REFLEKSI PENGAJARAN 2 (
RPH 2 )
|
1.0 PROSES PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN
Sebelum melangkah masuk ke
dalam bilik darjah, suasana di dalam
agak tenang tidak seperti kebiasaannya.
Tentunya murid-murid mengetahui
bahawa hari ini pengajaran dan
pembelajaran akan dirakam untuk tujuan
penilaian. Bagi menjayakan proses rakaman ini, saya dapatkan bantuan seorang
rakan yang mahir dalam mengendalikan ’handycamera’.
Keseronokan mereka untuk menjadi pemain utama dalam skrin layar telah dirasai
beberapa hari yang lalu apabila guru lain juga menggunakan mereka sebagai murid untuk penilaian mata pelajaran
Sains. Ketenangan yang saya rasai hari ini diharap dapat membantu saya
memulakan pengajaran dengan baik mengikut perancangan dan masa yang telah saya
peruntukkan. Ini kerana tidak semua yang kita rancang akan berjalan dengan
baik. Kita hanya merancang Tuhan yang
Maha Menentukan. Melangkah masuk ke
dalam kelas yang tenang sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada saya untuk
memulakan pengajaran.
Saya melangkah masuk ke dalam
kelas 4 Amanah dengan langkahan kaki kanan semoga apa yang ingin saya curahkan
dan laksanakan berjalan dengan baik dan murid-murid mendapat manfaat dari apa
yang saya sampaikan. Kedengaran ketua kelas mengucapkan ’Good Morning Teacher’. Seperti hari-hari sebelumnya, saya mulakan
pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan set induksi. Hari ini saya telah
mengajar mata pelajaran Sains di bawah sukatan Sains Unit 5 yang bertajuk bahan
bagi Tahun 4.
Objektif set induksi pada hari ini ialah, murid
dapat menyatakan tajuk pelajaran yang akan saya ajar berdasarkan bahan-bahan
yang saya bawa. Seramai 24 orang murid
yang hadir daripada 28 jumlah keseluruhan. Sebab musabab 4 orang lagi tidak
menghadirkan diri ke sekolah tidak dapat saya kenalpasti kerana mereka tidak
memaklumkan kepada saya yang juga bertugas sebagai guru kelas mereka, hanya
seorang daripada mereka telah bercuti lebih awal setelah peperiksaan semester 2
berakhir memandangkan keluarga yang ditimpa musibah.
Kemahiran pengajaran adalah
penting dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran. Set Induksi atau ’permulaan’ ialah kemahiran menyediakan atau
meletakkan idea-idea kepada murid-murid. Pengajar yakni saya sendiri perlu membentangkan
ciri-ciri topik yang akan diajar, menyematkan di dalam fikiran murid-murid
untuk menggerak pemikiran dan merangsang serta mencantumkan kandungan
pengajaran dengan pengetahuan sedia ada pada murid-murid. Saya perlu memandu
murid ke arah mana tujuan dan membuat perkaitan yang jelas dengan pengalaman
lalu atau pengetahuan sedia ada murid-murid.
Dalam memulakan pengajaran bagi
tajuk pengaratan, saya telah menyediakan beberapa slaid powerpoint yang saya
harap dapat menarik perhatian dan secara tidak langsung membuat perkaitan
dengan tajuk yang saya ajar. Berusaha sepenuhnya bertindak sebagai pemudah cara
dengan mengajukan beberapa soalan-soalan agar murid dapat memberikan idea-idea
yang bernas dan jawapan tentang persoalan yang saya ajukan. Mendengar kepada
jawapan murid, ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki. Masa yang saya
gunakan untuk pengajaran memenuhi
kriteria masa yang telah ditetapkan dalam kemahiran pengajaran.
2.0 KEKUATAN
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan teratur.
Empat komponen utama yang perlu ada dalam kemahiran set induksi dapat saya
aplikasikan dalam mikropengajaran saya iaitu menarik perhatian, membangkitkan
pemikiran, menstuktur kandungan dan membuat cantuman pengajaran. Dalam
kemahiran pengajaran juga adalah untuk mengukuhkan pendekatan guru mengenai
pelajaran yang ingin diajar, mengenal pasti kemahiran yang diperlu perbaiki,
meningkatkan kefahaman guru bagai pelbagai gaya pengajaran yang berkesan disamping
menerima maklum balas yang berkesan hasil pengajaran.
2.1 Menarik Perhatian Murid
Dalam
menarik perhatian murid, saya telah menggunakan bahan bantu mengajar disamping
menggunakan gerak geri badan dan kepelbagaian nada suara. Alat bantu mengajar
yang saya gunakan dapat saya urus tadbir dengan baik. Disamping itu juga
komunikasi dua hala antara guru dan murid dapat dirasai. Kepelbagaian nada
suara adalah penting untuk menegaskan sesuatu perkara dan memberi ingatan
kepada murid isi penting pelajaran.
2.2 Penggunaan Bahan Pengajaran
Dalam
mencungkil ide-idea daripada murid-murid mengenai bahan yang disediakan saya
juga menggunakan kemesraan dan menunjukkan semangat serta kesungguhan mendengar
idea-idea yang disuarakan oleh murid. Sebagai contoh apabila seorang murid saya
menyatakan pendapat dengan suara yang agak pelahan dan samar-samar, saya dekati
murid tersebut dan menyebut semula idea yang disampaikan olehnya. Menggunakan bahan-bahan media dan teknologi yakni
sebagai alat bantu mengajar yang saya, dapat membantu saya dalam membuat
perkaitan. Peralatan ini saya gunakan dalam membandingkan fungsi bahan-bahan
yang boleh menyebabkan pengaratan. Mendengar kepada setiap idea-idea yang
diberikan oleh murid, saya merasa amat gembira.
3.0 KELEMAHAN
Setiap
pengajaran yang berlaku itu pasti ada kelemahannya, tidak kira ia kecil atau
besar, memberi kesan ataupun tidak, sama ada kita sedari ataupun tanpa kita
sedari. Selesai sahaja membuat rakaman mikropengajaran, saya bertanya kepada
rakan yang turut sama berada semasa rakaman ini dilakukan tentang kelemahan,
kekuatan dan aspek-aspek yang memerlukan penambahbaikan. Melihat kepada rakaman
dan mendengar komen daripada rakan sejawat beberapa kelemahan telah
dikenalpasti dan perlu diperbaiki supaya pengajaran saya memenuhi ciri-ciri set
induksi yang berkesan dan kreteria pengajaran mata pelajaran Sains memandangkan
saya kurang mahir dalam subjek ini, namun semua guru perlu fleksibel dengan
tugas-tugas yang tidak pernah mereka duga.
3.1 Penggunaan perkataan dan laras bahasa yang kurang tepat
Berdasarkan
rakaman, ada beberapa penggunaan perkataan
yang kurang tepat. Selain itu juga saya dalam mengajukan soalan juga,
saya telah memberi pembayang kepada
jawapan. Ini tidak member peluang kepada murid untuk berfikir dan menyatakan
idea mereka.
3.2 Cara penyampaian yang agak laju
Saya
juga dapat merasakan pengajaran saya untuk tajuk ini agak kelam kabut. Menurut rakan sejawat juga
saya bercakap agak laju dan
terburu-buru. Hal ini mungkin saja kerana sebelum pengajaran ini berlangsung, sekolah
agak sibuk dengan aktiviti akhir tahun yang memerlukan saya sebagai guru kelas
dan guru mata pelajaran terlibat, disamping dengan aktiviti akhir tahun seperti
penyerahan buku rekod, penyampaian hadiah, pembayaran yuran, penyediaan laporan
dan sebagainya. Tentu saja saya berasa gementar dan takut, memandangkan waktu
pulang sekolah juga semakin hampir. Di samping rasa gementar kerana melakukan
rakaman untuk tujuan penilaian.
3.3 Arahan untuk menarik perhatian murid
Selain
itu juga saya tidak mengarahkan kepada murid untuk fokus kepada peralatan yang
saya tunjukkan. Ini dapat dilihat apabila terdapat beberapa orang murid yang
melihat ke arah lain. Pengajaran saya mungkin kurang berkesan kerana saya tidak dapat menghasilkan set induksi yang
bermakna kepada semua murid dari segi umur, kebolehan dan minat, walaupun set
induksi yang saya rancang itu berkait dengan isi pelajaran dan objektif
pelajaran.
4.0 LANGKAH MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN
Setiap permasalahan pasti ada penyeleaiannya,
oleh itu setiap kekurangan dan kelemahan semasa proses pengajaran perlu di
atasi dengan usaha berterusan memperbaiki dan terus memperbaiki kelemahan dan
kesilapan yang dilakukan dari semasa ke semasa. Bagi mengatasi
kelemahan-kelemahan yang mengganggu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
dalam pengajaran ini, beberapa cadangan dan tindakan perlu diambil dan
dilaksanakan serta merta agar saya dan murid mendapat manfaatnya.
Perkara
pertama yang perlu saya lakukan adalah bersikap tenang dan profesional dalam
mengendalikan sesuatu emosi agar ia tidak memberi impak kepada pengajaran saya. Tidak perlu
tergopoh-gapah dalam menyampaikan pengajaran saya. Sifat terlalu takut melakukan
kesilapan juga antara punca yang telah saya kenal pasti. Saya akan lebih
memotivasikan diri untuk meningkatkan semangat dengan mendapat pandangan dan
motivasi dari siapa sahaja yang layak hatta pakar motivasi sekalipun.
Perkara kedua ialah saya juga perlu berjalan
ke setiap sudut tempat murid bagi memantau dan memastikan setiap murid-murid
saya sedang mengikuti pengajaran yang saya lakukan. Saya perlu bergerak ke
bahagian belakang bagi memastikan murid yang berada di bahagian belakang kelas
menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang ingin saya sampaikan dan melihat
dengan jelas bahan yang saya sediakan. Jika saya berpeluang membuat pengajaran
ini semula, saya akan menyediakan set pengajaran yang boleh melibatkan diri
mereka sepenuhnya agar murid-murid boleh menggunakan deria lihat dan deria
sentuh mereka sendiri bagi tujuan kefahaman yang lebih mendalam.
Penggunaan
bahasa dan ayat yang betul juga mempengaruhi keberkesanan pengajaran. Oleh yang
demikian, saya perlu lebih teliti dengan penggunaan perkataan dan laras bahasa
semasa sesi pengajaran supaya murid dapat memberi jawapan yang bersesuaian
dengan kehendak sebenar objektif pengajaran. Kesilapan dalam penggunaan
perkataan dan laras bahasa yang salah juga boleh memberi masalah kepada murid
untuk menerima isi pelajaran secara tepat dan secara tidak langsung
mengakibatkan objektif pelajaran tidak
dapat dicapai.
Semoga
refleksi ini dapat saya jadikan asas dan panduan untuk memperbaiki segala
kelemahan dan kekurangan serta memantapkan penyampaian saya dalam proses
pengajaran kepada murid-murid. Perubahan dan penambahbaikan ini bukan hanya
untuk kepentingan diri saya sendiri malahan untuk kepentingan semua murid .
Proses pengajaran yang berkualiti dan berkesan mampu membentuk modal insan yang
berkualiti dan bertaraf dunia untuk kepentingan pembanguan agama, bangsa dan
negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan