REFLEKSI PENGAJARAN ( RPH
1 )
|
1.0
PROSES
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Hari ini tidak seperti rakaman
mikropengajaran yang lepas, suasana agak riuh dengan suara kanak-kanak
prasekolah yang berada di sebelah bangunan kelas saya. Perasaan saya pula penuh
dengan bunga-bunga harapan agar semuanya berjalan dengan lancar berkat izin dari yang Maha Esa. Hari ini juga bertempat di Sekolah Kebangsaan
Umas-umas, Tawau Sabah pada 15 November 2011, bersamaan hari selasa antara
pukul 10.25 hingga 10.55 pagi kira-kira 30 minit di kelas 4 Amanah saya telah
menjalankan rakaman makropengajaran bagi mata pelajaran Matematik dengan tajuk
Ukuran Panjang. Objektif pembelajaran saya pada hari ini ialah, memahami
perhubungan antara unit panjang. Harapan agar, diakhir proses pengajaran dan
pembelajaran murid-murid dapat menyatakan perhubungan antara mm, cm
dan m, menukar unit panjang, menjawab
latihan secara individu disamping dapat menjalankan aktiviti berkumpulan dengan
seronok bersama rakan mereka.
Pengajaran dan pembelajaran
dimulakan dengan bacaan doa, agar ilmu yang kita sampaikan diterima oleh murid
mendapat keberkatan dan rahmat dari-Nya. Selesai sahaja berdoa dan bertanya
khabar murid-murid, saya arahkan agar mereka melakukan sedikit senaman iaitu
lari setempat agar semua murid sedia menerima dan melakukan aktiviti yang saya
rancang. Bagi memulakan set induksi yang menjurus kepada kesediaan murid dengan
isu semasa dan pengetahuan sedia ada murid, saya memanggil dua orang murid yang
mempunyai bentuk fizikal yang berbeza diikuti dengan menunjukkan 2 batang
pembaris yang berbeza panjangnya diselangselikan dengan soal jawab bagi
mencungkil idea dan mengaitkan pengetahuan sedia ada murid dengan isi
pelajaran.
Setelah selesai set induksi, saya
teruskan pengajaran dengan menjalankan penerangan konsep tajuk yang ingin saya
ajar iaitu menyatakan perhubungan unit panjang. Pendekatan masteri saya gunakan
dalam pengajaran saya agar murid dapat memahami dan menguasai konsep isi
pelajaran dan boleh menyelesaikan soalan-soalan matematik menggunakan konsep
yang dipelajari. Penerangan konsep ini saya lakukan dengan memaparkan slaid Powerpoint yang saya sediakan lebih
awal. Selesai memberikan beberapa contoh penyelesaian, saya edarkan kepada
setiap orang murid lembaran kerja bagi menjalankan aktiviti individu. Tujuannya
adalah untuk memberi lebih fokus kepada murid yang kurang mahir menyelesaikan
soalan berkaitan tajuk yang saya ajar. Dalam aktiviti ini saya dapatkan bantuan
rakan murid yang saya gelar sebagai guru kecil untuk membantu rakan kumpulan.
Pembelajaran koperatif digunakan
untuk aktiviti kumpulan. Aktiviti kumpulan saya jalankan dengan menyediakan
papan penyelesaian untuk mereka menulis hasil jawapan melalui perbincangan
soalan yang dipaparkan melalui slaid. Kumpulan yang dapat menjawab dengan betul
akan saya berikan kad wang syiling agar mereka boleh menukar kad tersebut
dengan hadiah yang saya sediakan. Aktiviti penutup saya jalankan dengan membuat
penutupan kognitif dan sosial yang memfokuskan kepada rumusan isi pelajaran
yang telah dipelajari oleh murid dengan meminta mereka menyatakan hubungan
antara unit panjang.
2.0
KEKUATAN
2.1 Sebutan dan dan nada suara yang jelas
Selepas saya menonton video makropengajaran yang telah
dirakam, kelebihan yang ada pada pengajaran saya adalah nada suara atau sebutan
yang jelas ketika menyampaikan maklumat dan ketika memberikan arahan. Kesannya,
murid dapat faham isi pelajaran dan arahan yang saya sampaikan kepada mereka
dengan baik.
2.2 Kawalan kelas yang baik
Selain itu juga saya mampu melaksanakan kawalan kelas
yang baik dalam mengurus tadbir murid dan memastikan wujud suasana yang
kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Kawalan kelas yang baik membantu
saya menjalankan aktiviti dengan lebih lancar, ditambah pula dengan kerjasama
dan penyertaan yang ditunjukkan oleh murid-murid dalam menjalankan aktiviti. Murid-murid
dapat melibatkan diri secara aktif terutamanya dalam aktiviti kumpulan kerana
saya telah mengambil kira ketidaksamaan kebolehan di kalangan murid-murid
semasa merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kawalan dan kerjasama
yang yang diberikan ini telah mewujudkan keadaan pembelajaran yang kondusif dan
selesa.
2.3 Bahan bantu mengajar yang berkesan
Kaedah dan bahan bantu mengajar yang saya gunakan juga
menarik perhatian, sesuai dan releven untuk murid. Bahan bantu belajar dan
mengajar ini banyak memberi sumbangan dalam menjayakan pengajaran saya pada
kali ini. Saya akan terus berusaha menghasilkan bahan pengajaran yang bukan
hanya berguna untuk pengajaran saya sendiri malah untuk kegunaan bersama-sama
Panitia Matematik. Bukan hanya dalam bentuk benda-benda maujud malah
menghasilkan aneka koleksi bahan pengajaran menggunakan perisian-perisian
komputer seperti penggunaan Microsoft PowerPoint. Tanpa bahan mengajar umpama
resepi yang kekurangan perisanya.
2.4 Peneguhan positif
Daripada pemerhatian, murid-murid amat suka diberi pujian
dan galakan. Peneguhan diberikan secara lisan dan isyarat kepada perlakuan yang
baik sama ada dalam bentuk ungkapan, perkataan, dan isyarat peneguhan yang
bersesuaian dengan murid. Pada sesi pengajaran kali ini, peneguhan positif yang
saya lakukan kepada murid menjadikan pengajaran lebih bermakna seperti
mengatakan “bagus!”, “pandai” dan bertepuk tangan kepada murid yang menjawab
soalan dengan betul. Oleh yang demikian saya harus terus menggunakan kemahiran
dalam memberikan peneguhan agar murid bersemangat untuk menjawab soalan yang
diajukan. Disamping itu, peneguhan ini penting agar murid-murid rasa dihargai
oleh guru. Peneguhan dengan memberi teguran yang berseuaian kepada pelakuan
yang negatif juga perlu dilakukan bagi mengelakkan perlakuan yang negatif
ini dari berulang Namun demikian, saya
juga perlu beringat agar peneguhan yang diberikan tidak terlalu kerap sehingga
murid berasa boring dan menjangkakan hanya ucapan kosong seorang guru.
2.5 Penerapan nilai murni
Dalam proses pengajaran ini, saya juga telah menekankan
aspek penerapan nilai-nilai murni kepada murid-murid saya. Antara nilai-nilai
murni yang saya terapkan ialah semangat tolong-menolong, berani mencuba,
bekerjasama dan bersaing secara sihat terutamanya dalam menjalankan aktiviti
individu dan kumpulan yang telah dirancang. Saya juga menerapkan rasa
kepimpinan dalam diri individu murid dengan adanya guru kecil yang menjadi
pembimbing kepada rakan-rakan mereka yang lemah. Semoga penerapan nilai-nilai
murni ini dapat membentuk dan melahirkan murid-murid yang berakhlak mulia.
2.6 Membimbing dan menyemak hasil kerja
murid.
Sewaktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung saya
mendisiplinkan diri saya agar sentiasa membimbing dan menyemak hasil kerja
murid-murid saya. Tujuannya adalah untuk memastikan setiap murid dapat memahami
dan melaksanakan tugasan yang saya berikan kepada mereka.
2.7 Memeriksa hasil kerja murid
Dalam makropengajaran juga saya telah memeriksa latihan
dan tugasan murid dengan menunjukkan kesilapan yang dilakukan oleh mereka
disamping memberi ulasan yang membina dan memberi penghargaan kepada hasil
kerja yang baik. Ini penting bagi memastikan objektif pelajaran dapat dicapai
dengan lebih berkesan.
3.0
KELEMAHAN
3.1
Pengurusan
masa
Ketepatan masa penting bagi memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berjalan dengan baik dan lancar. Berdasarkan rakaman dan RPH
yang telah saya sediakan, saya dapati masa yang digunakan untuk aktiviti individu
agak lama berbanding masa yang peruntukkan dalam RPH. Akibatnya saya tidak
dapat menggunakan masa dengan optimum dan terpaksa mempercepatkan aktiviti
kumpulan.
3.2
Penggunaan
bahasa (laras dan istilah)
Kelemahan seterusnya yang dapat saya kesan ialah
penggunaan bahasa dari segi laras dan istilah. Contohnya penggunaan perkataan
“ok” yang terlalu kerap. Pada dasarnya, kelemahan ini berlaku tanpa saya
sedari, mungkin disebabkan ianya sudah menjadi kebiasaan. Penggunaan perkataan
“ok” yang terlalu kerap boleh menyebabkan murid-murid terikut dengan gaya
bahasa tersebut. Selain itu juga penggunaan dialek yang juga boleh
3.3
Pembelajaran
koperatif
Dalam aktiviti kumpulan, saya menggunakan pendekatan
pembelajaran koperatif. Setiap kumpulan mempunyai 4 orang murid. Namun ada 2
kumpulan yang mempunyai lebih dari 4 orang ahli kumpulan. Kelemahan saya dalam
situasi ini ialah, tidak semua murid dapat menulis di atas papan penyelesaian
yang saya sediakan. Walaupun mereka memberikan pendapat namun peluang untuk
turut sama menggunakan dengan optimum adalah terhad. Sepatutnya saya memastikan
setiap ahli kumpulan menjawab soalan secara bergilir-gilir.
3.4
Ada
murid yang tidak aktif.
Penglibatan murid-murid yang lemah semasa pross
pengajaran dan pembelajaran adalah kurang memuaskan. Mereka kurang melibatkan
diri dalam kebanyakan aktiviti yang dilaksanakan. Masalah ini berkemungkinan berpunca daripada
perasaan kurang yakin atau takut ingin mencuba. Sepatutnya saya memainkan
peranan dengan memberi keyakinan kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam
setiap aktiviti yang dijalankan.
4.0
LANGKAH
MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN
Hari
ini membawa azam baru untuk memperbaiki kaedah penyampaian dan pendekatan dalam
pengajaran demi mencapai objektif dan memenuhi kriteria-kriteria guru berkesan
dalam pengajaran yang bukan sahaja memberi impak kepada pencapaian murid malah
perubahan tingkah laku murid ke arah yang lebih positif. Menyedari bertapa
besar tanggungjawab sebagai seorang guru dan begitu banyak perkara yang perlu
diperbaiki, menambah semangat dan motivasi dalam diri saya untuk menjadi guru
yang cemerlang bukan sahaja untuk murid-murid saya, tetapi untuk meningkatkan
martabat profesion keguruan khasnya.
Berdasarkan kelemahan dan kekurangan yang tedapat dalam
makropengajaran saya, beberapa aspek penambahbaikan perlu dilaksanakan.
Penambahbaikan yang pertama perlu saya lakukan adalah memperbaiki penggunaan
bahasa dari segi laras dan istilah. Penggunaan bahasa seperti penggunaan
perkataan “ok” yang berulang perlu dielakkan, saya juga boleh menggunakan
perkataan lain seperti “baiklah” dan diselangselikan dengan perkataan lain.
Penggunaan dialek dalam pengajaran juga perlu dihindarkan agar murid tidak
mudah terikut-ikut dengan bahasa guru yang boleh mengelirukan murid-murid.
Saya juga perlu memantau dan memberi bimbingan serta
tunjuk ajar kepada murid-murid yang mempunyai kebolehan yang rendah agar mereka
tidak tercicir dalam pembelajaran dan dapat menyiapkan tugasan dengan lebih
berkesan. Peneguhan juga perlu diberikan kepada murid yang lemah agar mereka
juga rasa dihargai oleh guru seperti rakan mereka yang lain disamping dapat
memupuk keyakinan dalam diri mereka.
Saya juga perlu bijak melaksanakan aktiviti pengajaran
agar selari dengan had masa yang saya peruntukkan. Saya perlu menepati masa
yang telah saya peruntukan dalam rancangan pengajaran dan menggunakan masa yang
ada dengan optimum Namun demikian saya juga perlu bersikap “fleksibel” yakni
berubah mengikut keadaan bagi memastikan tiada kecacatan dalam proses
pengajaran.
Sekiranya saya berpeluang mengajar sekali lagi untuk
kumpulan murid yang sama, saya akan memastikan setiap murid mengambil bahagian
dalam setiap aktiviti yang saya jalankan. Ianya bertujuan supaya murid yang
lemah juga memainkan peranan yang aktif semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Manakala untuk aktiviti kumpulan pula, saya akan
mengaplikasikan pembelajaran koperatif dengan memastikan setiap murid dalam
kumpulan akan mempunyai peranan atau nombor masing-masing. Saya akan menetapkan
peraturan menjawab soalan kepada murid yang nombornya disebut sahaja perlu bangun
dan menyelesaikan soalan. Walau bagaimanapun rakan kumpulan boleh membimbing
rakan mereka jika rakan mereka tidak dapat menyelesaikan soalan yang diberikan.
Secara tidak langsung nilai-nilai murni dapat diterap dalam aktiviti seperti
ini.
Secara keseluruhannya, objektif pengajaran dapat dicapai
dan saya berpuas hati terhadap makropengajaran kali ini walaupun timbul
beberapa kelemahan yang mencacatkan sedikit proses pengajaran dan pembelajaran.
Saya beriltizam dan berazam untuk memperbaiki diri dan menghasilkan pengajaran
yang lebih berkualiti di masa akan datang walaupun saya perlu memaksimumkan
usaha saya, kerana kemanisan akan dikecapi oleh guru apabila melihat
murid-muridnya mencapai kefahaman terhadap apa yang diajar dan memperolehi
kejayaan. Guru berkualiti meneraju pembangunan negara ke arah kecemerlangan dan
kegemilangan.
1 ulasan:
Harrah's Resort Atlantic City - Mapyro
Harrah's Resort Atlantic City offers 2100 of the 부산광역 출장안마 hottest slots, 14 table games and a variety of 강원도 출장샵 table games. Hotel guests will enjoy the casino's indoor pool. Rating: 8.2/10 · 1,980 reviews · Price range: $ (Based on Average Nightly Rates for 군산 출장샵 a Standard Room from our Partners)What are some of the property amenities at Harrah's Resort 과천 출장안마 Atlantic City?What food & drink options are available at Harrah's 천안 출장샵 Resort Atlantic City?
Catat Ulasan