CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sabtu, 7 April 2012

TUGASAN KENEGARAAN : 1Malaysia : Isu-isu dan cabaran


PENGENALAN

Konsep 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ telah diilhamkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak iaitu perdana menteri Malaysia yang ke-6. Konsep ini adalah bertujuan untuk meneruskan gagasan-gagasan perdana menteri sebelumnya iaitu untuk mencapai perpaduan di negara Malaysia dan melahirkan Bangsa Malaysia yang mampu menghadapi arus globalisasi. Konsep 1Malaysia ini dilihat sebagai misi perdana menteri untuk mewujudkan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu padu memacu Malaysia ke arah kecemerlang dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Konsep 1Malaysia ini akan menjadi kayu ukur kejayaan pimpinan beliau memerintah negara Malaysia.

DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputer yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.”


KONSEP 1 MALAYSIA 
·         Konsep 1 Malaysia merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpi-pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
·         Prinsip keadilan untuk semua kaum bermaksud, nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mengambil kira kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang memberi pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
·         1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila Konsep 1 Malaysia  bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, stabil dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia. (rujukan 1 m)


MATLAMAT 1 MALAYSIA
·           1 Malaysia bermatlamat mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan baik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
·           Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1 Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.
·           Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ia dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lancar.


3 PRINSIP TERAS 1MALAYSIA
Malaysia disandarkan kepada 3 teras dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu:
·        Prinsip Penerimaan
·        Prinsip Kenegaraan
·        Prinsip Keadilan Sosial




NILAI-NILAI 1MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep 1 Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai tersebut ialah:
·         Budaya kecemerlangan
·         Ketabahan
·         Rendah hati
·         Penerimaan
·         Kesetiaan
·         Meritokrasi
·         Pendidikan
·         Integriti


ISU-ISU DAN CABARAN  GAGASAN 1 MALAYSIA
Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh perdana menteri Malaysia perlu melalui beberapa isu dan cabaran nasional untuk mencapai matlamatnya. Antara isu dan cabaran yang perlu ditempuhi ialah perpaduan kaum, nilai murni, politik, ekonomi dan globalisasi. Isu-isu dan cabaran ini bukanlah perkara baru dalam pembentukan negara Malaysia, tetapi ianya berbeza dari segi zaman dan bentuk cabarannya. Adalah diharapkan gagasan 1Malaysia ini berjaya menyelesaikan permasalahan dan mencapai matlamatnya demi untuk kepentingan negara.


PERPADUAN KAUM
Isu perpaduan dan integrasi antara kaum di negara ini bukanlah satu isu yang baru. Konsep 1 Malaysia membawa inspirasi dan matlamat untuk mengekalkan dan mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini. Bagi negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti Malaysia, perpaduan merupakan aspek utama yang mempengaruhi aspek-aspek lain dalam pembangunan negara. Tanpa perpaduan di antara kaum-kaum di negara ini, hasrat kerajaan untuk membangunkan negara akan menjadi sukar.
           
Untuk memastikan hasrat perpaduan kaum dapat dicapai, kerajaan mesti memberi kefahaman dan pentafsiran yang jelas kepada rakyat tentang konsep dan bentuk perpaduan yang ingin dicapai. Setiap kaum mestilah memahami bahawa  perpaduan ialah satu bentuk pemuafakatan bukan persamaan atau proses menyamaratakan atau menjadikan setiap kaum itu sama. Sikap berperasangka buruk perlulah dibuang dan digantikan dengan sikap saling mempercayai, mempunyai rasa hormat dan sedia bertoleransi terhadap adat resam, kebudayaan dan agama kaum lain. Setiap kaum juga mesti meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan kaum. Semua kaum mesti mempunyai semangat kekitaan tapi masih wujud perbezaan dalam soal adat resam, kebudayaan dan kepercayaan.

Oleh itu, perpaduan yang perlu diterapkan dalam gagasan 1 Malaysia bukan berbentuk menyamaratakan perbezaan, tetapi lebih kepada mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam pelbagai perbezaan yang wujud. Setiap kaum bersatu, berpadu dan seiring untuk mencapai suatu faedah dan manfaat yang telah direncanakan oleh kerajaan secara bersama. Perpaduan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara dalam semua bidang iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan lain-lain.


NILAI  MURNI
Dalam gagasan 1 Malaysia, isu utama yang ditekankan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ialah isu nilai yang perlu diamalkan oleh setiap individu pemimpin dan rakyat Malaysia. Aspek nilai ini dijadikan asas untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.
1.        Pemimpin
Kepimpinan yang berkesan dikaitkan dengan sifat, nilai dan tingkah laku yang beretika. Kepimpinan yang beretika adalah sangat penting kerana pemimpin merupakan agen perubahan dan arkitek bagi elemen-elemen penting dalam budaya organisasi. Sikap dan tingkah laku pemimpin memberi impak kepada perlakuan anggota organisasi dan seterusnya mempengaruhi prestasi organisasi.(rujukkan) Oleh itu, jika pemimpin mengamalkan nilai yang baik organisasi akan cemerlang, begitu juga sebaliknya.
            Berdasarkan PRU 12, penganalisis berpendapat bahawa, salah satu faktor utama pengundi beralih arah memberikan undi mereka kepada PR ialah kerana krisis nilai di kalangan pemimpin parti BN.  Krisis nilai ini menyebabkan sesetengah pengundi hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap calon-calon BN. Antara contoh sikap negatif yang dinyatakan ialah salah guna kuasa, rasuah, politik wang, wakil rakyat sukar dihubungi dan sebagainya. Tingkah laku ini telah memberi impak yang negatif kepada parti BN (Nik Nazmi Nik Ahmad, 2010).
            Oleh yang demikian, gagasan 1 Malaysia ini dilihat sebagai satu gagasan untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada BN. YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mesti memastikan nilai-nilai yang terkandung dalam gagasan 1 Malaysia amalkan oleh semua pemimpin supaya matlamat prinsip Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan menjadi kenyataan.  

2.        Rakyat
Rakyat pelbagai lapisan masyarakat di negara ini digesa supaya mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka, sama ada semasa bekerja, bersosial dan dalam kehidupan di rumah. Nilai-nilai murni ini perlu sentiasa diamalkan sehingga ianya menjadi sebati dengan diri setiap individu. Nilai-nilai ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang saling menerima antara pelbagai kaum dan bersatu padu demi untuk kebaikan nasional. Nilai dalam diri individu ini dilihat sebagai pemangkin ke arah pertumbuhan negara yang maju.
            Namun begitu, unsur nilai dalam diri individu yang membentuk masyarakat Malaysia pada hari ini dilihat berada pada tahap yang rendah. Peningkatan kadar jenayah yang berlaku di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan. Lebih membimbangkan lagi gejala keruntuhan akhlak dikalangan remaja yang merupakan aset penting kepada negara berada pada skala yang tinggi. Contohnya sek secara rambang, ragut, buang bayi, penagihan dadah dan sebagainya. Perkara ini merupakan satu cabaran yang besar kepada gagasan 1Malaysia.
Oleh yang demikian, kerajaan perlu merangka satu strategi untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni ini dapat diterima dan diadaptasikan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sudah tentu institusi pendidikan merupakan medan utama dan paling strategik untuk menjayakan misi ini. Andainya kerajaan berjaya dalam misi penerapan nilai-nilai murni ini, sudah tentu negara Malaysia berada pada landasan yang tepat menuju ke arah menjadi negara maju dalam acuan perpaduan rakyat berbilang kaum.
POLITIK
Dalam aspek politik, gagasan 1 Malaysia menekankan kepada wakil rakyat dan para pemimpin negara supaya bertindak melayan dan memenuhi segala keperluan dan hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Mereka diminta bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing, iaitu memberikan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain juga yang memerlukan perhatian dan bantuan mereka. Mereka juga diminta supaya melayan semua anggota masyarakat dengan adil dan saksama. Oleh itu, terdapat dua cabaran yang besar yang perlu diatasi oleh pemerintah untuk memastikan gagasan 1 Malaysia mencapai matlamat perpaduan dan keadilan dalam politik.

1.         Parti politik mengikut kaum
Senario politik di Malaysia pada hari ini tidak menggambarkan apa yang dihasratkan oleh perdana menteri. Kebanyakan parti politik di Malaysia diasaskan mengikut kaum masing-masing. Contohnya parti UMNO mewakili kaum Melayu, MCA mewakili kaum Cina dan MIC mewakili kaum India. Walaupun parti-parti tadi bersatu di bawah Barisan Nasional tetapi perjuangan mereka adalah untuk membela hak-hak dan kepentingan kaum masing-masing supaya tidak berlaku penindasan ke atas kaum mereka. Hal ini sudah menjadi suatu budaya yang telah diketahui umum. Contohnya dalam persidangan agong UMNO yang disiarkan dikaca television saban tahun, para perwakilan yang berucap sering kali menyentuh isu-isu yang sensitif antara kaum dengan tujuan untuk mendapat perhatian dan sokongan daripada kaum Melayu.

Sikap yang sedemikian sudah pasti menimbulkan rasa curiga dan dan bimbang kaum lain terhadap parti UMNO. Justeru itu, parti-parti lain juga akan mengambil tindakan yang sama, iaitu mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meraih sokongan kaum mereka tanpa mempedulikan kesan negatif yang terhasil. Budaya berpolitik yang sebegini bukan sahaja menyebabkan perpaduan semakin sukar dicapai, bahkan menimbulkan rasa curiga dan syak wasangka yang berpanjangan di kalangan kaum di Malaysia. Oleh yang demikian perlu ada satu langkah yang drastik untuk mengubah senario dan cara berpolitik yang bahaya ini untuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.




2.         Keadilan wilayah

Dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12), parti Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya menawan 5 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan daripada Perikatan Barisan Nasional (BN). Senario ini menyaksikan rakyat menggunakan ‘kuasa undi’ dalam membuat pilihan yang mereka rasakan terbaik untuk mereka. Adalah penting untuk semua pihak memahami bahawa pilihanraya bukanlah arena pertempuran yang menyaksikan satu pihak menang dan satu pihak kalah, tetapi ia perlu dilihat dari sudut rakyat memilih calon untuk mewakili mereka menyuarakan dan menyelesaikan pelbagai masalah yang mereka hadapi.
            Oleh yang demikian, Sesuai dengan prinsip gagasan 1 Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”, pemerintah negara ini, iaitu parti komponen Barisan Nasional perlu memberi layanan yang adil dan saksama dalam membangunkan wilayah-wilayah di bawah pentadbiran PR. Justeru itu, ‘Prinsip Kenegaraan’ dan ‘Prinsip Keadilan Sosial’ seperti yang terkandung dalam gagasan 1 Malaysia dilihat sebagai satu penyelesaian untuk kerajaan mengurus tadbir negeri-negeri berkenaan.

EKONOMI
Keadaan ekonomi dunia yang sentiasa bergolak telah memberi tekanan kepada kestabilan ekonomi Malaysia. Untuk mengatasi masalah kewangan dalam mengurus tadbir negara, kerajaan terpaksa mengurangkan pemberian sabsidi kepada rakyat. Kerajaan telah menaikkan harga minyak, gula dan yang terbaru kenaikan tarif letrik. Kenaikan harga barangan ini menyebabkan para peniaga, pengilang dan pemborong mengambil peluang menaikkan harga barangan. Keadaan ini telah membebankan rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam Prinsip Keadilan Sosial gagasan 1Malaysia, rakyat dijanjikan dengan keadilan dalam kebajikan. Oleh itu, tindakan kerajaan menaikan harga barangan dilihat sebagai satu tindakan yang menekan rakyat. Akibatnya mereka akan menyalahkan kerajaan dalam hal ini. Justeru itu,  kerajaan perlu memberi penerangan  yang jelas kepada rakyat tentang masalah yang dihadapi negara serta mencari jalan penyelesaian serta mengambil tindakan segera supaya yang akhirnya rakyat rasa terbela.

MENJADI NEGARA MAJU UNTUK MENGHADAPI ARUS GLOBALISASI
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa gagasan 1 Malaysia adalah kesinambungan daripada gagasan-gagasan pemimpin Malaysia yang lalu dan juga merupakan pemangkin ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020. Di antara matlamat Wawasan 2020 ialah, menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan mampu bersaing di peringkat global. Oleh yang demikian, untuk memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju tercapai, kerajaan perlu memastikan bidang-bidang yang telah dikenalpasti dan telah dibangunkan berkembang mengikut perancangannya. Lima bidang yang telah dirancang pembangunannya ialah, E-Ekonomi, E-Perkhidmatan Awam, E-Komuniti, E-Pembelajaran dan E-Sovereniti.
v  E-Ekonomi  melibatkan semua sektor ekonomi bersatu untuk meningkatkan nilai dan kekayaan negara melalui penglibatan ekonomi global yang kian bergantung kepada ilmu pengetahuan dengan matlamat untuk membina satu bentuk ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan.
v  E-Pembelajaran pula melibatkan jaringan formal dan informal elektronik untuk membuka peluang baru sambil menanam etos pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat secara individu dan kolektif dengan matlamat suatu budaya pembelajaran sepanjang hayat, seterusnya melahirkan individu minda kelas pertama.
v  E-Komuniti, ianya melibatkan pembinaan jaringan elektronik antara pelbagai komuniti dan kelompok sosial di Malaysia untuk membolehkan pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian secara aktif dalam proses governan dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup semua lapisan rakyat secara inklusif bersama kerajaan dan swasta.
v  E-Perkhidmatan Awam, ia melibatkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan komuniti untuk memberi khidmat  yang berorentasikan rakyat dan pelanggan dengan matlamat untuk mengasaskan suatu sistem penyampaian barangan dan khidmat awam secara penggunaan elektronik.

v  E-Soveriniti melibatkan rakyat dan institusi secara elektronik untuk meningkatkan integrasi dan identiti nasional, khususnya dari segi keselamatan negara menghadapi dan menangani arus globalisasi yang cukup mencabar. Ianya bermatlamat untuk mewujudkan identiti kebangsaan. (Shamsul A.B et al. 2004)


Untuk memastikan pembangunan yang direncanakan dapat dinikmati dan digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di bandar atau di kampung-kampung, kerajaan perlu membangunkan kemudahan-kemudahan ICT secara meluas ke seluruh negara. Pelaksanaannya akan memakan masa yang panjang dan kos yang besar.

RUMUSAN
Konsep 1Malaysia ini dilihat sebagai satu misi nasional untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja negara yang kuat dan maju yang mampu bersaing di peringkat global tetapi juga menjadikan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini hidup bersatu secara aman dan harmoni sebagai satu bangsa iaitu Bangsa Malaysia. Namun untuk mencapai  cita-cita tersebut gagasan ini perlu membuktikan ketahanannya menghadapi pelbagai cabaran nasional dan global. Faktor nilai menjadi penentu kejayaan gagasan ini, iaitu kesediaan setiap individu menerima dan menerapkan nilai-nilai murni dilihat sebagai asas pembinaan Bangsa Malaysia yang diimpikan.








RUJUKAN


Bahagian Penerbitan Dasar Negara (2009). 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian
Diutamakan. Jabatan Penerangan Malaysia dimuat turun pada 3 Jun 2011 dari http://www.kpkk.gov.my/pdf/Booklet_1Malaysia.pdf

HNS2013 Kenegaraan : Unit 10 Isu-isu dan cabaran. Perak : Universiti Perguruan Sultan
Idris

Internasional Law Book Services (2010). Soal Jawab Untuk Peperiksaan Am Kerajaan.
Kuala Lumpur : Internasional Law Book Services

Nik Nazmi Nik Ahmad (2010). Mendepani Zaman : Melayu untuk Abad ke – 21. Selangor :
Marshall Cavendish Editions.

Shamsul A.B, Rumaizah Mohamed dan Haslindawati Hamzah (2004). Globalisasi, Teknologi
Maklumat dan Ilmu Menyuluh Pengalaman Malaysia. Jurnal Sari 22(2004), 77-96
Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia

Zaharah Hassan1, Abu Daud Silong2 & Nazri Muslim1. Kepimpinan Beretika dan
Kecemerlangan Organisasi dalam Perkhidmatan Awam

0 ulasan: