“Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini
hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum
itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang
lelaki bernama Wabishah bin Ma’bad r.h. datang berjumpa Nabi SAW. Belum
sempat dia membuka mulut, Rasulullah SAW meneka,
“Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut
Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak
mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang
Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas
mengiyakannya.
“Benar!”
Baginda
lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari
hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa
adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun
orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan
Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan adalah
akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan
jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat
dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi
semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada
kecil atau besar.
Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa
Salah
satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah.
Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu
mententeramkan hati dan jiwa. Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah
tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian
sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terrembes. Ia
menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran,
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema,
“Ini baik ke buruk?”
Tanyalah
hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa
yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita. Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan.
Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah
Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin.
Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang
mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya
al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan
syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan
mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa
diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa
ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan
tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah
tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak
kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula
menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun
begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa.
Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak
menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi
buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan tujuan
yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan
orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri
sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.
Jika Ragu, Tinggalkanlah
Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada. Imam an-Nawawi memberikan contoh kes.
Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A. Mufti
berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan
dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan
(syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun
manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika
fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim
mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak
senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat
menyembelih binatang korban dan tahallul pada umrah Hudaibiah.
Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah
Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa
hati.
Isyarat Hati
Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada
dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika
perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut
ialah:
1) Tanda dalam- hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2) Tanda luar- tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal.
Hadis
ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia,
kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
Syumulnya
Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan
juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya
menjadi pengawas eksternal.
Jom sihatkan hati! Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.
(Sila
rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan
Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)
0 ulasan:
Catat Ulasan