Nurkilan : Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Menjalin Ukhuwwah, Menghulur Dakwah
Saya selalu mendengar tohmahan terhadap A.
“ Jika benar tohmahan itu, A perlu didik. Inilah dakwah,” fikir saya.
Saya yakin, Islam itu mendekati. Bukan hanya tahu mencaci. Islam itu ramah. Bukan asyik marah-marah.
Saya
mahu memandang semua orang sebagai galian dakwah yang istimewa.
Siapapun dia, saya tidak mahu fokus kepada maksiat dalam hidupnya tapi
fokus kepada potensi dirinya untuk masuk syurga. Sayapun terlalu
bercita-cita untuk masuk syurga bersama seramai mungkin manusia.
Pucuk dicita ulam mendatang. A tiba-tiba menghantar mesej di facebook untuk
berkenalan dengan saya. Kami lalu berjumpa dua kali. Saya menghadiahkan
buku-buku agama kepada A. Dia ternyata sangat menghargainya dan
mengabadikan kenangan itu di facebook. Jiwa A sangat lunak.
Tatkala Diri Difitnah
“Dia
berjumpa dengan A. Ini mesti geng-geng A juga,” tusuk syaitan ke hati
seorang lelaki. Berprasangka terhadap saya sekepala dengan A. Kebetulan
lelaki itu sangat anti dengan A.
Percaya kepada persepsi sendiri, bangunlah lelaki itu mengadu domba di
sana-sini. Lantaran masyarakat cepat percaya kepada khabar angin, saya
cepat menerima tempiasnya. Fitnah berpeleseran di mana-mana. Saya lalu
diumpat keji. Dibuang dan dihindari. Stesen radio serta-merta
menggelapkan nama saya daripada senarai tetamunya. Bahkan nama saya
disiasat hingga ke JAKIM.
Sumber-sumber yang dipercayai memberitahu saya tentang ‘kerja’ lelaki
itu. Saya pun ada mendengar banyak berita tentang keaibannya. Manusia
mana tiada aib? Jika lelaki itu telah membuka 10 aib saya, saya ‘mampu’
membuka 100 aibnya. Tapi saya tidak memilih untuk membongkar aibnya.
Jika tidak, apa bezanya saya dengan dia di sisi Allah?
Pujukan al-Kahfi
Pagi Jumaat yang indah. Saya bersimpuh di atas sejadah. Membaca sebuah warkah, tinggalan Nabi yang barakah.
Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang
menghafaz sepuluh ayat dari awal surah al-Kahfi, ia terpelihara daripada
(fitnah) dajjal.” (Riwayat Muslim, dinilai sahih).
Ada
kisah-kisah indah dalam Surah al-Kahfi. Hati terubat bila merenungi.
Ada kisah Ashabul Kahfi. Berkorban segalanya demi akidah. Berlindung di
gua tatkala diburu musuh Allah. Tertidur selama 309 tahun. Menjadi bukti
kebesaran Allah hingga ke hari ini. Dialah pembela kebenaran. Yang
batil dilenyapkan. Yang benar tak hilang dimamah zaman.
Ada kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir. Perlu tawadhuk dalam menuntut ilmu. Rendahkan diri kepada yang lebih tahu.
Ada
kisah Zulkarnain. Raja yang bertakwa dan adil. Allah SWT memberikannya
kuasa memerintah dengan makmur. Timur dan Barat dikuasai. Beliau diminta
membina dinding penghalang dengan makluk jahat ya’juj dan ma’juj.
Ada
perumpamaan yang pelbagai. Kisah si kaya yang berbangga dengan
hartanya. Kisah si miskin yang perkasa dengan akidahnya dalam kisah dua
pemilik kebun. Ada pesanan tentang kehidupan dunia yang sementara dan
akan binasa. Ada kisah tentang keengganan iblis untuk seujud kepada Adam
a.s. Mengingatkan kita tentang bahaya penyakit takabbur dan terpedaya.
Ya Allah, aku tidak sanggup lagi membiarkan Jumaatku berlalu tanpa al-Kahfi. Bantu diriku untuk terus kuat.
Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Sesiapa yang membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, pasti nur akan
meneranginya antara dua Jumaat.” (Riwayat dikemukakan oleh al-Sayuti,
dinilai Sahih).
Indahnya!
Pentas Konvensyen Fiqh Wanita
Khabarnya,
ada pihak-pihak tertentu cuba menghalang saya daripada ke pentas
konvensyen Fiqh Wanita. Mereka mendakwa saya bakal membawa agenda A di
sana. Saya tidak mahu mudah terhalang. Saya menyiapkan kertas kerja
saya. Berpegang atas manhaj ilmu. Di situ, saya memuatkan kata-kata alim
ulama sedunia. Tiada sepatahpun kata-kata A yang saya lampirkan.
Prinsip saya, jika kita benar-benar ikhlas berjuang, kita tidak akan
mundur di keji dan tidak semakin mara di puji.
Saya tidak mampu mengubah apa yang telah terjadi. Tapi saya mampu
menguasai respon saya dalam menghadapinya. Saya senyum sahaja. Saya
sangat yakin terhadap kebenaran yang dibawa. Saya sangat percaya Allah
akan cepat membela. Saya bertuah doa saya kini dalam kategori insan
teraniaya. Hikmahnya, saya makin akrab bergantung harap dengan Allah!
Kebenaran cepat terserlah apabila saya memilih bersabar dan bersikap
positif. Saya tidak perlu penatkan diri mempertikaikan orang lain.
Sebaliknya, saya fokus membina diri dengan ilmu dan hujah. Ternyata
Allah itu Maha Menjaga. Maha Membela. Apabila saya berpeluang
menjelaskan segalanya di pentas Konvensyen Fiqh, ramai insan teruja
dengan sebuah fikrah. Mereka celik menilai mana benar, mana salah.
Semuanya atas bantuan Allah SWT.
“Saya tidak pernah mendengar hujah yang sebegini adil dalam isu ini.
Saya ingin sebarkan ke seluruh dunia. Boleh bagi saya ‘slide’
konvensyen? ” Ini salah satu daripada ratusan respon positif yang saya
terima. Alhamdulillah.
Akrabkan Diri dengan Allah!
Dunia ini penuh prasangka. Banyak caci nista. Bangkitlah syabab agama.
Kuatkan hubungan dengan Yang Esa. Hanya Dia mampu membela.
Y a syabab,
Jika
kau turun ke medan dakwah, tanpa hati membawa Allah, kau akan mudah
lemah. Kau akan tersungkur dengan tohmah. Kau akan rebah dengan fitnah.
Hari ini juga, binalah hubungan dengan-Nya. Dekati surat cinta-Nya.
Damailah dalam pelukan sujud di hadapan-Nya. Yakinlah, Dia Maha Pembela!
Syabab al-Kahfi
Fitnah dan tohmah,
Rencah berdakwah,
Sakit dan susah,
Tetap istiqamah!
Tatkala senyumanmu sukar,
Beleklah pujukan al-Kahfi,
Di sana ada penawar,
Tenaga dari Ilahi.
Huruf demi huruf Al-Kahfi,
Sesejuk air di kali,
Amalan Nabi,
Di Penghulu Hari.
Awas para pengfitnah,
Allahku tak pernah lengah,
Pada kuasa-Nya kuberserah,
Mengadili sejulur lidah.
#terimakasihustazahuntukayatayatbahagia#
0 ulasan:
Catat Ulasan