TUGASAN 3
ETIKA PROFESION
PERGURUAN
PENGENALAN
Dalam kamus dewan, etika membawa maksud satu sistem dasar akhlak, adat
atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut kamus oxford pula, etika ialah
prinsip moral atau set prinsip moral. Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan
yang khas misalnya dalam bidang
undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan
tanggungjawab (kerjaya) sebagai
guru. Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting.
Etika pelajar yang diajar oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan
diri seorang guru yang tidak beretika. Guru yang baik dan beretika akan
melahirkan generasi yang baik dan berjaya.
Begitu juga dengan isu etika guru bukanlah cerita baru yang menghiasi dada akhbar dan kini sering dibicarakan di kaca televisyen. Profesion perguruan hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru yang melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini jelas apabila semakin banyak isu salah laku guru tersiar di kaca televisyen, menjadi topik perbincangan pihak tertentu dan menghiasi dada-dada akhbar. Terdapat pelbagai jenis salahlaku yang dilakukan oleh guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat dengan akta jenayah negara. Ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat. Berikut merupakan antara isu ponteng yang kini semakin menular dikalangan guru. Isu ini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.
DEFINISI
PONTENG
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari
segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni
tanggungjawab dan lain-lain
Manakala
ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang
surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah.
Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan
seseorang pekerja daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja
mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Ini menunjukkan
apabila seseorang pekerja itu tidak datang ke pejabat pada waktu bekerja maka
mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir
tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap sebagai ponteng
kerja.
Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang
lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, sama ada tugas
utama iaitu mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti hadir mesyuarat,
melaksanakan program dan sebagainya. Faktor utama yang menyebabkan berlakunya
masalah ponteng ini ialah faktor sikap guru itu sendiri.
JENIS-JENIS
PONTENG
Ponteng boleh dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu
ponteng sekolah, ponteng kelas dan ponteng tugasan. Kesemua jenis ponteng ini
memberi kesan negatif kepada murid dan sekolah.
a) Ponteng
sekolah
Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke
sekolah tanpa sebab atau dengan sebab yang tidak munasabah. Ponteng jenis ini
memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sesebuah
sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering diguna oleh guru ialah
kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng sekolah dengan pulang ke
kampung lebih awal terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim
perayaan dengan pelbagai alasan yang kurang logik.
b) Ponteng
kelas
Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke
kelas atau lewat wasuk ke dalam kelas dengan sengaja atau keluar lebih awal
sebelum masa pengajaran dan pembelajaran tamat tanpa alasan yang munasabah. Sikap
guru yang lebih suka melepak di kantin sekolah, berbual atau bersembang kosong
dengan rakan, melayari facebook dan sebagainya. Guru bermasalah ini menjadikan
aktiviti-aktiviti sampingan lebih
penting berbanding mengajar di dalam bilik darjah. Ponteng jenis ini memberi
kesan yang amat besar kepada pencapaian murid dalam akademik.
c)
Ponteng tugasan
Ponteng tugasan ialah tidak melaksanakan arahan yang
diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Contohnya guru tidak menghadirkan diri
dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak
menghadirikan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum dijalankan, tidak
menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan yang munasabah dan
kukuh, tidak menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis ini menyebabkan
kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah akan terbantut.
FAKTOR-FAKTOR
PONTENG
Dalam mengkaji isu ponteng yang dilakukan oleh guru,
terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti yang memungkinkan guru-guru
mengambil jalan mudah untuk ponteng. Hal ini merangkumi aspek dalaman dan
luaran yang mana masing-masing memberi impak kepada pembangunan sahsiah seorang
guru.
i)
Faktor Dalaman
a) Kurangan
Pegangan Agama.
Guru tidak menghayati apa yang diajarkan dalam agama.
Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya berkerja dengan ikhlas, amanah
dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu ibadah dan ramai diantara guru
yang bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh, tidak amanah. Walaupun ramai
diantaranya yang berpuasa dan menunaikan solat tetapi perbuatan seperti ponteng
tetap berlaku dalam pekerjaan (Pahrol Mohamad Juoi, 2010). Guru menganggap
ponteng adalah perkara biasa dan tidak berkait dengan pahala dan dosa. Walhal
guru perlu menjadikan pekerjaan sebagai satu sumber yang halal untuk dinikmati
oleh anak-anak dan ahli keluarga.
b) Kurang
motivasi dari dalaman guru.
Guru terbeban dengan hal-hal persekitaran yana mungkin
menyebabkan guru dibelenggu rasa kecewa kurang motivasi, lemah semangat,
dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan, depresi, kurang minat
mengajar dan sebagainya. Tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat
kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas,
hilang minat dan luntur komitmen dalaman (Pendidik, September 2010).
c) Gangguan
emosi.
Emosi yang tidak stabil akan menyebabkan kemurungan.
Kemurungan yang melampau boleh memberi kesan negatif dalam kehidupan sehingga
membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh badan dan pemikiran. Selain
itu juga kemurungan boleh menyebabkan
seseorang bertindak mengasingkan diri dari kelompok rakan dan masyarakat
(Pendidik, April 2010). Gangguan emosi ini terhasil apabila guru-guru tidak
mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap
keputusan markah murid-murid dalam peperiksaan. Apabila telah berulang kali keputusan
yang diharapkan tidak memenuhi sasaran yang diharapkan, guru akan merasa
kecewa, rasa putus dan akhirnya menganggu kerja-kerja guru yang lain.
Penambahan masalah akhirnya guru mengambil jalan untuk ponteng kelas, dan
ponteng kerja.
d) Sifat
yang tidak ikhlas
Ikhlas selalunya dikaitkan dengan bersedekah,
jarang-jarang sekali ikhlas dikaitkan dengan kerja atau profesion, jika ada
ianya hanya disebut sepintas lalu. Ini adalah satu persoalan yang penting
kerana apabila kerja dianggap sebagai satu ibadah, maka inti pati atau terasnya
mestilah sifat ikhlas. Ikhlas adalah nilai teras yang membuahkan nilai-nilai
yang lain. Ikhlaslah melahirkan integriti, produktiviti dan kualiti juga
lain-lain nilai murni dalam pekerjaan. Ikhlas adalah pemantau dalaman yang
menjamin seseorang itu berlaku telus, lurus dan benar sebelum, semasa dan selepas
sesuatu pekerjaan dilakukan (Pahrol Mohamad Juoi, 2010). Jika seseorang guru
tidak ikhlas, maka amat sukar baginya menumpukan sepenuh perhatian terhadap
pekerjaan utama di sekolah dan yang paling penting kepada proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah
ii)
Faktor Luaran
a) Tekanan
beban kerja
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan
bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi
negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari
aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang menghadapi
tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan
budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu
mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Guru
terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu
mengajar, menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa
melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan
emosi dan kehendak dalaman mereka. Seorang guru di Sarawak juga menyuarakan
tentang suasana kerjanya di salah sebuah sekolah membuktikan bahawa dalam era
pemodenan pendidikan ini masih terdapat suasana tidak selesa pada tempat kerja
guru. Apa yang digambarkan adalah, isu kepadatan guru dalam bilik guru, masalah
kongsi meja dan penyediaan perabut yang tidak sesuai serta mencukupi. (Berita
Harian, 19 Julai 2005). Hal ini menyebabkan guru bertindak ponteng daripada
membebankan emosi dan perasaan mereka dengan tekanan.
b) Murid
yang tidak menghormati guru
Dalam era modenisasi kini, murid kurang menghargai dan
menghormati perasaaan guru. Sambutan Hari Guru saban tahun semakin hambar dan
tidak terkesan di dalam sanubari murid-murid. Tiada lagi ucapan penghargaan kepada guru yang
diterima oleh murid. Mereka leka dengan aktiviti persekitaran tanpa menghargai
perasaan guru yang selama ini mencurahkan khidmat bakti menjadikan mereka modal
insan yang akan menentukan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Murid
tidak lagi menjadikan guru sebagai role model mereka tetapi lebih memilih
artis-artis barat dan tempatan sebagai ikutan mereka. Guru yang bersemangat
mendidik anak bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid yang diluar
jangkaan seperti memancitkan dan menconteng kereta guru, memandang sinis guru,
tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan, tidak mematuhi arahan, melanggar
disiplin sekolah dan sebagainya. Bagi golongan guru yang tidak mempunyai
kekuatan emosi mereka lebih mudah memilih jalan ponteng sebagai penyelesaian
kepada permasalahan yang mereka hadapi.
c) Kurang
galakan dan pemantauan dari pentadbir
Faktor ini juga amat penting dalam menjadikan pekerjaan
guru sebagai satu profesion yang berjaya. Pentadbir yang perihatin selalu
mengambil berat akan masalah kakitangan bawahan. Bukan bermaksud untuk
mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada mengelakkan masalah guru
menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir
juga perlu mengambil tindakan serta merta kepada guru yang sering ponteng. Ini
kerana ditakuti gejala ini akan diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati
pihak pentadbir terutamanya Guru Besar tidak mengambil tindakan kepada guru
yang melakukan kesalahan.
d) Jarak
sekolah dan keadaan persekitaraan
Keadaan ini biasanya merujuk kepada di mana guru itu
mengajar. Bagi guru yang mengajar di
luar bandar, dan di pulau-pulau guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan
kurangnya lawatan dari pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti lebih awal
dari masa yang ditetapkan untuk tujuan tertentu seperti pulang untuk sambutan
perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini telah disahkan apabila Pengarah Jabatan
Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin bin Yussin
berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari
Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini (Berita Harian). Lain
pula halnya apabila guru tersebut mengajar di kawasan bandar. Guru akan keluar
pada sesi persekolahan untuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarga.
Contohnya guru akan keluar untuk membeli barang-barang dapur, keperluan
anak-anak, keperluan peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan
berjalan. Guru akan keluar apabila mempunyai masa terluang terutamanya rehat
dan tidak ada kelas dalam jadual. Namun
guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai ponteng
kerana tidak berada di kawasan persekolahan pada sesi persekolahan berjalan
demi untuk memenuhi keperluan peribadi.
e)
Pengaruh rakan-rakan
Pengaruh rakan sejawat dan rakan sekeliling juga mempengaruhi isu
ponteng guru. Ini kerana guru baru contohnya akan mudah terpengaruh dengan
sifat rakan guru yang malas, membuat kerja sambil lewa dan sering ponteng.
Besar kemungkinan ponteng telah menjadi kebiasaan kepada guru-guru
disekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut terikut-ikut dan terbawa-bawa
dengan sahsiah negatif guru lain
lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu ponteng ini dengan tegas.
f)
Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu penyebab utama berlakunya
masalah ponteng di kalangan guru. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan
dadah akan hilang kawalan diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras.
Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka sendiri dan telah hilang matlamat
sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah, manakala emosi mereka sukar
dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan
penyalahgunaan dadah, mereka akan lebih mudah dihimpit dengan pelbagai masalah
lain, contohnya kewangan, ponteng kerja, masalah keluarga, tindakan
undang-undang dan sebagainya.
IMPLIKASI
ISU PONTENG
a)
Kepada Murid
Apabila guru ponteng kelas, murid akan tercicir dalam pelajaran. Ini
kerana pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak dapat diaplikasikan
terutamanya dalam menjawab soalan-soalan ujian dan peperiksaan. Secara tidak
langsung murid-murid akan mengalami masalah pembelajaran di sekolah,
lebih-lebih lagi kepada murid yang mempunyai tahap kebolehan yang rendah. Di samping
itu juga, akan berlaku masalah disiplin terutamanya jika guru tiada di dalam
kelas. Murid yang lebih agresif akan membuli rakan murid yang lemah.
Murid-murid ini juga akan bertindak di luar kawalan apabila cuba merosakkan
harta benda sekolah seperti meja dan kerusi di dalam kelas. Guru adalah role
model kepada murid-murid di sekolah, maka tidak hairanlah jika ada murid yang
mengikut sahsiah guru yang negatif seperti ponteng sekolah. Murid beranggapan
jika guru boleh ponteng kelas, mengapa mereka tidak boleh mengikut guru
tersebut sedangkan guru adalah cerminan kemenjadian murid di sekolah.
b)
Kepada Sekolah
Apabila isu ponteng membawa kesan kepada murid, secara tidak langsung
isu ini juga tentu akan mendatangkan impak kepada sekolah. Keputusan
peperiksaan akan merosot dan tentu
sahaja sekolah terpaksa menjawab dengan pihak jabatan punca kemerosotan peratus
kelulusan murid. Sekolah pastinya akan dikategorikan sebagai sekolah
berprestasi rendah. Ini pastinya akan menjatuhkan imej sekolah dan
pentadbirnya. Seterusnya pihak sekolah dan guru akan dibebenkan dengan pelbagai
program untuk membaiki dan memulihkan imej sekolah yang telah tercalar.
c)
Kepada Profesion Perguruan
Gejala ponteng hanya dilakukan oleh segelintir guru, tetapi seperti kata pepatah “kerana nila
setitik rosak susu sebelanga”. Kesan daripada tindakan segelintir guru tadi
akan merosakkan dan mencemarkan imej
profesion perguruan. Masyarakat lebih cenderung melihat dan menilai sesuatu
yang negatif berbanding perkara positif. Masyarakat dan ibu bapa akan memandang
sinis akan profesion perguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru-guru dalam
mendidik anak mereka.
d)
Kepada Ibu bapa
Kesan daripada guru ponteng juga memberi kesan yang negatif kepada ibu
bapa murid. Mereka akan merasa kecewa sekiranya anak mereka gagal mendapat
keputusan yang baik dalam peperiksaan. Mereka akan meletakkan kesalahan kepada
pihak sekolah. Mereka lebih menghormati dan mempercayai guru-guru luar seperti
guru-guru tuisyen yang mengajar anak mereka daripada guru-guru di sekolah.
Mereka lebih rela membelanjakan wang ringgit demi untuk ilmu dan kemenjadian
anak mereka daripada mengharapkan guru-guru yang tidak berkualiti dan tidak
beretika. Ibu bapa akan rasa terkilan jika guru yang dibayar gaji untuk
mengajar anak mereka tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan
sepenuh hati.
LANGKAH-LANGKAH
PENYELESAIAN
a)
Pihak Pentadbir
Perbincangan - Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi
mengelakkan masalah ponteng ini dari
terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain. Pihak pentadbir
perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang
sering ponteng. Ini bertujuan mengkaji dan mengetahui mengapa guru mengambil
tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka di
sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guru-guru
ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat, dan motivasi diperlukan
agar perkara seperti ini tidak akan berulang dikemudian hari.
Surat Tunjuk
Sebab – Jika perbincangan telah pun
dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang, pihak pentadbir akan
mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran kepada guru tersebut. Surat tunjuk
sebab ini menunjukkan bahawa pihak pentadbir amat memandang berat akan isu
ponteng ini. Dalam sesetengah kes, guru yang ponteng akan kembali bertugas setelah
mendapat surat tersebut.
Merujuk
Kepada Lembaga Tatatertib - Namun
demikin jika perkara ini masih berlanjutan, pihak pentadbir iaitu Guru Besar
mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah tersebut kepada lembaga tatatertib
selaras dengan Peraturan 25(1) yang
terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib)
1993 Bahagian III.
b)
Pihak Guru
Kembali
Kepada Pegangan Agama – Dengan
mendalami ilmu agama, seseorang guru itu akan sedar peranan dan tanggungjawab
yang diamanahkan perlu dilaksanankan dengan sebaik yang mungkin dan berusaha
untuk menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas.
Memotivasikan
diri sendiri / Mengubah sikap – Apabila
guru berasa tidak lagi bersemangat mengajar sehingga hilang fokus, dan tidak
berupaya menjalankan tugas kerana menghadapi masalah tertentu, maka amat
penting bagi seorang guru mempunyai kekuatan dalaman yang kuat untuk membantu
menaikkan semangat diri bagi menghadapi masalah tertentu.
Menghadiri
sesi kaunseling secara sukarela – Seandainya
jika masalah yang dihadapi masih berpanjangan, adalah lebih baik guru tersebut
menghadiri sesi kaunseling dalam mencari jalan keluar yang terbaik
RUMUSAN
Dapatlah dirumuskan bahawa, isu ponteng bukan sahaja melanggar etika
profesion perguruan, malah kesannya boleh mempengaruhi semua pihak sama ada
murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Tindakan yang tegas dan
pantas daripada pihak pentadbir akan dapat menyelesaikan masalah ini. Namun
sering kali pihak pentadbir terlewat mengambil tindakan yang menyebabkan masalah ponteng ini berlarutan. Oleh yang
demikian perlu ada pemantauan yang berterusan daripada pentadbir dan pihak
jabatan untuk memastikan masalah ponteng di kalangan guru dapat dibendung.
TUGASAN 1(b)
Guru perlu melengkapkan diri dengan sudut keilmuan dan sahsiah,
berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (Muhyiddin Yassin, 17 Mac
2011). Namun demikian apabila sahsiah guru menyimpang dari kehendak dan
melanggar etika profesion perguruan tentu sahaja ia memberi kesan kepada
pembangunan sahsiah guru.
Pada kebiasaannya masalah
ponteng di kalangan guru akan membentuk seseorang guru yang bersahsiah negatif.
Namun jika sekiranya pihak yang bertanggungjawab mengambil proaktif dan pantas,
guru yang terlibat dalam masalah ponteng ini dapat diselamatkan dan akan
membantu pembangunan sahsiah positif dalam diri guru tersebut.
Oleh yang demikian saya akan
menghuraikan aspek pembangunan sahsiah negatif dan positif dalam tugasan ini. Pembangunan
sahsiah diri guru ini akan dipecahkan kepada lima aspek utama iaitu spiritual
(rohani), emosi, fizikal, cara berfikir dan interaksi atau hubungan dengan
orang lain.
a)
Pembangunan Sahsiah Negatif
Pembangunan sahsiah negatif ialah pembentukan nilai-nilai tidak efektif
dalam diri seseorang individu. Pembangunan sahsiah negatif menghasilkan individu
yang gagal, tidak berkarisma dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Ia akan
dibincangkan secara lebih lanjut mengikut aspek-aspek yang berikut :
Spiritual
(Rohani)
Tingkah laku yang bermasalah mencerminkan rohani yang lemah. Guru
tersebut tidak mempunyai akidah dan pegangan hidup yang betul menyebabkan guru
tersebut hanyut dalam memandu dirinya dan tanpa sedar semakin jauh daripada
perlakuan yang betul. Maka lahirlah individu guru yang tiada matlamat dan
tujuan hidup, sentiasa membuat keputusan tanpa ada pertimbangan yang wajar.
Emosi
Salah satu faktor ponteng dikalangan guru adalah disebabkan gangguan
emosi iaitu emosi yang tidak stabil. Emosi yang tidak stabil merupakan salah
satu punca kemurungan yang mana kemurungan ini boleh membawa kepada pembangunan
sahsiah yang negatif. Seseorang yang mengalami kemurungan akan menyisihkan diri
daripada rakan dan masyarakat, mudah menjadi marah, kelesuan, perasaan rendah
diri, kesedihan dan mudah berkecil hati (Pendidik, April 2010). Kesan emosi ini
bukan sahaja merosakkan diri sendiri malah mengganggu individu dan masyarakat yang berada di sekeliling.
Fizikal
Aspek fizikal ialah apa yang kita lihat daripada tindak tanduk atau
perlakuan guru tersebut. Oleh itu kesan ponteng ini akan melahirkan individu
guru yang tidak kemas kerana emosi yang terganggu sehingga mengabaikan
kekemasan diri. Tentu sahaja guru yang ponteng tidak amanah dalam melaksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan. Tugas yang diberikan tidak dilaksanakan dengan
sempurna dan tidak memenuhi kehendak dan keperluan sekolah khususnya. Selain
itu juga, guru yang ponteng sering tidak menepati masa, sering lewat ke sekolah
dan menangguhkan kerja sehingga mengganggu tugas dan tanggungjawab orang lain.
Kerja yang diberikan juga dilakukan sambil lewa asalkan siap. Kesan sebegini
bukan sahaja merosakkan diri sendiri tetapi juga mencemarkan kreadibiliti
sahsiah guru.
Cara
berfikir
Kesan seorang guru yang sering ponteng mempunyai cara berfikir yang
berbeza dengan guru yang amanah yakni berintegriti. Guru ini lebih mementingkan diri sendiri atau
keperluan peribadi daripada kepentingan sekolah dan orang lain. Tindak sanggup
berkorban masa dan tenaga untuk orang lain kegunaan orang lain. Jarang sekali
melakukan sesuatu tugasi melainkan jika tugas dan perkara yang dilakukan
mendapat ganjaran dan berkepentingan untuk diri sendiri.
Interaksi
atau hubungan dengan orang lain
Tentu sahaja interaksi atau hubungan guru yang ponteng dengan guru lain
tidak berjalan dengan baik dan renggang. Masyarakat sekeliling akan memandang
enteng kepada guru terbabit, pendapat yang disuarakan kurang mendapat sambutan
daripada orang lain. Tentu sahaja mereka beranggapan guru tersebut berinteraksi
hanya untuk tujuan dan matlamat tertentu. Manakala hubungan guru dengan murid
juga terjejas kerana kurangnya interaksi antara guru dan
murid disebabkan ketiadaan guru di dalam kelas untuk melihat perkembangan murid.
Kekurangan kemahiran
interpersonal dan juga interaksi sosial di persekitaran sekolah
yang kompleks semakin terjejas. Tentunya
matlamat yang ingin dicapai dalam kemenjadian murid menjadi lebih sukar jika
interaksi antara guru dan murid menjadi hambar.
b)
Pembangunan
Sahsiah Positif
Pembangunan sahsiah guru yang terlibat dengan isu negatif yakni ponteng
boleh menjadi positif sekiranya individu itu sedar akan kesilapan dan kesalahan
yang dilakukannya dan sanggup berubah untuk kepentingan semua pihak. Perkara
ini boleh berlaku jika pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah yang tegas
untuk menangani masalah tersebut. Ia juga bergantung kepada individu bermasalah
itu untuk menjalani proses memperbaiki diri
melalui pelbagai aspek. Guru yang pernah terjebak dalam masalah ponteng
ini akan lebih memahami isu ponteng berbanding orang yang belajar dan
mengkaji isu ponteng kerana mereka
mengalami sendiri situasi dan kesan negatif daripada masalah tersebut.
Spiritual
(Rohani)
Apabila individu itu sedar akan kesilapannya dan mengenalpasti ianya
berpunca daripada spiritualnya yang lemah, maka sudah pasti individu itu akan
berusaha membangunkan spiritualnya. Menurut persepektif Islam, pembentukan
spiritual yang positif ialah apabila seseorang individu itu berusaha
mendekatkan diri kepada penciptanya. Apabila individu guru yang mempunyai
masalah kembali kepada kehendak dan ajaran agamanya maka segala masalah yang
dihadapi dapat diselesaikan dengan fikiran yang waras. Aspek spiritual yang
mantap akan menghasilkan insan yang unggul, berpendirian teguh iaitu individu yang mempunyai matlamat dan
hala tuju yang jelas dalam hidupnya dan tidak mudah digugat oleh faktor dalaman dan luaran. Dia bukan sahaja
boleh memandu diri sendiri bahkan mampu membimbing orang lain ke arah kebaikan sebagaiman
contoh pembangunan spiritual Saidina Umar daripada keadaan jahiliah kepada
insan yang unggul dalam sejarah Islam hasil daripada pembangunan spiritual yang
berkesan.
Emosi
Pembangunan emosi yang positif daripada tingkah laku negatif boleh
berlaku apabila individu tersebut dapat memotivasikan dirinya sendiri atau
memilih untuk mengikuti sesi kaunseling. Melalui kaunseling yang berkesan,
individu tadi dapat menjadikan peristiwa yang pernah dialaminya sebagai
pengalaman dan pelajaran yang amat berharga. Orang yang pernah mengalami
situasi sukar akan lebih tabah dan lebih matang dalam menjalani kehidupan iaitu
sentiasa belajar dari pengalaman. Individu tersebut akan lebih berupaya
mengawal emosinya apabila berhadapan dengan situasi yang sukar dan melihat
setiap perkara yang berlaku dari sudut yang positif. Oleh itu lahirlah seorang individu yang mempunyai
emosi yang stabil dan tenang serta bersedia menerima teguran dan kritikan dengan
hati yang terbuka.
Fizikal
Setelah spiritual mantap dan emosi menjadi stabil, pembangunan sahsiah
fizikal akan menjadi lebih positif. Pembangunan fizikal ini dapat dilihat dalam
aspek penampilan, hasil kerja, pengurusan masa dan tingkah laku. Dari aspek
penampilan dapat dilihat individu itu akan tampil lebih kemas dan bersih. Dari
segi penghasilan kerja pula, dilihat lebih teratur dan terancang. Manakala
dalam pengurusan masa, lebih menepati
masa dalam setiap pekerjaan dan tugas yang dipertanggungjawabkan. Tingkah laku
yang dipamerkan juga mengikut arahan dan situasi yang bersesuaian dengan keadaan
pada masa itu selain boleh menjadi contoh kepada murid dan rakan sejawat.
Cara
berfikir
Setelah berjaya membangunkan aspek spiritual, emosi, dan fizikal, guru
ini akan mula mempunyai fokus, visi, misi dan matlamat yang ingin dicapai dalam
setiap tindakan yang dirancang. Individu guru akan menilai tujuan dan kesan
daripada tindakan yang akan dibuat. Guru tersebut juga lebih mengutamakan
kepentingan umum daripada kepentingan peribadi.
Interaksi dan
hubungan sosial
Setelah individu guru berjaya membangunkan spiritual, emosi, fizikal dan
cara berfikir yang positif, individu guru tersebut akan mula memperbaiki interaksi
dan hubungan sosial agar menjadi lebih baik. Interaksi dan hubungan sosial yang
baik dibina bertujuan memudahkan individu guru melaksanakan tanggungjawabnya di
sekolah. Kemahiran berinteraksi dan bersosial akan membentuk keyakinan diri
guru untuk menyampaikan idea dan
pendapat dalam apa jua situasi yang diperlukan. Akhirnya individu yang
bermasalah ponteng dapat membangunkan sahsiah dirinya menjadi insan yang
unggul.
Rumusan
Isu ponteng di kalangan guru merupakan satu masalah yang perlu ditangani
dengan bijak oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika masalah ini gagal ditangani
dengan berkesan, maka ia akan melahirkan insan guru yang mempunyai sahsiah diri
yang negatif dan pasif. Namun sekiranya jika pihak yang bertanggungjawab mampu
mengambil langkah yang pantas dan berkesan, adalah tidak mustahil akan lahir
insan guru yang unggul dan berketerampilan daripada kalangan guru yang
bermasalah ponteng.
TUGASAN 1(c)
Setiap tingkah laku adalah pilihan kita sendiri. Mengikut Teori Pilihan
(Choice Theory), kesemua tingkah laku manusia berasaskan kepada keinginan
psikologi dan fsiologi individu. Menurut Ahmad Jazimin (2010) dalam
penulisannya yang bertajuk Pendekatan Kognitif : Teori Pilihan dan Terapi
Realiti, keinginan psikologi merangkumi seseorang individu yang ingin
menyayangi dan disayangi, ingin penghargaan daripada orang lain, inginkan
kebebasan dan inginkan kegembiraan. Manakala aspek fsiologi pula merujuk kepada
kelangsungan hidup yang merangkumi individu itu berani mengambil risiko,
mempunyai wang yang cukup, keselamatan, dilindungi dan seksual yang sihat.
Menurut Teori Pilihan individu
bermasalah akan menghasilkan konflik apabila keinginan psikologi dan fsiologi
mereka tidak dapat dipenuhi. Namun begitu konflik juga timbul apabila individu
tersebut mendapat apa yang mereka tidak inginkan. Justeru itu konflik ini akan
mempengaruhi tingkah laku, pemikiran, perasaan dan fisiologi individu tersebut.
Individu akan gagal membentuk personaliti yang diinginkan. Personaliti gagal
akan memilih tingkah laku tidak efektif dan akan mendorong kepada pembentukan
sahsiah yang negatif.
Hubungkait
Isu Ponteng Guru dengan Teori Pilihan
Setiap individu mempunyai keperluan, kehendak, harapan dan impian
masing-masing. Walaubagaimanapun, seringkali pilihan yang dibuat adalah
berdasarkan kepada pengalaman, konflik dan situasi yang dialami.
Dalam Teori Pilihan keperluan individu ditentukan oleh keperluan asas
(basic needs), iaitu empat keperluan psikologi dan satu keperluan fisologi.
Keperluan
Psikologi
1. Menyayangi dan disayangi
Antara faktor berlakunya ponteng dikalangan guru adalah disebabkan tidak
mendapat keperluan asas ini, iaitu menyayangi dan disayangi. Contohnya guru
yang menghadapi konflik rumah tangga yang berpanjangan akan mengalami gangguan
emosi. Sebahagiannya memilih untuk bermurung daripada menyelesaikan konflik
tersebut. Kesan daripada kemurungan akan menyebabkan individu itu memilih
tingkah laku yang tidak efektif seperti suka mengasingkan diri dan lari
daripada tanggungjawab termasuklah tanggungjawab sebagai seorang guru akibat
perasaan kecewa, malu dan rendah diri.
2. Inginkan penghargaan
Seorang guru yang tekun bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk
kecemerlangan sekolah tetapi tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya
daripada majikannya dan sering dikritik oleh rakan sejawat akan merasa amat
kecewa dan rendah diri. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika orang lain yang
mendapat penghargaan daripada hasil usahanya. Guru tersebut akan hilang
motavisi diri dan memilih mempamerkan tingkah laku tidak efektif iaitu tidak
berpuas hati dan mula memberontak. Sikap memberontak ini ditunjukkan melalui
perlakuan yang menyalahi peraturan sekolah dan etika keguruan termasuklah
ponteng sekolah, ponteng kelas, ponteng mesyuarat dan sebagainya.
3. Inginkan kegembiraan
Naluri setiap individu inginkan kegembiraan, suasana ceria yang menyenangkan.
Begitu juga dengan guru, memerlukan suasana tempat kerja yang mengembirakan
hati dan perasaan. Oleh itu, apabila suasana di sesebuah sekolah tidak
menyediakan suasana seperti mana yang diinginkan oleh guru tersebut, maka guru
akan kurang motivasi dan mengalami stress dalam menjalankan tugas dan
tanggungjawab di sekolah. Justeru itu, sesetengah guru yang gagal menangani
masalah ini akan cenderung memilih dan mempamerkan tingkah laku yang tidak
efektif termasuklah ponteng sekolah dan ponteng kelas.
4. Inginkan
kebebasan
Kebebasan merancang dan mencorakkan kerja mengikut acuan sendiri menjadi
idaman setiap individu. Namun begitu dalam pengurusan sesebuah sekolah
kebebasan memilih kadang-kadang tidak dapat dipraktikkan. Contohnya, pihak
sekolah dibebani dengan pelbagai program daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN)
dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang perlu dilaksanakan secara
serentak. Guru pula sebagai pelaksana dibebani dengan pelbagai jawatan
sampingan selain daripada mengajar di dalam bilik kelas. Pihak pentadbir
biasanya akan memilih guru yang bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu
program dan mencapai objektif yang disasarkan. Bebanan ini akan lebih dirasai
oleh guru-guru sekolah yang kekurangan guru. Menurut Teori Pilihan konflik juga
berlaku apabila individu mendapat apa yang tidak mereka kehendaki. Justeru itu
guru yang menyerap tekanan akan mengalami stress dan memilih tingkah laku yang
tidak efektif iaitu ponteng kelas dengan alasan melaksanakan tugasan daripda
pihak jabatan ataupun kementerian.
Keperluan
Fisiologi
Keperluan fisilogi meliputi keperluan makan minum, tempat tinggal,
pakaian, pengangkutan dan lain-lain untuk meneruskan hidup. Keadaan ekonomi
Malaysia yang tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan
kerajaan telah memberi kebenaran kepada penjawat awam melibatkan diri dalam
perniagaan selagi tidak mengganggu tugas utama mereka. Lantaran dari itu, ramai
di antara guru telah mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam urusan
perniagaan.
Dalam Teori Pilihan, keperluan
fisiologi merupakan keperluan asas yang perlu dicapai untuk terus hidup. Akhirnya
timbul konflik antara kepentingan mencapai keperluan fisiolog dengan
tanggungjawab sebagai guru di sekolah. Dalam keadaan ekonomi yang mendesak,
sebahagian guru sering kali membuat pilihan mengutamakan urusan perniagaan dan
mengabaikan tanggungjawab sebagai guru di sekolah. Maka terjadilah masalah
ponteng sekolah dikalangan guru kerana ingin memenuhi desakan dan keperluan hidup tanpa memikir kesan yang
akan mereka hadapi sekiranya mengabaikan tanggungjawab di sekolah. Lahirlah
golongan guru yang mempunyai sahsiah yang negatif yang akan mencalarkan
profesion perguruan.
RUMUSAN
Masalah guru ponteng amat berkait rapat dengan Teori Pilihan. Di mana
guru yang terlibat dalam masalah ponteng adalah daripada kalangan guru yang
gagal memenuhi keperluan psikologi dan keperluan fisiologi. Kegagalan untuk
memenuhi keperluan psikologi dan fisiologi ini menyebabkan guru tersebut
memilih jalan yang salah iaitu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang guru.
RUJUKAN
Ahmad Jazimin & Muhammad Bazlan Mustafa.(2011).
Pembangunan Sahsiah : Unit 5 – Pendekatan
Kognitif Teori Pilihan dan Terapi Realiti. Perak : Universiti Perguruan
Sultan Idris
Ishak Ismail. (2010, April). Murung bawa kesan
negative kepada individu. Pendidik Bil.
71, 26-28
Kamus
Dewan Edisi Ketiga.(2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Panduan Penyelenggaraan Tindakan Tatatertib
Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Sumber Manusia : Kementerian
Pendidikan Malaysia
Kyriacou, C., & Sutcliffe, J. (1978).
Teacher stress : Prevalence, sources and Symptoms.
British Journal of Education Psychology, 48, 159-167.
Mok Soon Sang.(2007). Kursus Penilaian Tahap Kecekapan Guru (P.T.K) Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P). Selangor : Multimedia-Es Resources Sdn. Bhd
Mohd Muzafar Shah Mohd Razali, Aslina Ahmad
& NazariahAbd.Samad.(2011). Pembangunan
Sahsiah : Unit 10 - Isu-isu dalam
pembentukan sahsiah guru. Perak : Universiti Perguruan Sultan Idris
Sakinah Salleh (2010, September). Guru perlu ada
motivasi. Pendidik Bil.76, 34-35
Guru ponteng sebelum cuti dikenal pasti http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2010/06/guru-ponteng-sebelum-cuti-dikenal-pasti.html di muat turun pada 9/5/11
Guru ponteng: Tindakan tegas akan diambil
http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2008/05/guru-ponteng-tindakan-tegas-akan.html
di muat turun pada 9/5/2011
Berita Harian (2005, 19 Julai). Guru dakwa
suasana kerja tak kondusif. Berita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan