HNS2013
KENEGARAAN
PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah
negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza dari segi kepercayaan,
budaya dan bahasa. Perbezaan ini menyukarkan para pemimpin untuk memacu
pembangunan negara. Oleh itu, perlu ada suatu formula yang jitu dan ampuh untuk
mencapai perpaduan dan integrasi semua etnik menjadi satu bangsa Malaysia yang
bersatu.
Justeru itu, aspek
pendidikan telah dijadikan salah satu wadah utama kerajaan untuk mencapai
perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di Malaysia, menjadi salah
satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan Negara. Oleh
yang demikian, perancangan yang rapi dan terperinci telah dibuat untuk mencapai
hasrat dan matlamat tersebut.
Bagi
setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek
penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial
ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara.
Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah
negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan
sosialisasinya iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk
menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam
sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah
untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat
iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai –
nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para
pelajar.
DEFINISI PERPADUAN DAN INTEGRASI
Perpaduan bermaksud penggabungan, manakala integrasi pula
membawa maksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi
satu kesatuan atau penyatuan (Kamus Dewan, 2002).
Jika
digabungkan dua perkataan ini, iaitu integrasi perpaduan ia membawa maksud
mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti nasional.
Kerjasama ini meliputi integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan
dan politik (Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010: 62)
Manakala
konsep integrasi nasional, merupakan penyatuan kelompok masyarakat yang
mempunyai latar belakang yang berbeza, menjadi satu entiti yang terikat oleh
norma dan nilai serta kepentingan bersama, yang mempunyai unsur penting iaitu
anggota kelompok masyarakat yang bersatu padu sekalipun berlainan latar
belakang, masing-masing berasa dipunyai dan mempunyai satu kelompok yang sama
(a sense of belonging). Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku
hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah
proses kerohanian atau spiritual, hasil daripada satu penghayatan dalam mana
akhirnya berlaku perkongsisn pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan
budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional lebih merupakan satu proses
berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan
berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).
SEJARAH
PENDIDIKAN
Negara Malaysia mempunyai sejarah pendidikan yang unik
dan tersendiri. Rentetan sejarah yang ada dan perubahan yang berlaku dalam
arena politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan pada masa lampau, telah membawa
kepada perubahan dalam perlaksanaan dasar dan corak pendidikan negara Malaysia
serta menjadi landasan untuk perubahan pada masa akan datang. Berdasarkan
kepada perkembangan sejarah yang berlaku, pendidikan di Malaysia terbahagi
kepada tiga peringkat iaitu sebelum kedatangan British, semasa kedatangan
British dan selepas kemerdekaan.
Sejarah
Pendidikan Sebelum Kemerdekaan
Sistem pendidikan
sebelum kemerdekaan lebih bersifat keagamaan iaitu berasaskan sistem
pondok atau madrasah. Ianya berkembang pesat sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an
(Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65). Sekolah jenis ini bertujuan bagi
melahirkan pelajar yang bermoral tinggi, namun terdapat kelemahan pada
perlaksanaannya iaitu tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana
tiada penekanan kepada mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris.
Sekolah Vernakular merupakan sekolah yang menggunakan
bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar disetiap sekolah dan berasaskan kepada
identiti kaum masing-masing. Sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, Sekolah
Cina menggunakan bahasa Cina atau Mandrin (Kuo Yu) dan bahasa Tamil untuk
Sekolah Tamil. Manakala Sekolah Inggeris hanya ditubuhkan di kawasan bandar
yang mana sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar (Gurnam
Kaur Sindhu et al, 2005: 65).
Sejarah
Pendidikan Semasa Penjajahan
Pada zaman penjajahan, setiap sekolah ditubuhkan mengikut
kaum dan mempunyai kurikulum yang berbeza-beza serta lokasi sekolah juga
terpisah mengikut kaum masing-masing. Sekolah-sekolah berkembang selaras dengan
perkembangan ekonomi di Tanah Melayu pada masa itu, contohnya Sekolah Cina
mendapat bantuan dari golongan peniaga Cina. Disamping itu juga sekolah Cina
ini diberi pilihan sama ada mendapat bantuan Negara Cina ataupun bantuan dari
kerjaaan tempatan.
Sistem pendidikan pada zaman ini meninggalkan kesan yang
mendalam dari segi meningkatkan persaingan dikalangan semua kaum. Walaubagaimana
pun, kependudukan Jepun telah banyak mengubah dan memberi kesan serta
menjejaskan perkembangan pendidikan di Tanah Melayu. Sekolah dan kolej terpaksa
dibaiki dan diperkemaskan kerana mengalami kerosakan dan siap selepas tahun
1946.
Sejarah
Pendidikan Selepas Kemerdekaan
Selepas kemerdekaan, sistem pendidikan negara adalah
berasaskan kepada laporan yang dikeluarkan iaitu Laporan Barnes (1950), Laporan
Fenn-Yu (1951) dan diikuti oleh Ordinan Pelajaran pada tahun 1952. Laporan
Barnes disediakan bagi mengkaji dan menyiasat kedudukan pendidikan orang-orang
Melayu pada masa itu. Antara syor yang diutarakan adalah penubuhan sekolah dwibahasan
yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Selain itu juga Sekolah Vernakular akan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan.
Laporan Fenn-Yu pula bertujuan mengkaji semula Laporan Barnes kerana dikatakan
Laporan Barnes ingin menghapuskan bahasa dan kebudayaan masyarakat Cina.
Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan kemelut tersebut,
kerajaan British telah menubuhkan satu jawatankuasa dan laporan jawatankuasa
ini dikenali sebagai Ordinan Pelajaran (1952). Hasrat Ordinan Pelajaran (1952)
bagi membentuk satu corak sistem persekolahan yang menghapuskan Sekolah
Vernakular Cina dan Tamil tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan pada
ketika itu. Apa yang jelas ialah sistem pendidikan pada zaman tersebut lebih
dipengaruhi oleh corak sosio-ekonomi yang dicetuskan oleh kaum masing-masing.
Aspirasi dan fikiran yang berlainan dikalangan masyarakat menyukarkan
pencapaian sesuatu matlamat (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 68).
DASAR
PENDIDIKAN
Pada zaman penjajahan, sistem pendidikan telah berkembang
tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti
kebangsaan dan perpaduan negara. Ianya berkembang mengikut identiti, taat setia
dan keturunan mereka kepada negara asal. Ini memberi satu tekanan kepada pembangunan
rakyat tempatan pada ketika itu. Bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah,
beberapa langkah telah diambil dan menggubal satu Dasar Pendidikan Kebangsaan
yang bertujuan untuk memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan
kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
Dasar Pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa tahap
perkembangan. Pembentukan Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama
merupakan tahap awal kepada terbentuknya Dasar Pendidikan di negara ini. Parti
Perikatan yang mencapai kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1995 di bawah
pimpinan Yang Berhormat Dato’ Tun Abdul Razak Hussien telah menubuhkan satu
Jawatankuasa Pelajaran dan mensyorkan beberapa perubahan dalam sistem
pendidikan. Laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956).
Cadangan-cadangan penyata ini termaktub dalam Ordinan Pelajaran (1957). Penyata
Razak ini mempunyai tujuan utama iaitu untuk menyatupadukan kaum di Malaysia
yang mana pada waktu itu terpisah oleh bahasa dan budaya yang berbeza-beza.
Antara matlamat utama Penyata Razak ini ialah :
- Semua sekolah di Tanah Melayu mempunyai satu sukatan yang sama.
- Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
- Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah dan menengah
- Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu
- Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan kaun dapat dikurangkan.
- Mewujudkan masyarakat yang toleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan progresif.
Terdapat pelbagai reaksi yang diperolehi dikalangan kaum
termasuk parti politik kesan daripada Penyata Razak. Orang Melayu tidak berpuas
hati dan syahk wasangka terhadap kedudukan Bahasa Inggeris di sekolah. Selain
itu juga Kesatuan Guru Sekolah Cina dan akhbar Cina menentang Perkara 12 iaitu
objektif akhir adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama di sekolah. Manakala Kesatuan Guru Sekolah Tamil menentang kerana
berpendapat bahawa kemajuan Sekolah Tamil akan terencat. Akibat terlalu banyak
penentangan terhadap Penyata Razak maka satu jawatankuasa pula ditubuhkan untuk
mengkaji semula Laporan Razak. Hasil semakan dan kajian semula yang dijalankan
terhadap Laporan Razak, maka terhasillah Laporan Rahman Talib pada tahun 1960.
Secara umumnya Laporan Rahman Talib bersetuju dan
menyokong hampir kesemua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak, dan
terhadap beberapa usul tambahan. Dalam mencapai matlamat menyatupadukan kaum,
Laporan Rahman Talib mengsyorkan supaya pendidikan di peringkat sekolah rendah
diberikan secara percuma, dan membolehkan kanak-kanak menikmati alam
persekolahan dalam sistem pendidikan. Semua sekolah yang menerima bantuann
kerajaan ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.
Dengan ini perlbagai kaum dapat memelihara bahasa dan budaya masing-masing.
Manakala untuk mewujudkan dan mengeratkan perpaduan kaum,
peperiksaan juga telah diadakan dalam satu bahasa iaitu sama ada Bahasa Melayu
ataupun Bahasa Inggeris. Melalui laporan Razak dan Laporan Rahman Talib ini
terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran ini dibentuk bertujuan untuk
mencapai perpaduan kaum di Malaysia melalaui sistem Pendidikan. Akta Pelajaran
1961 telah menggariskan tiga asas utama iaitu keseragaman sistem persekolahan,
penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, dan kurikulum
serta peperiksaan sekolah yang sama dari segi kandungan dan bercorak
kebangsaan.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam
sejarah Malaysia. Peristiwa rusuhan kaum memberi pengajaran yang besar kepada
kerajaan untuk mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia.
Pada tahun 1970, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun
Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum
dan memupuk perpaduan dikalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi
teras penting untuk menjayakan objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru
iaitu mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Pemurnian Dasar
Pendidikan untuk mencapai integrasi kaum berterusan apabila kerajaan menubuhkan
Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar
Pendidikan Kebangsaan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir
Mohammad yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran
Malaysia. Dalam laporan itu menyatakan tujuan jawatankuasa ini :
“Mengkaji
semula matlamat dan kesannya sisitem pendidikan termasuk kurikulumnya, dalam
rangka Dasar Pendidikan Kebangsaan yang wujud, dengan tujuan memastikan bahawa
keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek
mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem
pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang
bersatu padu berdisiplin dan terlatih” (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 100).
Laporan jawatankuasa ini adalah sama seperti
laporan-laporan yang terdahulu iaitu untuk menyatupadukan rakyat seperti yang
terdapat dalam Akta Pelajaran 1961. Menjadikan pendidikan sebagai alat utama
untuk mencapai perpaduan di negara ini. Oleh tiu aspek bahasa telah menjadi
penekanan utama untuk mencapai hasrat kerajaan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan
Bahasa Malaysia ( Bahasa Melayu ) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama
dan bahasa untuk menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al.,2002: 4-5).
Melalui laporan Jawatankuasa Kabinet juga, Pusat Perkembangan Kurikulum telah
memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1983. Kerajaan juga
memperkenalkan Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988 untuk membentuk
individu murid yang menyeluruh dan seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek
dan rohani, emosi dan jasmani (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101).
Menjelang tahun 1995, kerajaan telah meluluskan Akta
Pendidikan 1996. Akta ini menggantikan Akta Pendiidkan 1961, tetapi masih
menyokong matlamat menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia menerusi
pendidikan. Akta ini menampilkan beberapa perubahan besar terhadap dasar
pendidikan negara dan dianggap sebagai dasar yang sangat liberal. Ia dianggap
membayangkan perubahan sikap masyarakat Melayu dan memenuhi beberapa impian
masyarakat Cina(Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101). Akta ini juga memberi
penekanan kepada peningkatan pendidikan prasekolah, pendidikan swasta,
pendidikan keguruan, pendidikan teknikal dan pendidikan khas. Dalam seksyen 17
Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaaan adalah abahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (Gurnam Kaur
Sidhu et al., 2005: 75).
Terdapat 3 fokus utama dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan iaitu yang pertama ialah perkembangan individu secara menyeluruh,
seimbang dan bersepadu. Kedua adalah perpaduan rakyat dan yang ketiga
pendidikan sepanjang hayat ke arah membina masyarakat yang aman dan makmur. Melalui
Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerajaan mewajibkan murid tahap 2 di
sekolah-sekolah rendah terlibat dan menyertai aktiviti unit beruniform,
persatuan dan sukan. Penglibatan murid dalam aktiviti sebegini boleh memupuk
semangat perpaduan dikalangan murid yang terlibat jika dipupuk dari peringkat
kecil lagi.
Perkembangan kurikulum pendidikan juga mengikut arus dan
kesesuaian semasa. Pada tahun 2010 Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
(KSPK) dilaksanakan di prasekolah menggantikan kurikulum lama. Manakala di
peringkat sekolah rendah pula, diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang mana mula
dilaksanakan pada tahun 2011 untuk Tahun 1.
Pada tahun 2011 juga, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyidddin Yassin telah melancarkan dasar 1 Murid 1 Sukan. Dari segi
rasionalnya, dasar ini menyumbang kepada pertandingan yang sihat, semangat
muhibbah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai-nilai moral dan fizikal
yang memberi satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumulan
etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cintakan
negara (Buku Panduan Perlaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan, 2011: 2).
Kesimpulannya pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan
bermula daripada saat negara bebas daripada penjajahan British sehinggalah ke
hari ini. Antara fokus utama dasar-dasar ini di samping untuk memberi
pendidikan kepada rakyat ianya jelas menjadi alat terpenting untuk
menyatupadukan dan mengintegrasikan etnik yang pelbagai di negara ini.
Dasar-dasar ini berkembang dan berubah dari masa ke masa untuk memenuhi
kehendak dan keadaan semasa. Walaupun dasar ini seringkali berubah, namun ia
tidak lari daripada misinya yang asal iaitu membangunkan sesebuah negara di
mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu negara ke arah
kegemilangan dan mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang semakin mencabar.
CABARAN INTEGRASI DAN PERPADUAN MELALUI DASAR PENDIDIKAN
Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh
kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang
besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek
dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang
mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap
kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh
kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan
penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan
mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan
daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa
sudah menebal dalam kaum masing-masing.
Cabaran kedua ialah pola kedudukan kaum yang berbeza-beza
juga menjadi salah satu cabaran untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum.
Pola kedudukan kaum adalah berasaskan sumber ekonomi ini berpunca pada zaman
penjajahan iaitu dasar British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah
(divide and rule). Di mana kedudukan ini dapat dilihat orang Melayu menjadi
petani dan menetap di kampung-kampung. Orang Cina pula di tempatkan di kawasan
lombong biji timah yang mana akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan berkembang
menjadi bandar. Manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh ladang getah dan
menetap di estet-estet.
Untuk mencapai misi pendidikan iaitu perpaduan dan
integriti kaum, jarak kedudukan kaum ini menjadi satu cabaran yang sukar.
Kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk meletakkan murid-murid daripada
pelbagai kaum disatu sekolah yang sama supaya matlamat dasar pendidikan iaitu
untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Penempatan murid
daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau kawasan mungkin dapat
dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan dapat mengubah keadaan
ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang menghapuskan pengenalan kerja
mengikut kaum.
Cabaran ketiga ialah menyediakan guru yang merupakan agen
kerajaan untuk menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan
masyarakat. Oleh itu aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan
dan integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup
dan lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat
sekitarnya. Guru perlu memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar
pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana.
Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk
mengambil tahu isu semasa, ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran
dan pembelajaran seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah
menyebabkan salah satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara
kaum tidak dapat dicapai. Oleh itu pihak kerajaan perlu memberi latihan dan
kefahaman kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru
supaya segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan
datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan
dalam kehidupan bermasyarakat.
Media massa juga menjadi agen penyampai matlamat tentang
dasar-dasar kerajaan termasuklah dasar pendidikan. Media
massa bukan hanya membekalkan fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan
maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa. Media massa ini pula perlu peka apabila menyampaikan
sesuatu dasar itu, lebih-lebih lagi jika isu tersebut menyentuh isu-isu
sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan masyarakat. Melalui
matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami kehendak dan matlamat
kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.
KEBERHASILAN
INTEGRASI DAN PERPADUAN KAUM
Bidang
Pendidikan
Keberhasilan integrasi dan perpaduan dalam bidang
pendidikan di Malaysia boleh dinilai dalam beberapa aspek utama iaitu :
1.
Matlamat
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
2.
Matlamat
mewujudkan sekolah pelbagai kaum
3.
Matlamat
menyatukan pelbagai kaum melalui aktiviti ko-kurikulum
Dalam kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
di semua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, ianya masih
lagi belum mencapai matlamat yang diinginkan. Kaum Cina merupakan kaum yang
paling kuat menentang matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar. Ini kerana mereka bimbang bahasa ibunda mereka akan hilang
penggunaanya pada masa akan datang. Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 memberi
kelonggaran kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa
pengantar dan menjadikan mengurangkan penggunaan Bahasa Melayu. Oleh itu,
sehingga sekarang kerajaan melalui perubahan-perubahan dasar pendidikan masih
belum mencapai matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
disemua sekolah di negara ini. Kegagalan kerajaan menjadikan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar di semua sekolah merumitkan lagi usaha untuk mencapai
integrasi dan perpaduan kaum di Malaysia. Ini adalah kerana, semua kaum
berusaha mempertahankan bahasa ibunda masing-masing dan sehingga wujudnya
jurang integrasi antara etnik-etnik di negara ini. (Riduan Tee, 2010: 69)
Manakala hasrat dan
matlamat kerajaan untuk mewujudkan sekolah integrasi iaitu pelbagai kaum di
dalam sebuah sekolah atau beberapa buah sekolah pelbagai kaum dalam satu
kawasan juga masih lagi belum dapat dilaksanakan. Sebagai contoh, kerajaan
telah mewujudkan Sekolah Wawasan namun mendapat tentangan hebat dari masyarakat
Cina kerana menganggap Sekolah Wawasan akan menghilangkan identiti dan bahasa
ibunda mereka (Modul Kenegaraan, 2010: 184). Pada masa ini bukan sahaja sekolah
rendah dan sekolah menengah berasaskan bangsa dan kaum, tetapi juga pusat-pusat
pengajian tinggi tempatan ditubuhkan berasaskan kepada kaum. Dalam konteks
pengajian tinggi di Malaysia, terdapat 20 buat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
dan 32 buah Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah disenaraikan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi. Penubuhan IPTS ini ada yang berasaskan kaum dan
parti politik seperti penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).
Universiti ini dimiliki oleh Malaysian Chinese Association (MCA) dan hampir
seratus peratus (100%) daripada pelajarnya adalah kaum Cina.
Satu kajian yang
dijalankan oleh sekumpulan pensyarah di
Universiti Utara Malaysia terhadap pelajar-pelajar mereka yang berbangsa
Melayu, Cina dan India mendapati kebanyakkan pelajar-pelajar tersebut mempunyai
sentimen perkauman yang tinggi. Para pelajjar masih suka bergaul dengan kaum
sendiri dalam semua hal berbanding bergaul dengan kaum-kaum lain. Semua ini
berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam
kampus. Polarisasi ini amat membimbangkan dan menjadi penghalang kepada
integrasi dan perpaduan antara kaum di Malaysia (Riduan Tee, 2010: 74).
Daripada hasil kajian ini dapat dikatakan bahawa pelajar-pelajar yang mendapat
pendidikan di sekolah yang berasaskan kaum tertentu lebih suka menyambung
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di pusat-pusat pengajian yang
mempunyai kaum yang sama dengan kaumnya. Hal ini boleh membantutkan usaha
kerajaan mencapai perpaduan di negara ini.
Walau bagaimanapun,
usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di peringkat sekolah
rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan hasil yang positif.
Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan, keseniaan dan sukan
menampakkan semangat perpaduan diantara pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti
sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan semangat tolong-menolong,
semangat setiakawan dan saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar
pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang
ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan
matang dalam perhubungan dan bersosial.
Secara
keseluruhannya hasrat dan matlamat kerajaan untuk mengintegrasi dan
menyatupadukan kaum melalui dasar pendidikan di sekolah dan pusat pengajian
tinggi belum lagi mencapai matlamat sepenuhnya walaupun terdapat hasil yang
boleh dibanggakan. Ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan mendapat tentangan
daripada pelbagai pihak yang tidak melihat dasar pendidikan tersebut dari sudut
politik. Mereka sering berprasangka buruk sebelum menilai dan melihat dasar
tersebut secara terperinci. Mereka juga sering mendahulukan kepentingan kaum
daripada kepentingan nasional. Namun demikian usaha kerajaan untuk
menyatupadukan pelbagai kaum melalui dasar pendidikan dapat dilihat hasil
positifnya dalam bidang ko-kurikulum. Pelajar pelbagai kaum yang terlibat
secara aktif akan menjadi lebih matang dan bertoleransi dengan kaum lain hasil
daripada kerjasama yang mereka lalui.
Bidang Politik
Dalam bidang politik pula, Dasar Pendidikan Kebangsaan
berhasrat melahirkan generasi yang akan memimpin negara menjadi sebuah negara
maju dan mempunyai semangat patriotik. Ianya adalah satu penubuhan parti
politik yang tidak bersifat perkauman dan ahlinya terdiri daripada pelbagai
kaum. Sifat perjuangannya pula adalah meletakkan kepentingan umum lebih
daripada kepentingan kaumnya sendiri. Namun pada hari ini di Malaysia,
kepelbagaian kaum yang ada menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan
persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing.
Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-orang Melayu melalui pasrti
United Malaysian National Organisation (UMNO), orang Cina melalui parti
Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti Malaysian
Indian Congress (MIC). Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum
adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Keadaan ini
sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik dan pertikaian daripada penyelesaian
tentang sesuati isu yang dibangkitkan.
Keadaan politik di negara Malaysia hari ini adalah kerana
kegagalan dasar pendidikan yang dilaksanakan untuk melahirkan pelapis pemimpin
negara untuk menghormati dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca
daripada kelemahan yang terdapat dalam dasar pendidikan tersebut tetapi ianya juga
berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta
gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai
contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang
ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni
kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain.
Generasi yang ingin dihasilkan melalui dasar pendidikan yang dirancang akan
mampu memahami dan menghormati kaum lain dan seterusnya memerintah negara
Malaysia dengan adil tanpa menindas dan menafikan hak-hak kaum lain.
Dalam senario politik semasa juga dapat dilihat bahawa
krisis nilai, akhlak atau etika di kalangan pemimpin menyumbang ke arah perpecahan. Dasar pendidikan pada
peringkat awal gagal untuk memberikan penekanan kepada peri pentingnya
penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia untuk membentuk generasi yang
seimbang dari segi luaran dan dalaman. Oleh itu lahirlah generasi pemimpin yang
tidak mampu untuk menghadapi tekanan dengan profesional. Maka terbentuklah
aliran politik yang negatif iaitu saling mencari keburuk pihak lawan dan
bukannya menampilkan kewibawaan diri sendiri. Corak politik yang sebegini akan
menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik
dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di
Malaysia. Oleh yang demikian langkah dan tindakan mewujudkan Falsafah
Pendidikan Negara untuk melahirkan generasi yang seimbang amat tepat. Namun
negara masih lagi belum dapat melihat hasilnya pada hari ini.
Politik yang berasaskan kaum ini seringkali menimbulkan
ancaman yang besar terhadap kesejahteraan negara. Ianya berlaku apabila ahli
politik yang cetek ilmu pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan
kuasa Raja-raja Melayu dan status kedudukan orang-orang Melayu. Isu-isu ini
bagaikan mencurahkan minyak ke dalam bara api. Ia boleh membangkitkan api
kemarahan orang-orang Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara
ini. Oleh itu, mata pelajaran sejarah perlu diajar diperingkat sekolah rendah
lagi dan perlu dijadikan mata pelajaran teras supaya isu-isu berkaitan
Raja-raja Melayu dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dapat difahami
oleh semua kaum di negara ini.
Dalam bidang politik ini, kelemahan dasar pendidikan
untuk melahirkan pelapis pemimpin negara yang bersifat patriotik menyebabkan
wujudnya parti-parti politik yang bersifat perkauman. Perjuangan mereka lebih
mementingkan pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala
krisis nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa
kini juga mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.
Bidang Ekonomi
Dasar Pendidikan Negara juga dirancang dan dilaksanakan
dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang
akhirnya mampu untuk bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang
termasuklah bidang ekonomi. Dalam sudut ekonomi ini, jurang ekonomi yang jauh
berbeza antara kaum di negara ini menyulitkan kerajaan mencapai agenda
perpaduan. Di samping itu juga, melalui pendidikan pengenalan identiti kaum
mengikut jenis pekerjaan juga dapat dihilangkan. Untuk menilai sama ada berjaya
atau tidak matlamat dan hasrat kerajaan,
ianya boleh dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang ekonomi di antara
kaum dan kejayaan menghapuskan pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.
Jurang
ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan integrasi kaum. Di
negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini menimbulkan rasa
iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini kerajaan
melalui dasar pendidikan telah berjaya melahirkan ramai golongan terpelajar
dalam bidang ekonomi. Justeru itu, pada masa kini telah muncul
individu-individu daripada pelbagai kaum yang berjaya menyaingi kaum cina dalam
bidang ekonomi khususnya bidang perniagaan. Persaingan yang sihat ini akan
mengurangkan rasa cemburu dan iri hati kaum lain terhadap kaum Cina.
Pada
masa kini juga, jenis pekerjaan tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu kaum
di Malaysia. Semua kaum bebas memilih pekerjaan yang mereka inginkan, sama ada
dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri. Keadaan ini adalah hasil
daripada dasar kerajaan yang telah berjaya memberi pendidikan kepada semua
kaum. Dalam sektor awam, jawatan guru contohnya, terdiri daripada pelbagai
kaum, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya. Melalui percampuran
pelbagai kaum dalam bidang yang sama akan memudahkan lagi matlamat kerajaan
untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum di negara ini. Golongan ini lebih
mudah memahami dan menghormati budaya dan adat resam kaum lain.
Oleh
yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang dilaksanakan
oleh pihak kerajaan telah berjaya melahirkan golongan yang terpelajar dan
berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini telah merubah corak
kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli ekonomi oleh suatu
kaum sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk diterokai oleh semua
kaum. Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi di antara
kaum dapat dikurangkan.
Bidang Sukan dan Kesenian
Falsafah
Pendidikan Negara bermatlamat membentuk individu murid yang menyeluruh dan
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh yang demikian dasar
pendidikan juga menekankan aspek ko-kurikulum dalam menyatupadukan murid
pelbagai kaum. Melalui ko-kurikulum bakat murid dapat diasah dan
diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui dasar pendidikan
inilah, minat murid dalam bidang sukan dan kesenian ditanam dan
diperkembangkan.
Negara
kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Contohnya sukan skuasy, badminton, bola sepak dan sebagainya.
Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik
dengan bersatu memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga
peserta-peserta yang terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan
turut sama dirasai. Ini menunjukkan kejayaan dasar pendidikan dalam
menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan menanam minat
terhadap sukan. Namun begitu, masih ada
kelemahan dalam bidang sukan ini. Iaitu masih ada sukan yang dimonopoli oleh
kaum tertentu sahaja. Contoh yang jelas adalah sukan bola keranjang dimonopoli
oleh kaum berbangsa Cina. Perlawanan bola keranjang peringkat kebangsaan yang
disiarkan melalui Astro menunjukkan bahawa hanya kaum Cina yang terlibat, pemain,
penonton dan pengadil semuanya berbangsa Cina. Begitu juga dengan sukan sepak takraw, semua pemain
adalah berbangsa Melayu. Oleh itu kerajaan perlu berusaha supaya sukan-sukan
sebegini diminati oleh semua golongan dan kaum.
Manakala
dalam bidang kesenian pula, murid-murid dididik supaya meminati seni dari
peringkat sekolah rendah lagi. Melaui kesenian, murid-murid diajar tentang
kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia. Pendidikan kesenian ini
akan membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh menerima dan akan
menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari peringkat awal lagi akan
melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang seperti seni lakonan, seni
tarian, nyanyian, seni lukis dan
sebagainya. Insan-insan seni yang memahami kebudayaan dan sensitiviti bangsa
lain akan melahirkan karya-karya yang bercorak perpaduan. Melalui karya-karya
sebegini akan membantu membuka minda individu lain ke arah kecemerlangan
perpaduan. Sebagai contohnya seorang pengarah filem menghasilkan filemyang
bercorak patriotik akan member kesan yang positif dan prasangka baik di kalangan
penonton.
Hasrat
kerajaan melalui dasar pendidikan untuk menyatupadukan kaum dalam bidang sukan
dan kesenian telah mencapai matlamatnya. Kejayaan ini menjadikan kerajaan lebih
ghairah memperkenalkan dasar baru agar semua murid terlibat dalam aktiviti
sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan sekolah seni merupakan antara titik tolak
usaha kerajaan memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan
juga telah dilaksanakan bermula tahun 2011 utnuk memastikan perpaduan kaum
dapat dicapai.
Bidang Sosial
Dalam
bidang sosial, melalui dasar pendidikan kerajaan berhasrat untuk meningkatkan
keharmonian dan perpaduan antara kaum. Perpaduan dari sudut sosial ini ialah
penyatuan kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dengan latar belakang
kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza hidup bersama dan slain bertolak ansur
utnuk kepentingan dan faedah bersama. Melalui pendidikan, kerajaan menekankan
peri pentingnya mempelajari sejarah, kebudayaan dan kepercayaan kaum lain serta
menghormatinya. Pengetahuan amat bernilai supaya tidak berlaku kejutan budaya
apabila berlakunya pertembungan di antara kaum dan etnik yang berlainan.
Perpaduan dan integrasi sosial pada
hari ini dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat negara ini yang tinggal di
kawasan bandar dan kawasan luar Bandar. Kawasan taman perumahan contohnya,
pelbagai kaum tinggal berjiran, mereka saling bekerjasama untuk menjaga
keharmonian kawasan mereka. Manakala pelbagai aktiviti-aktiviti dirancang dan
dilaksanakan bersama. Persatuan Rukun Tetangga yang ditubuhkan diharap oleh
ahli-ahli pelbagai kaum untuk menjaga keamanan dan keselamatan kawasan tempat
tinggal mereka.
Di
samping itu, perpaduan kaum juga dapat dilihat melalui perkahwinan. Pada masa
kini perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi menjadi perkara baru bahkan
kebanyakkannya direstui oelh keluarga kedua-dua pihak. Senario ini banyak
berlaku di negeri Sabah yang mana bilangan etniknya berjumlah 42 etnik. Jika
pada suatu masa dahulu perkahwinan sebegini boleh menimbulkan persengketaan
antara kedua-dua etnik, tetapi pada masa kini ianya sudah menjadi kebiasaan
hasil daripada sifat tolak ansur dan menghormati antara satu sama lain. Melalui
pendidikan juga, pelbagai kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia mula
difahami dan diterima oleh kaum lain selagi ianya tidak menyebabkan kehilangan
identiti asal kaum. Sebagai contoh, budaya bertukar-tukar makanan di kalangan
jiran, sambutan perayaan bersama-sama, pemberian duit raya dan sebagainya
Walaupun
begitu dari bidang sosial ini, masih lagi berlaku pertelingkahan dan pergaduhan
yang menumpahkan darah akibat berlaku pertembungan antara dua atau lebih kaum
yang berbeza adat dan budaya. Namun seringkali berita-berita sebegini tidak
disiarkan di media massa untuk mengelakkan perbalahan antara kaum menjadi lebih
buruk. Faktor utama yang mencetuskan perkara ini ialah faktor sikap dan
mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan bersama. Oleh itu dasar
kerajaan melalui Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) amat tepat iaitu menerap nilai-nilai murni
seawal usia lagi.
Penutup
Untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini
bukanlah suatu tugas yang mudah. Proses untuk mencapai perpaduan dan integrasi
mengambil masa yang lama serta memerlukan perancangan yang teliti, tepat dan
bijaksana. Bidang pendidikan merupakan bidang yang paling penting dan sesuai
untuk mencapai hasrat kerajaan menyatupadukan dan mengintegrasikan pelbagai
kaum. Oleh yang demikain, pelbagai dasar pendidikan telah dirancang dan
dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana dan keadaan
semasa untuk mencapai matlamat tersebut. Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan
telah menghadapi tentangan dan cabaran
yang berbeza daripada pelbagai kaum di negara ini. Seringkali faktor sikap mementingkan
kaum sendiri melebihi kepentingan negara menjadi penghalang kejayaan sesuatu
dasar. Justeru itu, untuk mencapai perpaduan kaum secara mutlak semua pihak
perlu meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan kaumnya.
Sekiranya sikap ini tidak dapat dipraktikkan oleh semua kaum, hasrat untuk
mencapai perpaduan dan integrasi di negara ini hanya menjadi angan-angan yang
tidak mungkin dapat dicapai.
RUJUKAN
Buku Panduan Perlaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M 1S).(2011). Putrajaya. Perpustakaan Negara
Malaysia. Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia ISBN 978-983-3444-32-8
Gurnam Kaur Sidhu,
Gurcharan Singh Sandhu, Kamaruzaman Moidunny dan Ranjit Kaur Sidhu.(2005). Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) : Kompetensi
Umum (Teras dan Profesional). Selangor : Penerbit Fajar Bakti sdn. Bhd.
Jamil Ahmad dan
Norlia Goolamally. Pentadbiran dan
Pengurusan Sistem Pendidikan Malaysia Ke Arah Pendidikan Berkualiti.
Kamus Dewan Edisi Ke – 3.(2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Modul HNS2013 Kenegaraan Pendidikan
Jarak Jauh.(2011). Unit 10 Isu-isu Dan
Cabaran
Negara.
Tanjung Malim Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.
Mohamad
Rodzi Abd Razak, .
(2009). Pembinaan negara bangsa Malaysia : Peranan pendidikan sejarah dan
dasar pendidikan kebangsaan. pp. 90-106. ISSN 2180-0251
Mohd Yazid Yusoof , MOhd Noor Mohd Zain dan
Idris Omar. (2002). Kertas Kerja :
Persamaan dan Perbezaan Akta Pelajaran
Dengan Akta Pendidikan 1996 melalui http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2002&dt=0125&pub=DuniaPendidikan
&sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm
Mohd
Ridhuan Tee Abdullah.(2010).
Cabaran integrasi antara kaum di Malaysia : perspektif sejarah, keluarga dan pendidikan.
Jurnal Hadhari, 2 (1). pp. 61-84. ISSN 1985-6830
Muslim,
Nazri and Alias, Jamsari. (2004). Patriotisme: Konsep dan
pelaksanaannya di Malaysia. In: Seminar Antarabangsa Nilai dalam Komuniti
Pasca Modenisme (SIVIC 2004), 4-6 September 2004, Hotel City Bayview Langkawi.
(Unpublished)
Omar,
Rusdi dan Mukhtaruddin, Mas
Juliana (2010). Dasar luar Malaysia era Dato’ Seri Mohd Najib Tun
Razak: Keutamaan dalam aspek hubungan dua hala. In: Proceedings Seminar on
Nasional Resilience (SNAR 2010) "Political Managements and Policies in
Malaysia", 13-15 July 2010, Bayview Hotel Langkawi. Institute of Tun Dr.
Mahathir Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia , Sintok , pp. 173-194.
ISBN 978-983-44865-3-2
Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf
11 ulasan:
izinkan copy sedikit maklumat - afiqa
Silakn afiqa
salam . maaf ingin bertanya . apakah impak akibat pengabaian integrasi terhadap pendidikan ?
minta ijin copy sebahagian maklumat dari sini ya, artikel anda sangat sangat membantu ulangkaji saya
Silakan.. semoga bermanfaat
Assalammualaikum. Saya minta izin untuk ambil maklumat daripada blog anda bagi memudahkan urusan
Salam Sejahtera,
Minta izin ambil info.
Terima Kasih.
-E2H-
salam sejahtera,
sy mohon keizinan utk ambil info diblog anda sbg panduan untuk siapkan assignment yang diberi
Minta izin untuk berkongsi info ini
Minta izin untuk copy dan ambil maklumat sedikit ya
minta izin copy sebahagian maklumat dari sini ya, artikel anda sangat sangat membantu
saya
Catat Ulasan