menggunakan sistem versi percubaan ini dan rela menyertai sebagai sampel dalam kajian penilaian boleh mendaftar sekarang di laman web berikut  (Buletin Pendidikan Khas, Jilid 2, Bil.2/2010) :

http://ekodbraille.ses.usm.my

            Program Jangka Pendek yang boleh dilaksanakan bagi mendidik kanak-kanak bermasalah penglihatan ini ialah dengan mendedahkan dan membimbing mereka mengguna deria yang masih berfungsi iaitu dari segi penggunaan deria bau, sentuhan dan pendengaran.   Pengajaran dari segi deria bau  ialah dengan memastikan kanak-kanak ini diberikan peluang untuk menghidu benda, misalnya makanan yang dimakannya, minumannya, sabun yang digunakan untuk mandi, bau pasar, bau kiosk petrol, minyak wangi, bedak dan lain-lain. Ini dapat membantu mereka mengenalpasti benda yang terdapat disekeliling mereka dan membantu mereka memenuhi kehendak mereka seperti berada di alam kanak-kanak normal yang lain. Melalui deria sentuh pula, bimbingan diberikan dengan memandu tangan kanak-kanak ini untuk menyentuh benda-benda. Beri kanak-kanak pelbagai benda ataupun objek pelbagai tekstur, bentuk dan saiz. Beri peluang kepada kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti seharian seperti bermain, mengurus diri, menyertai keluarga di dapur ataupun di taman.

Dari segi pendidikan deria pendengaran pula,  guru boleh bercakap dengan kanak-kanak itu pada setiap kesempatan. Namakan benda-benda yang disentuhnya dan beritahu apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Terangkan juga benda-benda yang sedang dilakukan dan jelaskan kepada kanak-kanak itu tentang perasaan. Galakkan kana-kanak bercakap, misalnya dengan bertanya soalan kepadanya dan  galakkan ia bertanya kembali. Elakkan daripada menggunakan bahasa pelat (baby talk) dengan kanak-kanak. Pastikan orang bercakap terus kepada kanak-kanak, iaitu membantu masyarakat sekeliling turut sama membimbing dan berkomunikasi dengan kanak-kanak bermasalah penglihatan ini.



4.0       PENUTUP

Pendidikan Khas di Malaysia akhir-akhir ini pesat membangun bukan sahaja dari aspek bertambahnya bilangan pelajar tetapi juga dari aspek prasarana yang lain seperti pertambahan bilangan sekolah dan kelas, peningkatan bilangan dan kualiti guru, serta peningkatan mutu pengurusan dan pentadbiran sekolah yang mempunyai kanak-kanak berkeperluan khas.. Seksyen 40 dan seksyen 41 dalam Akta 1995 dilihat oleh pelbagai pihak sebagai era baru dalam dunia pendidikan khas kerana Menteri Pendidikan dikehendaki menyediakan kelas pendidikan khas jika adanya permintaan dari masyarakat. Akta yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menentukan tempoh persekolahan dan kandungan kurikulum untuk keperluan pendidikan khas. Hal ini menggambarkan bahawa setiap lapisan kita telah memberi perhatian kepada golongan ini.

Dalam  usaha memupuk kerjasa di antara pihak sekolah dan keluarga, guru harus sedar bahawa hubungan dengan ibu bapa mungkin berbeza tertakluk kepada latar belakang keluarga. Ibu bapa berpelajaran rendah mengkin berhati-hati berinteraksi dengan guru berbanding dengan ibu bapa berpelajaran tinggi. Oleh itu, guru harus sedar dan mengambil kira perbezaan kepercayaan dalam usaha mendidik kanak-kanak berkeperluan khas sama ada dari segi masalah pembelajaran, masalah penglihatan mahupun masalah pendengaran.

















RUJUKAN

Abdullah Yusof, Safani Bari. 2006. HBSE1103 – Pengenalan Pendidikan Khas. Open University Malaysia (OUM)

Amir Awang, 1991. Modifikasi Tingkah Laku dan Terapi. Universiti Sains Malaysia: Pulau             Pinang

Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon, 2006. Psikologi Sosial   Alam Remaja, PTS Profesional: Selangor

Bulletin Pendidikan Khas. April 2010. Jilid 1,Bil. 1. ISSN 2180-110X.
http://epkhas.ses.usm.my dimuat turun pada 29/04/2010

Bulletin Pendidikan Khas. 2010. Jilid 2,Bil. 2. ISSN 2180-110X.
http://epkhas.ses.usm.my dimuat turun pada 29/04/2010

Che Ismail Che Lah .Januari 2008. Kajian Masalah Pendengaran Dan Saringan Mutasi A1555g Gen Dna Mitokondria (Mtdna) Di Kalangan Kanak-Kanak Bermasalah Pendengaran Jenis Sensorineural Tidak Bersindromik Di Hospital Universiti Sains Malaysia : Universiti Sains Malaysia

Gunasegaran Ail Karuppannan. Oktober 2003. Persepsi Guru Besar Dan Guru Te􀃂ap Pencapaian Objektif Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Di Kalangan Murid Bermasalah Pendengaran. Universiti Putra Malaysia,

Jamila K.A. Mohamed. 2005. Pendidikan Khas Untuk Kanak-Kanak Istimewa. Kuala Lumpur : PTS Professional

K.A Razhiyah. 2005. Menjadi Guru Pendidikan Khas. Kuala Lumpur : PTS Professional

Lee Lay Wah (2007-2009). ePKhas: Repositori sumber e-pengajaran dan pembelajaran multimedia untuk pendidikan khas. Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM. Laman web: http://epkhas.ses.usm.my

Lee Lay Wah. (Mei, 2009). Strategi Pengajaran ePKhas-Lee. Dari laman web:

Pakar Audiologi http://farzielahzakaria.blogspot.com/2011/04/1.html (dimuat turun pada 29/04/2012)

Sabilah  Wahab. April, 2006. Persepsi Pelajar Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Terhadap Mata Pelajaran Kemahiran Hidup Di Tiga Buah Sekolah Di Daerah Johor Baru. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.


Safani Bari, Manisah M.A, Noraini M.S, Aliza Alias. ______ . Penggunaan Alat Bantuan Pendengaran Di Kalangan Murid-Murid Bermasalah Pendengaran. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.


LAMPIRAN

FORMAT PENYEDIAAN RANCANAGAN PENGAJARAN INDIVIDU

1.     Maklumat Awal Pelajaran - Bidang pengajaran, jenis ketidakupayan, peringkat pendidikan, aras kesukaran serta domain perkembangan dicatatkan.

2.     Perancangan Sebelum Pengajaran - Enam perkara perlu dikenalpasti dan ditentukan terlebih  dahulu sebelum merancang langkah-langkah dalam proses pengajaran-pembelajaran. Perkara tersebut adalah:
       Sukatan Pelajaran
       Deskripsi Pelajaran Hari Ini
       Objektif Pelajaran
       Kemahiran Sedia Ada
       Analisis Tugasan/Konsep Pembelajaran
       Bahan Bantu Mengajar
       Sokongan Tingkah Laku Positif

3.    Permulaan Pengajaran - Tiga langkah digunakan untuk memulakan sesuatu pengajaran dalam kelas, iaitu:
i. Set induksi
ii. Membantu murid mengingat kembali kemahiran sedia ada
iii. Memperkenalkan pelajaran hari ini kepada murid
4.    Penyampaian Isi Pelajaran - Strategi pengajaran ePKhas-Lee disyorkan untuk menyampaikan isi pelajaran. Strategi ini terdiri daripada tiga langkah yang utama iaitu Model, Bimbing dan Cuba
i. Mempersembahkan maklumat baru kepada murid (Model)
ii. Membimbing murid untuk melaksanakan tugasan baru (Bimbing)
iii. Memberi peluang untuk murid melakasanakan tugasan secara sendiri (Cuba) Guru biasanya memodel tugasan atau konsep baru, seterusnya ini diikuti dengan langkah membiarkan murid melatih tugasan atau konsep baru dengan diberi bimbingan. Apabila murid sudah dapat menguasai tugasan atau konsep baru ini, bimbingan dipudarkan supaya murid dapat mencuba secara berdikari.

5.    Penilaian - Latihan disediakan untuk menilai murid. Murid dibimbing untuk melaksanakan latihan sekiranya perlu dan seterusnya bimbingan dipudarkan supaya murid boleh berdikari. 

6.    Penutup Pengajaran - Penutup pengajaran biasanya merangkumi rumusan keseluruhan pengajaran untuk hari tersebut.

7.    Aktiviti Lanjutan - Aktiviti lanjutan biasanya adalah aktiviti generalisasi iaitu aktiviti untuk mengaplikasikan konsep serta tugasan yang baru dipelajari dalam situasi yang baru seperti dalam kehidupan seharian.


CONTOH RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU
KELAS PENDIDIKAN KHAS

Nama :
Tarikh Lahir :
Tarikh Mula :
Tempoh Semakan : 

Komponen : Pengurusan Diri
Umur : 6 Tahun


Pengetahuan Sedia Ada

-          Boleh membuka seluar dengan bantuan minima.
-          Murid boleh mengajuk percakapan guru namun masih pada tahap minima dan perlu diulang – ulang.
-          Murid boleh memahami dan memberi respon arahan mudah dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Matlamat Jangka Panjang

-       Murid boleh menyatakan keinginan membuang air menggunakan isyarat.
-       Boleh pergi ke tandas tanpa bantuan.
Kekuatan / Minat

-          Kekuatan:
-       Murid boleh memahami arahan mudah.
-       Murid boleh memberi respon segera terhadap arahan.
-       Boleh mengenal dan menunjukkan anggotan asas badan (kepala, tangan dan kaki).

-          Minat:
o        - Mendengar dan menonton serta menari mengikut lagu “Happy”.
Kelemahan / Masalah Yang Dikenal Pasti

-          - Murid belum boleh menyatakan keinginan untuk kencing.
-         - Sering terkencing dalam seluar.

Objektif Jangka Pendek
Pendekatan
Penilaian / Tarikh / Tanggungjawab
Murid boleh memahami dan memberikan isyarat jika mahu kencing.





1. Mengenal tandas, arah ke tandas dan kegunaan tandas.

1.1 Guru membawa murid ke bahagian bilik air dedahkan perkara / bahan yang ada dalam bilik tersebut.
- Guru berbual / memberi arahan kepada murid dengan menekankan beberapa perkara yang ada dalam bilik air seperti tutup paip, flush tandas, selipar tandas, sabun, berus gigi dan seumpamanya.

- Contohnya memperkenalkan perbuataan / perkataan “tangan”:
  1. Guru meminta murid membasuh tangan selepas membuang air.
  2. Guru menekankan perkataan “tangan” dan “sabun” dan meminta murid menyebutnya dengan berulang kali.
  3. Ganjaran diberikan jika murid boleh menyebut perkataan “tangan” atau “sabun” dengan betul. 
- Aktiviti dipelbagaikan mengikut situasi dan juga minat murid.

1.2 Guru memperkenalkan isyarat jika mahu kencing. Jari telunjuk ditunjukkan di atas  tapak tangan sebelah.

1.2.1 Guru bertanyakan “Mahu kencing?” sambil menunjukkan isyarat simbol kencing.
1. Pemerhatian :-
  1. Menyatakan hasrat mahu kencing.
  2. Memahami arahan.
  3. Memberi respon pada arahan dengan betul.
2. Kerjasama guru dan Pembantu Pengurusan Murid.

3. Kerja sama ibubapa dan keluarga

- melatih murid untuk ke tandas sekiranya mahu kencing.


Tarikh Penilaian : ___________












Tandatangan ibu bapa /penjaga :                   TarikhBersidang
                                                                        Awal:
……………………………………….
(Nama :……………………………...


Tandatangan Guru :

……………………………………….
(Nama :……………………………...
           

9 ulasan:

Saidatul Adani berkata...

great :) thank eh

Hafazah berkata...

salam...saya mohon izin untuk mengambil sdkt info untuk mnyiapkan tugasan saya...tksih

Tanpa Nama berkata...

wahhh

Unknown berkata...

assalamualaikum...
i think this was very useful for me to get band 6 in PBS for science suject. . .thank u so much. . .

Kasturi Nusi berkata...

Tq..welcome

Kasturi Nusi berkata...

Silakan ummu

Kasturi Nusi berkata...

Hope so..welcome

Asyraf berkata...

Alhamdulillah terima kasih atas info yang diberi..semoga Allah membalas jasa baik anda :)

Kasturi Nusi berkata...

Terima kasih doanya saudara Shaufiq.. semoga bermanfaat